Berlandaskan pengaruh kuat yang dibina menerusi reputasi dan kepercayaan pengikut setia, dua kumpulan indie itu telah membuktikan kemampuan mereka memukau hampir 5,000 penonton pada konsert Hujan X Masdo di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Sabtu lalu.

Konsert berdurasi tiga jam 30 minit tersebut menyaksikan asimilasi muzik yang digarap kemas. Dalam tempoh tersebut juga, penonton dipersembahkan dengan lebih 30 buah lagu yang disambut sorakan utuh tanpa menghiraukan cuaca murung.

Membuka tirai persembahan pada pukul 8.30 malam, meskipun dalam basah dan renyai suasana, penonton seperti tidak menghiraukan setiap titisan hujan kerana asyik dibuai suara vokalis Hujan, Noh Salleh dan Kugiran Masdo, Ali Sariah.

Persekitaran yang sedikit basah dan lembap agak membataskan penonton sehingga tampak ada antara mereka seakan-akan kurang selesa apabila terpaksa memaku tubuh dan memakai baju hujan demi tidak melepaskan kumpulan indie popular itu beraksi di atas pentas.

Mujur hujan yang turun tidak terlalu lama sehingga menghilangkan keghairahan penonton. Cukup sekitar 15 minit, kelincahan penonton kembali rancak, sekali gus bersama-sama menghangatkan malam konsert sambil menyanyikan untaian lagu popular Hujan dan Kugiran Masdo.

Dimulakan dengan segmen Mash Up, kedua-dua kumpulan berjaya memarakkan semangat penonton untuk turut sama melonjak sambil menyanyikan lagu seperti Dikala Bulan Bermain Biola, Kasihan dan Miss Flower Learn To Twist.

Terus rancak menghiburkan khalayak, kedua-dua kumpulan itu membuat persembahan dengan mengambil posisi berselang-seli antara satu sama lain.

Memberi ruang kepada wajah baharu untuk membuka ‘gelanggang’, Kugiran Masdo terlebih dulu menyanyikan lagu mereka, Malam Pesta Rock & Roll dan Teruna & Dara. Hujan kemudian menurunkan runtuhan emosi menerusi lagu Perindu Kalbu dan Suria.

Sokongan peminat

Sebaik tirai persembahan dibuka, kedua-dua vokalis band berkenaan tidak lekang mengucapkan terima kasih kepada khalayak kerana memberi sokongan bagi merealisasikan paduan sulung mereka.

Sokongan khalayak tanpa henti menyanyikan bersama setiap lagu yang dipersembahkan menjadi suntikan semangat untuk mereka kekal bertenaga dengan jiwa kencang tenaga.

“Kami mengucapkan terima kasih kerana kalian yang sanggup bersusah payah hadir dan membeli tiket. Ini tidak ubah seperti satu penghormatan buat kami.

“Kalian semua bagai pemacu semangat untuk kami terus melahirkan karya. Harap semua terhibur dengan persembahan pada konsert malam ini,” kata Noh tatkala selesai segmen Battle Of The Band yang merupakan bahagian kedua acara.

Menerusi segmen berkenaan, mereka saling bergabung menyanyikan lagu Kamek Sayang Kitak & Lamunan Terhenti sebelum pentas dikuasai oleh Kugiran Masdo dengan dendangan Bercanda Di Malam Indah.

Hujan kemudian menghangatkan suasana khalayak yang ‘dahagakan’ persembahan bertenaga menerusi lagu Inspektor Remos dan Dugaannya.

Melengkapkan acara konsert, segmen Tribute yang didedikasikan kepada pejuang muzik indie. Antara lagu yang dipersembahkan dalam segmen berkenaan ialah Mawar Khayalan, Konflik Metropolis, Ratu Hati, Kau Pijak Hatiku, Kecundang, Jika Sempat, Kota Hati dan Berduka Lara.

Menghampiri penghujung persembahan, usikan Noh yang mengatakan mereka bakal melabuhkan tirai menyebabkan peminat berteriak sehingga ada mengugut untuk tidak mahu pulang.

Nyata sisi jenaka lelaki berusia 33 tahun itu berhasil apabila khalayak bersorak selain turut menyanyikan bersama lagu mereka. Mula dengan lagu Bunga nyanyian Kugiran Masdo, Hujan mendominasi acara dengan persembahan hebat menerusi single Kembara Empayarmu serta ‘lagu keramat’ mereka, Pagi Yang Gelap.

Tidak berakhir di situ, laungan Aku Skandal dan Muda menyaksikan gandingan kedua-dua kumpulan secara rasminya mengakhiri malam penuh memori tersebut.

Legasi muzik indie

Dari satu persepsi lain, sokongan peminat, bukan sahaja sanggup berhujan untuk sama-sama menikmati muzik, menyanyi dan menghafal setiap bait lirik lagu nyanyian mereka membuktikan muzik indie terus hidup meskipun berdepan iklim industri yang dianuti pelbagai gerakan.

Sebagai contoh, taruhan muzik yang diketengahkan oleh band Kugiran Masdo jelas lebih terarah kepada gaya irama 1960-an atau dikenali dengan era pop yeh yeh.

Jelas ritma muzik yang telah lama ditinggalkan itu berjaya dihidupkan kembali kumpulan tersebut. Biarpun susunan muzik yang lebih moden dan kontemporari, namun identiti pop yeh yeh jelas kedengaran dalam setiap untaian dendangan mereka.

Corak industri sekarang yang pantas diterima peminat ditambah lagi kecanggihan dunia media sosial banyak memain peranan membantu kerjaya seseorang penyanyi atau kumpulan untuk membina pengaruh.

Kejayaan Hujan dan Kugiran Masdo menjayakan konsert anjuran D Grand Stage Event dengan kerjasama Gbam Production dan CST Production tersebut membuktikan kebangkitan muzik indie tidak hanya bergantung terhadap lambakan artis baharu atau popular sebagai Bintang Baru Nak Up (BBNU).

Kemampuan mereka sekali gus mempamerkan ruang dan peluang bagi pejuang muzik indie masih ‘bernafas’ sekali gus meneruskan legasi untuk masa depan.