Manfaat usaha tersebut akan menjadi lebih indah jika penerima ilmu tadi terdiri daripada insan yang tidak pernah terjebak dalam dunia lakonan. Pengalaman yang jarang hadir dan disifatkan begitu mahal tersebut terbiak dalam dirinya sewaktu bersama 12 orang pelakon cilik dalam filem Suatu Ketika: Langitkan Impianmu.

Menerusi filem arahan Prakash Murugiah itu, Nam Ron yang memegang watak sebagai tukang kebun bekerja di sebuah sekolah rendah bernama Pak Saad tidak hanya bermain di hadapan kamera.

Dia juga memainkan peranan penting di belakang tabir menjadi guru lakonan kepada 12 pelakon cilik yang memegang watak sebagai pemain bola sepak pasukan sekolah.

Seramai 12 pelakon kanak-kanak tersebut terdiri daripada Armand, Danial Akmal Fariz, Farez Iqmal, Kuhan Divagaran, Dheva Naish, Daniel Syahidan, Putera Syazwan, Lim Xuan, Azlan Raihan, Danial Iman, Ahmas dan Adeq Jiey.

“Selama ini, saya dan Pekin Ibrahim juga bertindak sebagai pengarah. Jadi, apabila terlibat dalam filem Suatu Ketika, kami banyak menyumbangkan ilmu kepada pelakon kanak-kanak yang terlibat untuk mengasah bakat lakonan mereka.

“Bekerja dengan 12 pelakon kanak-kanak ini senang sebab mereka mudah dibentuk. Budak-budak ibarat kain putih, jadi senanglah untuk kami mencorakkan mereka mengikut watak masing-masing,” ujarnya ketika ditemui usai majlis tayangan filem Suatu Ketika: Langitkan Impianmu di GSC Mid Valley, ibu kota baru-baru ini.

Psikologi

Memegang watak Pak Saad yang menjadi tunjang utama penubuhan pasukan bola sepak sekolah rendah Ujong Pasir, Nam Ron turut berbicara tentang kelebihan watak itu.

Katanya, Pak Saad bukan seorang tukang kebun biasa tetapi mempunyai nilai latar belakang hidup yang membolehkannya mengenali psikologi kesemua pelajar dalam pasukan bola sepak tersebut.

“Pak Saad nampak seperti seorang tukang kebun dan penduduk kampung yang biasa. Ironinya, dia adalah bekas askar dalam pasukan Inggeris.

“Pengalamannya bergaul dengan orang Inggeris selama berada dalam tentera memberikan kelebihan kepadanya untuk memahami psikologi terhadap seseorang,” katanya yang mengambil masa sekitar empat bulan untuk melatih kesemua 12 pelakon cilik tersebut bersama Pekin dan Prakash.

Korea Selatan

Selain sibuk dengan promosi filem Suatu Ketika dan Dendam Pontianak, pelakon berusia 49 tahun itu akan turun ke gelanggang penggambaran filem KL Gangster Underworld, pada Oktober depan.

Di sebalik kesibukan berlakon, sutradara filem Crossroads: One Two Jaga itu juga dalam proses pembikinan sebuah lagi naskhah terbaharu arahannya berjudul Mat Derih Kola Perlih.

Biarpun masih dalam peringkat perbincangan dengan penerbit untuk mendapatkan dana sebelum memulakan penggambaran yang dijadualkkan berlangsung tahun depan, pemilik nama Shahili Abdan itu tetap teruja ketika diajak berbicara tentang filem berkenaan.

Berbeza dengan One Two Jaga yang mengupas sisi gelap Polis Diraja Malaysia, Mat Derih Kola Perlih menyaksikan Nam Ron beralih terhadap naskhah fiksyen.

“Cerita ini bukan tentang kisah sebenar seperti One Two Jaga. Sebaliknya naskhah ini sebuah kisah biografi dan watak Mat Derih adalah fiksyen semata-mata.

“Dia dipotretkan sebagai seorang ketua kongsi gelap yang kemudiannya masuk ke kancah politik. Jadi, tiada kaitan dengan sesiapa atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak,” jelasnya.

Pengarah Terbaik Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) itu juga berdepan sedikit cabaran untuk mencari pelakon yang boleh menjayakan tokoh Mat Derih.

Hal ini kerana filem tersebut berlatar belakang era 1980-an sehingga kini, maka pelakon tersebutlah haruslah memiliki fizikal dan paras yang tidak terlalu muda mahupun terlalu tua.

“Saya mencari seorang pelakon yang bertubuh kecil dan polos serta raut wajahnya tidaklah terlalu tua atau muda kerana dia hidup pada dua zaman. Dia boleh jadi seorang remaja dan dewasa.

“Kriteria penting yang lain adalah dia perlulah pandai bertutur dalam bahasa utara iaitu dialek negeri Perlis,” ceritanya.

Ketika ditanya apakah naskhah tersebut disuntik pengaruh dari luar, Nam Ron mengakui sememangnya gemar mengikuti karya-karya dari Korea Selatan.

“Memang ada sedikit pengaruh dari naskhah Korea Selatan terutama dari aspek sinematografi. Kecuali dari segi struktur, memang kebanyakan filem mengambil rujukan daripada filem Hollywood.

“Jadi, untuk filem Mat Derih Kola Perlih, saya mahu acuannya dalam bentuk filem blockbuster sebab karya ini sarat dengan aksi,” tutupnya.

Bertubi-tubi muncul dengan naskhah layar perak seperti Warkah, Dendam Pontianak dan beberapa hari lagi dengan Suatu Ketika, Nam Ron yang selayaknya digelar seorang ‘tokoh baharu’ seniman tanah air, masih tidak menemukan sebuah pencarian. Di dadanya terpasak nama seorang lagi ‘tokoh’ untuk dimunculkan dalam sebuah filem biografi fiksyen berjudul Mat Derih Kola Perlih, namun wajah yang diinginkan belum menampakkan bayang.