Kata Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 26, dia kini bersedia membuka satu lagi lembaran baharu dalam kariernya selepas pernah menolak tawaran berlakon sebuah sinetron di Indonesia dua tahun lalu.

Ceritanya, dek masih belum bersedia untuk mencuba nasib di sana, tawaran keemasan tersebut pernah dipersiakan.

Ikuti cerita lanjut daripada pelakon drama Cik Serba Tahu itu yang turut berbicara tentang perjalanan kariernya tahun ini.

KOSMO!: Menghampiri penghujung tahun 2017, bagaimana Nadia melihat perjalanan karier untuk tahun ini?

NADIA BRIAN: Alhamdulillah, perjalanan karier saya berjalan dengan lancar kerana banyak menerima tawaran berlakon drama dan filem.

Drama lakonan saya, Dendam Aurora yang disiarkan sebanyak 100 episod juga baru berakhir baru-baru ini.

Menerusi drama itu, lakonan saya semakin dikenali lebih-lebih lagi oleh golongan anak-anak kerana saya memegang watak sebagai seorang doktor pakar psikologi kanak-kanak. Biarpun ia memerlukan masa yang panjang tetapi secara jujurnya, saya sangat seronok berlakon drama berkenaan.

Penat itu semestinya, namun perjalanan kerja menjadi lebih teratur kerana dalam tempoh panjang itu saya boleh menyusun jadual setiap hari.

Jadi, bagaimana dengan perancangan tahun 2018?

Untuk tahun ini sahaja saya sudah menyelesaikan penggambaran dua buah filem iaitu Mak dan Blok 404. Dalam masa terdekat, saya akan menjalani penggambaran drama berjudul Shah & Zam untuk slot Iris di TV3.

Untuk tahun depan, saya merangka pelan baharu dan menyasarkan lebih banyak karakter serta naskhah berkualiti.

Selain itu, saya juga merancang untuk menyertai kelas lakonan bersama pelakon Fauziah Ahmad Daud demi memantapkan kemahiran sebelum bersedia mengembangkan karier ke negara lain seperti Indonesia.

Melihat kepada kejayaan ramai rakan artis lain telah membakar semangat saya untuk mencuba nasib di sana.

Dua tahun lalu juga saya pernah ditawarkan berlakon untuk sebuah sinetron selepas ada pihak produksi negara itu menonton pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah arahan Erma Fatima di Istana Budaya. Namun, disebabkan masih baru dalam industri dan belum cukup pengalaman, saya terpaksa menolaknya.

Menyertai kelas lakonan memberi nilai tambah untuk seseorang pelakon. Apa komen anda?

Memang betul. Bagi saya, menyertai kelas lakonan sangat penting untuk semua pelakon, lebih-lebih lagi yang masih baru dalam industri kerana bidang ini menuntut pelakunya sentiasa meningkatkan kualiti.

Saya menyifatkan tempoh dua tahun dalam industri sebagai belum cukup kerana setiap naskhah mempunyai jalan cerita dan karakter berbeza.

Tidak salah kalau belajar kerana setiap guru mempunyai filosofi yang berbeza untuk diterapkan dalam bidang ini. Ini juga adalah salah satu langkah untuk saya mengekalkan nama dan bakat dalam industri.

Anda pernah menerima kecaman kerana berpenampilan seksi di laman sosial. Sebagai artis yang menjadi tatapan umum apakah yang anda lakukan acap kali berdepan situasi sebegitu?

Itu satu salah cabaran bergelar anak seni pada zaman serba moden ini kerana ada media sosial yang tiada batas. Menerima perkataan lucah dan gangguan seumpamanya, itu saya sudah terbiasa.

Soalnya, bagaimana kita mengawal dan menghindarkan diri daripada orang negatif. Saya juga pernah dikritik tetapi tidak mampu memuaskan hati semua orang. Apa yang boleh saya katakan, sebagai pelakon kita perlu bijak menjaga diri sendiri.

Caranya mudah, saya tidak pernah melayan orang yang sakit mental kerana hidup mereka sentiasa mahu menjadikan artis sebagai sasaran untuk dikecam.