Ketika kejadian, Nazia dan Hazil bersama 17 individu lain telah ditahan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 36B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Namun, selepas siasatan dijalankan, pasangan tersebut didapati tidak bersalah dan dibebaskan oleh pihak berkuasa tanpa syarat.

Biarpun namanya terpalit dengan insiden hitam, Nazia yang ditemui pada majlis Iftar Ramadan dan Sumbangan Duit Raya Syarikat Megapine Sdn. Bhd. di Putrajaya baru-baru ini tidak pernah melatah.

Malah, wanita berusia 43 tahun itu menjelaskan, dia dan suami mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan tidak mempedulikan cakap-cakap nakal yang dilemparkan kepadanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Mia Qaisara, 11, Qaliff Izham, 10, Qaiem Quzey Izham, 8, dan Mia Qaleessa, 5. itu turut berbicara mengenai hala tuju karier lakonan dan rumah produksi Megapine yang diusahakan bersama suaminya sejak 12 tahun lalu.

KOSMO!: Nazia, anda pernah ditahan oleh pihak berkuasa pada Disember lalu kerana didakwa terlibat dengan parti liar. Boleh kongsikan apakah sebenarnya yang berlaku pada malam tersebut?

NAZIA: Sejujurnya, apa yang berlaku pada waktu itu hanyalah kebetulan. Saya dan suami ke sana atas urusan kerja bagi perancangan syarikat produksi Megapine untuk masa akan datang. Seperti berada pada tempat dan waktu yang salah, pihak berkuasa melakukan serbuan. Kebetulan, salah seorang daripada individu yang berada di sana memiliki barang terlarang. Jadi, kami terlibat sama.

Bagaimanakah mendepani khalayak yang barangkali melemparkan tanggapan negatif kepada anda dan suami?

Saya tidak kisah apa yang dikatakan kepada kami, asalkan kami tahu apa yang berlaku. Lagi pun, saya tidak pernah memuat naik sebarang status dalam media sosial untuk menjernihkan keadaan kerana saya tahu kami berada di pihak yang benar.

Difahamkan anda dan suami telah mengusahakan syarikat produksi Megapine selama 12 tahun. Mengapakah baru kini anda bersedia untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara tersebut?

Ketika mula-mula menubuhkan Megapine bersama suami, saya belum bersedia untuk berbicara mengenai hal ini. Maklumlah, pada waktu itu, saya masih mahu berlakon. Saya bimbang jika khalayak mengetahui saya mempunyai rumah produksi sendiri, peluang untuk berlakon akan berkurangan. Namun, selepas 12 tahun, saya telah bersedia untuk bergelar penerbit sepenuh masa.

Jadi, adakah anda berhenti berlakon dan menumpukan sepenuh perhatian sebagai seorang produser?

Bergelar penerbit itu pasti. Namun, saya tetap akan berlakon dan terbuka untuk berlakon dengan mana-mana syarikat produksi.

Boleh kongsikan mengenai perkembangan terkini syarikat produksi anda?

Kami baru menyiapkan tiga buah telefilem iaitu Di Penghujung Fatamorgana, Ku Genggam Kunci Syurga dan Jam Tangan Pak Su. Ketiga-tiga naskhah ini bakal ditayangkan menerusi saluran RTM. Cuma, masih tiada tarikh yang ditentukan untuk telefilem tersebut.