Namun, tidak siapa pernah tahu jerih payah yang dilalui wanita berusia 33 tahun itu, lebih-lebih lagi setelah diduga dengan kehancuran rumah tangga bersama bekas suaminya, Allahyarham Mohd. Faizal Yusup dan pemergian pasangan duetnya, Allahyarham Achik Spin ke negeri abadi.

Pun begitu, melalui buku Life Goes On, peminat kini boleh membaca kisah suka duka hidup Nana termasuk mendedahkan beberapa foto eksklusif tentang kepayahan perjalanannya dalam membina nama sebagai seorang anak seni.

Ditemui ketika majlis sidang akhbar Konsert Sayangi Malaysiaku di Putrajaya, baru-baru ini, Nana teruja bercerita tentang penerbitan buku yang memang diidamkan sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Nana yang baru menjayakan konsert Just Us bersama Alif Satar di Singapura pada 31 Ogos lalu turut berkongsi rasa terharu yang diberikan peminat kepadanya sepanjang konsert berkenaan.

Terdahulu, Nana antara 22 orang artis akan menjayakan Konsert Sayangi Malaysiaku yang bakal diadakan sempena sambutan Hari Malaysia pada 14 hingga 17 September ini di KL Sports City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

KOSMO!: Boleh kongsi pengalaman Nana selepas menjayakan konsert Just Us di Singapura pada 31 Ogos lepas?

SITI NORDIANA: Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan sambutannya sangat menggembirakan. Ini merupakan pengalaman pertama saya mengadakan sebuah konsert penuh di sana, sebab sebelum ini saya menghadiri persembahan nyanyian untuk karnival sahaja.

Terasa cabarannya kerana saya menyanyikan dalam 18 buah lagu termasuk lagu duet dan boleh dikatakan hampir semua lagu saya bernada tinggi, jadi saya lakukan senaman kardio untuk menjaga pernafasan, menghadiri kelas vokal dan kelas menari.

Selepas Singapura, ada perancangan untuk mengadakan konsert di negara lain memandangkan anda juga mempunyai peminat di Indonesia dan Brunei?

Setakat ini belum ada lagi tetapi saya dalam perancangan untuk mengadakan sebuah konsert di Malaysia pada tahun hadapan.

Jika tiada sebarang halangan, konsert itu bakal diadakan bersama penyanyi Khai Bahar sebab kami merancang untuk mengeluarkan satu single baharu tahun hadapan. Begitupun, lokasinya belum ditentukan lagi.

Melihat perkongsian dalam Instagram, anda baru sahaja melancarkan sebuah buku. Boleh kongsi lebih lanjut tentang buku berkenaan?

Ya, buku itu berjudul Life Goes On. Idea untuk menghasilkan buku itu sejak dua tahun lalu, saya buat secara berperingkat apabila mempunyai masa lapang.

Saya beri ayat sendiri, pihak penerbitan pula bantu mengolah dan mencantikkan susunan ayat agar lebih mudah difahami. Buku itu merupakan sebuah buku motivasi berkenaan diri saya sejak dahulu sampai sekarang. Ada peminat yang tidak tahu kisah saya kerana saya tidak suka berkongsi hal peribadi dengan peminat tetapi melalui buku tersebut mereka boleh tahu kisah hidup saya.

Adakah buku itu turut mengandungi kisah pahit anda dalam perkahwinan?

Memang ada kisah tersebut dan sejujurnya saya sendiri sebak semasa menulis buku ini. Bahagian sedih itu juga bermula apabila kisah saya berkahwin dan pengorbanan yang terpaksa diharungi dahulu.

Saya tidak sangka melalui kesusahan yang begitu banyak tetapi disebabkan bersabar, hasilnya Allah beri kehidupan yang lebih baik sekarang.

Bagaimana timbulnya idea untuk membukukan semua kisah hidup anda ini?

Sebenarnya, buku itu bukan sekadar sebuah kisah sedih tetapi saya mahu memberi inspirasi kepada pembaca agar jangan berputus asa dengan kehidupan. Dahulu saya pernah hampir berputus asa dengan karier sendiri kerana apa sahaja yang dilakukan tidak menjadi.

Saya pernah memakai pakaian seksi, namun ia tetap tidak menjadi sehingga rasa tiada ruang dan peluang dalam industri ini.

Bagaimanapun, lebih istimewa buku juga mengandungi gambar-gambar peribadi tentang kenangan saya ketika berniaga di rumah pangsa, gambar, perkahwinan bersama arwah suami Mohd. Faizal Yusup dan ketika membuat persembahan di tapak ekspo seperti fun fair.