Menariknya Nabila, 27, mengambil pendekatan berbeza apabila membawa lebih 50 orang ahli kelab peminat Nabaela FC  berbelanja juadah berbuka puasa di bazar ramadan Kampung Baru, ibu kota.

Menurut pelantun lagu Vroom Vroom itu, dia memilih untuk berbuka puasa secara sederhana namun lebih dekat dengan peminat.

“Alhamdulillah walaupun Ramadan tahun ini agak sibuk tetapi saya tetap mencari masa berbuka bersama peminat kerana aktiviti ini hanya dapat dilakukan setahun sekali sahaja.

“Kali ini kami tidak berbuka puasa di hotel atau restoran tetapi inginkan kelainan dengan membeli juadah di bazar bersama mereka. Dengan cara ini saya rasa lebih rapat dan menyeronokkan,” ujar Nabila.

Tambah Nabila, majlis itu juga merupakan salah satu cara untuk dia menghargai peminat yang banyak membantu kelangsungan kerjayanya dalam bidang seni.

“Mereka tulang belakang saya sebagai artis, jadi apa salahnya jika meluangkan masa beberapa jam dalam tempoh sebulan ini untuk berbuka puasa bersama mereka.

“Saya juga tidak mahu bebankan mereka keluar duit semata-mata untuk jumpa dan berbuka bersama. Kita beli yang mana mahu sahaja dan kongsi ramai-ramai supaya tidak membazir,” ujarnya.

Ditanya tentang pemilihan lokasi bazar di Kampung Baru, Nabila menjelaskan, dia ingin memberi kesedaran kepada orang ramai tentang cara terkini bayaran tanpa tunai yang boleh digunakan di bazar berkenaan menggunakan aplikasi Touch ‘n Go, eWallet.

“Bazar kampung baru ini merupakan bazar pertama yang menggunakan urusan bayaran tanpa tunai Touch ‘n Go eWallet.

“Jadi urusan membeli lebih senang dan tidak perlu tunggu lama untuk melakukan urusan pembayaran,” katanya.

Pada acara yang berlangsung pada Sabtu lepas itu, Nabila turut menyampaikan tiga buah lagu secara akustik sementara menunggu waktu berbuka puasa. - K! ONLINE