Bakal bersiaran menerusi slot Mega Drama dalam saluran Astro Ria, kedua-duanya akan mula menjalani penggambaran yang dijadualkan bermula pada hujung bulan ini atau awal September depan.

Teruja untuk meneruskan keserasian mereka dalam persembahan karakter lakonan, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana hanya mampu mengucap syukur kerana gandingannya bersama Khai membuka pintu-pintu penghargaan daripada peminat bahkan menjadi sayap rezeki buat mereka berdua.

KOSMO!: Selepas meluncurkan lagu duet bersama Khai, boleh Nana ceritakan perkembangan terkini tentang kalian berdua?

SITI NORDIANA: Alhamdulillah tidak lama lagi saya akan kembali turun ke set penggambaran bagi menjayakan sebuah drama. Karya arahan Hadith Omar tersebut akan bersiaran dalam slot Mega Drama menerusi Astro Ria. Lebih menarik, ini merupakan gandingan pertama dan kemunculan perdana Khai dalam drama. Saya yakin, mesti peminat pun teruja untuk menonton drama itu nanti.

Bidang nyanyian dan lakonan berbeza. Jadi apa persediaan anda untuk berlakon bersama Khai memandangkan ini merupakan lakonan pertamanya?

Memang saya ada perancangan untuk ajak dia ke kelas lakonan. Dapat hadir untuk dua kali seminggu pun sudah okey. Khai sendiri pun memang ada bertanyakan saya tetapi tidak banyak yang saya dapat kongsikan. Sekadar perkara asas sahaja. Saya pun masih baru dalam lakonan, jadi kami akan sama-sama belajar. Tetapi saya yakin Khai tiada masalah sebab dalam kebanyakan klip video dia pun, dia ada berlakon. Saya tengok lakonannya semula jadi dan dia ada bakat.

Selain bekerjasama dengan Khai, apa lagi sebab anda menerima tawaran tersebut?

Sebenarnya saya sudah setahun berehat daripada cabang lakonan. Setiap tahun saya akan tetapkan untuk berlakon dalam satu atau dua buah naskhah. Tahun lalu saya terlibat dalam dua buah drama kemudian berehat seketika. Jadi ini adalah masanya untuk kembali berlakon. Lagipun lagu saya dan Khai, Satukan Rasa akan digunakan sebagai lagu tema bagi drama tersebut. Secara tidak langsung ini akan membantu promosi lagu kami kepada peminat.

Baiklah. Selepas melancarkan single duet sulung, apakah ada perancangan untuk kalian mengeluarkan album duet pula selepas ini?

Tiada masalah kalau hendak buat album. Tetapi semuanya bergantung kepada penerimaan peminat. Kalau peminat mahu, kami okey sahaja untuk beri apa yang mereka suka. Cuma mungkin kami akan mendahulukan single berbanding album.

Jika dahulu anda terkenal sebagai pasangan duet dengan arwah Achik Spin dan sekarang bersama Khai pula. Jadi apa yang anda boleh tentang situasi berkenaan?

Saya anggap ini semua sebagai penghargaan sebab saya akui bukan senang untuk mencari pasangan duet yang serasi dan terbaik. Dahulu arwah Achik sudah sebati dengan saya sebab kebanyakan peminat pada waktu itu sebaya dengan kami. Sekarang, saya nampak Khai ada aura seperti arwah. Jadi, semua itu banyak membantu dalam menarik minat peminat muda. Saya tiada masalah dengan gabungan ini sebab dapat mewakili dua generasi.