Di atas pentas sidang akhbar bagi menguar-uarkan konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 yang bakal berlangsung di dua lokasi selanjutnya iaitu di Istana Budaya pada 6 Oktober depan dan Dewan Esplanade Singapura (17 Oktober), dua figura disegani itu sempat mendendangkan beberapa buah lagu malar hijau seperti Ku Miliki Bayanganmu.

Terserlah ikatan kimia yang tercetus antara mereka sejak tiga dasawarsa lalu terus bersemi biarpun usia masing-masing semakin dicemburui waktu. Dalam bersahaja melantunkan vokal emas namun cukup mengesankan, mereka sahabat yang amat akrab. Aksi mereka bertepuk tampar dan gurau-senda sambil mendendangkan merdu vokal membuatkan ramai tertawa namun tetap terpegun.

Ditanya tentang sebab pemilihan Khadijah sebagai regu konsert jelajahnya, Ramli tidak menafikan wanita itu adalah antara penyanyi yang paling serasi dengannya.

“Boleh dikatakan kami sezaman. Dia pasangan duet saya yang paling memberi impak. Album kami dahulu pun diterima ramai.

“Saya sudah berduet dengan bermacam-macam penyanyi. Saya dapati keserasian ton suara saya dengan Khadijah paling sempurna. Bukan saya kata penyanyi lain tidak bagus namun Khadijah sangat istimewa,” kata Ramli, 65.

Tiada jiwa Melayu

Dalam lancar melontarkan kata-kata, pelantun lagu Bukan Kerana Nama itu sempat merungut soal penyanyi zaman sekarang yang seperti sudah tiada suntikan jiwa atau emosi Melayu dalam karya mereka.

Ujar Ramli selamba namun penuh mendalam: “Sampai bila anda semua akan makan makanan Korea sahaja. Duduk lama-lama di negara orang, anda pasti akan ingin pulang ke negara sendiri dan menikmati makanan Melayu seperti nasi lemak dan teh tarik.

“Yang sekarang layan lagu Lady Gaga atau Justin Bieber nanti apabila usia semakin lanjut tidak mungkin akan ingin terus mendengar lagu begitu.

“Saya teringin berjumpa dengan penyanyi zaman sekarang yang mempunyai patah Melayu yang bagus, namun tidak berjumpa. Mereka tidak sedar muzik Melayu itu amat kaya dengan pelbagai elemen seperti qasidah, nasyid dan sebagainya. Masih lagi ada yang malu mengangkat muzik kita di gelanggang sendiri,” ujar Ramli sedikit berfalsafah.

Bagaimanapun, bekas anggota kumpulan Sweet Charity yang turut diberi gelaran Papa Rock itu turut mengagumi bakat penyanyi-penyanyi muda sekarang, bahkan menyifatkan mereka sebagai kreatif namun menasihatkan supaya tidak mudah mendabik dada atas kejayaan yang terlalu minimum.

“Ada penyanyi yang hanya sudah mempunyai beberapa buah album dengan single boleh dikira dengan jari sibuk buat ‘reunion’ itu dan ini dengan peminat.

“Nasihat saya, tidak usah buat kenyataan yang tidak kuat. Rasa diri popular sampai bila-bila, tunggu nanti populariti itu menjalar ke mana-mana.

“Sebelum ini, saya pernah berkata kepada Mawi. Dahulu, kita boleh jual album 100,000 unit namun sekarang ingin jual 1,000 unit pun pedih. Mana pergi semua peminat. Lalu tepi jalan sekarang pun, entah peminat kenal atau tidak,” getus Ramli.

Terlanjur bercerita, Ramli mengakui pernah menolak untuk bekerjasama dengan dua penyanyi baharu kerana tidak menepati kriteria ditetapkan. Katanya, lebih baik beliau menolak pelawaan berkenaan kerana tidak mahu mereka tenggelam.

Ramli bagaimanapun enggan mendedahkan nama penyanyi terbabit, sebaliknya sekadar membuat perkongsian secara umum.

“Sebenarnya, saya juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi baharu kerana ramai yang bagus dan kreatif untuk diketengahkan dalam bidang nyanyian. Saya percaya jika tiada penyanyi baharu, tiadalah penyanyi lama.

“Namun, apabila penyanyi baharu itu berdepan sedikit ujian mereka nampaknya tidak boleh mengangkat sesebuah lagu seperti sepatutnya. Pada pemerhatian saya, segelintir penyanyi sebegitu sekadar boleh menyanyikan lagu tetapi jiwa dan penghayatan dalamannya tiada,” katanya tegas.

Berdepan tekanan

Persoalan serupa ditujukan kepada Khadijah, hujah apa pula yang boleh dikongsi saat diangkat Ramli sebagai pasangan duetnya yang paling ideal. Katanya, mereka saling melengkapi antara satu sama lain dalam banyak aspek.

“Kami memahami jiwa, mood dan julat vokal masing-masing. Seandainya Ramli tidak boleh nyanyi not tinggi, saya kena ambil alih not itu.

Itu yang bagusnya kami berdua. Kami membantu melengkapi antara satu sama lain. Nasib baiklah Datuk Ahmad Nawab dahulu ajar cara bagaimana untuk menyanyikan not rendah dengan betul (tertawa),” kata Khadijah yang amat dikenali menerusi lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

Ditanya soal persiapan penganjuran konsert di Istana Budaya dan Esplanade Singapura tidak lama lagi, Khadijah sebenarnya lebih risau tentang persediaan mentalnya.

“Konsert mudah namun kalau mental tertekan waktu hari kejadian memang susah. Apa yang saya lakukan, kalau ada masa saya suka menghabiskan masa memandu ke Singapura atau Thailand untuk menenangkan minda.

“Seronoknya sewaktu memandu, saya berhenti pada waktu Subuh di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) untuk menunaikan solat. Kemudian, sambung memandu sambil melihat pohon menghijau di kiri dan kanan, serta matahari terbit waktu pagi,” kongsinya.

Dedahnya Khadijah lagi, beliau tidak mengamalkan pantang larang yang spesifik sebagai persediaan menjelang konsert besar. Cukup baginya, sekadar menjaga kesihatan dengan baik bagi mengelak selesema dan batuk.

“Apabila usia sudah semakin senja, orang batuk dan selesema sikit, kita pun senang dijangkiti. Daya tahan badan semakin lemah.

“Namun, apa yang saya lakukan adalah menjaga pemakanan dan bersenam. Paling penting, kena cukup tidur. Kalau konsert semakin mendekat, saya suka duduk rumah. Andai sudah selesema dan batuk, susah untuk memaksimumkan persembahan,” katanya.

Selain konsert, Khaty turut menyelitkan pengumuman kehadiran sebuah rekod atau LP, Koleksi Ikhlas Terbaik miliknya. Mengandungi 10 buah lagu pilihan Khaty, LP Koleksi Ikhlas Terbaik tersebut merupakan sebuah rekod koleksi peribadi yang dijual pada harga RM170 seunit.

“Cetakan LP Koleksi Ikhlas Terbaik ini dibuat di Australia. Cetakan pertama adalah sebanyak 500 unit.

“Antara 10 buah lagu yang dimuatkan adalah Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Ku Pendam Sebuah Duka dan tidak ketinggalan, versi asal Doa Buat Kekasih,” ujar Khadijah yang mengambil masa lebih kurang setahun setengah berbincang dengan Shan Selvadurai untuk menghasilkan koleksi berkenaan.

Tiket konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Istana Budaya yang bakal berlangsung pada 6 Oktober masih boleh didapati pada harga RM400, RM350, RM200, RM150 dan RM100 melalui secara online di www.ilassotickets.com.