Lihat sahaja persembahan dramatiknya menerusi watak Maria dalam filem Munafik yang diterbitkan sekitar dua tahun lalu. Kredibiliti wanita berusia 33 tahun itu ternyata terserlah apabila dia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28.

Melihat pencapaian cemerlangnya dalam bidang lakonan, tidak hairan jika Nabila diberi peluang untuk menjayakan sebuah drama bersiri mistik terbitan produksi gergasi HBO Asia, Folklore.

Menjayakan episod berjudul Toyol di samping pelakon Bront Palarae, Nabila berkata, penglibatannya dalam Folklore memberi pengalaman berbeza terhadap karier lakonannya.

“Jika dibandingkan dengan produksi drama dan filem tempatan, tentulah banyak beza. Jika sebelum ini saya bekerja dengan orang yang dikenali, namun menerusi produksi Folklore, kru yang terlibat berbilang bangsa.

“Selain pengarahnya, Ho Yuhang yang berbangsa Cina, beberapa individu lain termasuk penjaga pakaian berasal dari Indonesia,” katanya.

Watak

Melihat kepelbagaian latar belakang tenaga kerja yang terlibat, Nabila menjelaskan bahawa pengalaman memainkan watak utama dalam Folklore sangat menyenangkan.

“Apabila bekerjasama dengan individu berbeza yang mempunyai latar belakang berlainan, pekerjaan tersebut menjadi lebih mudah dan senang.

“Hal ini kerana, masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang tersendiri dan ia berjaya diluahkan dalam bentuk visual. Saya gembira dapat bekerja dengan mereka,” luah Nabila.

Mengisahkan seorang bomoh yang cuba membalas dendam terhadap seorang ahli politik (lakonan Bront) akibat permasalahan lampau, Nabila berkata, lakonannya dalam Toyol tidak seperti apa yang pernah ditonton sebelum ini.

“Pertama sekali, watak saya tidak mempunyai nama. Kemudian, dia juga tidak dibekalkan dengan dialog yang banyak untuk mengekspresikan diri.

“Cuma, saya perlu bermain dengan emosi dan mimik muka agar apa yang ingin dijelmakan di layar kaca sampai kepada penonton,” katanya yang mengakui agak sukar untuk membawakan watak berkenaan.

Bagaimanapun, ujar Nabila, dia berasa beruntung kerana pengarah sentiasa memberi tunjuk ajar dan percaya dengan bakat yang dimiliki.

“Selama saya bekerja dengan Yuhang, dia banyak memberi tunjuk ajar. Sebagai contoh, dia cuba untuk membuatkan saya berfikir di luar kotak dan cuba sesuatu yang baharu.

“Nampaknya, apa yang Yuhang cuba lakukan berhasil dan saya dapat menjayakan watak bomoh berkenaan dengan sempurna,” katanya lagi.

Peluang

Bercakap mengenai lakonannya dalam sebuah rumah produksi bertaraf antarabangsa, Nabila berasa cukup bertuah kerana diberi peluang sedemikian.

Maklumlah, bukan sekadar watak lakonannya ditonton oleh penonton di Malaysia, malah turut dapat disaksikan oleh pelanggan HBO di rantau Asia.

“Tipulah jika saya tidak mempunyai impian untuk mengembangkan kerjaya lakonan. Saya pernah bercita-cita untuk melebarkan sayap ke luar negara. Bagaimanapun, saya hanya simpan hasrat tersebut.

“Ternyata benar kata orang, jika kita tidak terlalu mencari, rezeki itu akan datang sendiri kepada kita. Alhamdulillah, rezeki saya untuk terlibat dalam produksi gred A kali ini,” ujar Nabila sambil tersenyum.

Percaya penglibatannya dalam Folklore merupakan satu permulaan baik dalam industri lakonan tempatan, Nabila menjelaskan, mungkin pada masa akan datang lebih banyak bakat tempatan berpeluang menyerlahkan bakat pada peringkat antarabangsa.

“Bakat lakonan yang ada di Malaysia bukan biasa-biasa. Banyak pelakon bagus yang mampu diketengahkan.

“Saya yakin, penglibatan bersama Bront dalam Folklore mungkin akan memberi jalan untuk pelakon Malaysia lain, jika ia disambung untuk musim kedua,” katanya lagi.

Terlanjur menyebut nama Bront, Nabila menjelaskan kerjasamanya dengan pelakon filem Pengabdi Setan itu merupakan satu pengalaman yang melucukan.

“Masakan tidak, setiap kali mahu memulakan penggambaran, dia pasti akan buat lawak sehingga menyebabkan saya ketawa.

“Dia tahu bahawa babak yang kami jayakan adalah babak serius tetapi dia tetap memeriahkan keadaan dengan mimik mukanya itu.

“Namun, saya selesa bekerja dengan Bront kerana dia seorang yang sangat profesional. Tambahan pula, dia sudah bertaraf bintang antarabangsa, tentulah saya bangga bekerja dengannya,” ujar Nabila sambil tertawa.

Menyentuh sedikit tentang penceritaan Toyol, paparan naskhah berkenaan tidak berkisarkan makhluk mistik toyol semata-mata. Ia bahkan diadun dengan kisah kekeluargaan dan ilmu hitam.

“Penonton perlu menonton Toyol sehingga habis. Ia bukan drama seram biasa. Pengakhirannya sedikit berbeza dan memeningkan kepala,” ujar Nabila menutup bicara.

Atas kertas, Foklore merupakan rangkuman enam kisah mistik yang digarap berdasarkan kisah hantu rakyat dari enam buah negara.

Antara negara yang terlibat termasuklah Indonesia (A Mother’s Love), Jepun (Tatami) Singapura (Nobody), Thailand (Pob), Malaysia (Toyol) dan Korea (Mongdal). Episod pertama dan kedua, A Mother’s Love dan Tatami telah ditayangkan menerusi HBO Asia pada 7 dan 14 Oktober lalu.

Folklore ditayangkan pada setiap hari Ahad sehingga 11 November depan menerusi saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431).