Diarahkan oleh Feroz Abbas Khan, pementasan teater muzikal berkenaan secara tidak langsung mengeratkan hubungan dua hala antara India dengan Malaysia.

Bukan sahaja memberi impak positif terhadap hubungan politik, bahkan acara tersebut turut merancakkan industri pelancongan tempatan selain menarik minat pelancong luar.

Acara anjuran MI Cultural Event Sdn. Bhd. (MICE) tersebut turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Menurut Pengarah MICE, Datuk Nabhesh Khanna, pihaknya telah berusaha keras bagi memastikan perancangan pementasan Mughal-E-Azam: The Musical berjaya direalisasikan di Malaysia.

Mughal-E-Azam: The Musical merupakan sebuah pementasan berprestij yang bakal diadakan di Malaysia. Kami berharap acara ini akan berjalan lancar,” kata Nabhesh Khanna.

Pengarahnya, Feroz Abbas Khan pula mengharapkan perbezaan bahasa tidak membataskan khalayak untuk memberi sokongan terhadap muzikal tersebut.

“Muzikal ini merupakan sebuah naskhah cinta yang bersifat universal dan dekat dengan penonton. Kami turut berasa teruja untuk mempersembahkan karya ini kepada semua,” ujar Feroz.

Pementasan Mughal-E-Azam: The Musical bakal menyaksikan kesenian budaya India yang diterjemahkan menerusi persembahan nyanyian dan tarian oleh barisan pelakon hebat.

Lebih mengasyikkan, ia akan diwarnai variasi kostum hasil rekaan pereka fesyen bertaraf dunia, Manish Malhotra.

Pementasan yang menggunakan bahasa Hindi sepenuhnya itu dijadualkan berlangsung selama dua jam 20 minit bermula pukul 8 malam. Pada masa sama, terjemahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris turut disiarkan menerusi paparan skrin LED yang disediakan.