Bagaimanapun, penyanyi berusia 25 tahun itu menerima kesannya apabila mendedahkan kepada umum bahawa gambar mesranya berdua bersama Aedy dan juga video dia menangis kekecewaan ditinggalkan pelakon itu di laman Instagram sekadar gimik semata-mata.

Akibatnya, Nabila dikecam ramai netizen dan menganggap penyanyi yang lahir daripada program realiti popular Akademi Fantasia 2013 itu sebagai penipu.

Hakikatnya, Nabila yang juga merupakan pelakon drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati di samping Alif Satar itu tidak kisah dikecam netizen, bahkan berterima kasih atas kepedulian mereka ke atas gimik cintanya dengan Aedy.

“Saya akui memang ramai yang kecam apabila mendapat tahu percintaan saya dengan Aedy hanya gimik. Namun begitu, saya tidak berkecil hati sebab gimik tersebut dilakukan untuk muzik video lagu terbaharu saya iaitu Pematah Hati. Ramai penyanyi lain yang turut mencipta gimik bagi melariskan produk seni mereka. Begitu juga dengan saya, cuma cara yang diambil saya adalah begini.

“Walaupun dikecam, ia secara tidak langsung membuatkan nama saya lebih dikenali dan membantu profil karier saya sebagai penyanyi. Saya berterima kasih kepada mereka yang menjadikan ‘percintaan’ saya itu tular,” ujarnya tanpa berselindung sambil menitip permohonan maaf kepada peminat kerana melakukan gimik tersebut.

Meskipun menerima kesan buruk ke atas gimik yang dilakukan, namun muzik video Pematah Hati Nabila ternyata menjadi daya tarikan hingga membuatkannya menerima lebih setengah juta tontonan dalam tempoh 24 jam ia dimuat naik di laman YouTube.

Mengulas mengenai sambutan hangat itu, Nabila mengaku, dia tidak menyangka muzik video tersebut menerima sambutan yang baik daripada peminat.

“Walaupun saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap muzik video itu, namun saya tidak menyangka sambutannya sehebat itu,” luahnya yang turut berterima kasih kepada Aedy kerana memainkan watak yang berkesan dalam muzik video tersebut.

Berkongsi mengenai muzik video tersebut, kata Nabila, ia adalah arahan dua pemuda berasal dari Romania yang menggelarkan diri mereka sebagai Storytellrs.

“Konsep muzik video berkenaan adalah idea daripada mereka sendiri yang berjaya memberi sentuhan bertaraf antarabangsa dan ia disiapkan hanya dalam tempoh dua minggu,” jelasnya yang turut memberitahu lagu Pematah Hati merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Hael Husaini dan Ezra Kong.

Dalam perkembangan lain, selain mempromosikan lagu dan muzik video Pematah Hati, pemilik Ijazah Sarjana Muda Senibina Kejuruteraan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang itu juga bakal muncul menerusi drama terbaharu yang berjudul Matahari Cerah Lagi.