Nazia, 43, menjelaskan, dia dan suami tidak terbabit dengan sebarang kegiatan parti liar tersebut termasuklah penemuan empat paket plastik berwarna hitam disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

“Saya dan suami tidak terbabit dengan apa-apa aktiviti haram. Ketika itu, saya berada di tempat dan masa yang salah. Kami ke tempat itu kerana mahu menghantar kertas cadangan semata-mata. Justeru, kami dibebaskan tanpa syarat. Cuma apabila kes diletakkan dalam seksyen 36B, saya terpaksa ditahan satu malam.

“Dari segi kerjaya dan perniagaan dengan stesen TV, tiada gangguan berlaku. Malah, tidak ada seorang pun yang menghubungi bertanya mengenai perkara itu. Cuma, ada juga yang kenal wajah saya ketika disiarkan dalam satu blog. Saya hanya abaikan saja sebab tidak ada apa-apa yang serius,” katanya.

Nadia berkata demikian ketika ditemui pada majlis Iftar Ramadan Dan Sumbangan Duit Raya oleh Megapine Sdn. Bhd. Bersama Anak Yatim Dan Miskin Sri Kundang di Hotel Zenith di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Nazia berkata, dia dan suami tidak ada kena mengena dengan tangkapan yang dibuat. Malah, Nazia mengakui ‘diperangkap’ hingga dikaitkan dengan insiden terbabit.

“Sebenarnya, kami kena ‘game’ oleh salah seorang yang ada pada malam itu. Mungkin disebabkan ada perselisihan faham sebelumnya yang membabitkan pasangan lain, semua terbabit sama.

“Alhamdulillah, orang sekeliling tidak memandang serong terhadap kami. Saya pula jenis tidak suka kecoh dan berkongsi perkara ini di media sosial bagi membersihkan nama. Daripada orang tidak tahu, jadi tahu pula,” katanya. - K! ONLINE