Tahun 2018 boleh dikatakan sebagai fasa paling membanggakan buatnya sebagai seorang penyanyi dan menjadi tempoh paling mencabar buat wanita berusia 25 tahun itu.

“Tahun 2018 telah menjadi tahun terbaik dalam karier dan pada masa yang sama, paling terburuk dalam kehidupan saya.

“Saya tidak cakap begini untuk memancing simpati tetapi ramai orang yang melihat saya sebagai seseorang yang sedang berada dalam kemuncak kerjaya nyanyian namun tidak merasa apa yang sebenarnya sedang saya alami.

“Berkenaan perihal peribadi, saya benar-benar tidak tahu apa yang sedang dilakukan. Semuanya sangat mengelirukan. Kalau anda di luar sana tiada idea tentang babak seterusnya dalam hidup, anda tidak berseorangan. Saya pun sama,” ungkap pemilik nama sebenar Ariana Grande-Butera itu ketika dinobatkan sebagai Woman of the Year majalah Billboard sekitar hujung tahun lalu.

Dipersalahkan

Tahun 2018 mencetus banyak pengajaran buat artis bawah naungan syarikat rakaman mega, Republic Records itu. Dia kehilangan bekas teman lelaki, Mac Miller yang mati disebabkan penggunaan dadah berlebihan. Dalam ruang media sosial, dia dipersalahkan oleh peminat atas kejadian tersebut.

Tahun yang sama juga, dia memutuskan pertunangan dengan kekasih, Pete Davidson. Sekali lagi, reputasinya tercalar apabila lelaki itu berdepan kemurungan. Grande turut menjadi mangsa kecaman netizen yang menuduhkan sebagai punca kemerosotan nilai hidup Davidson.

Semua onar tersebut tidak dihitung bersama mimpi ngeri yang berlaku setahun sebelum itu apabila konsert jelajahnya, Dangerous Woman World Tour menyebabkan 22 orang maut dan lebih 800 orang cedera akibat tragedi letupan bom pengganas. Kejadian tersebut berlaku di Manchester Arena, United Kingdom.

“Muzik sepatutnya menjadi benda paling selamat dalam dunia. Saya berfikiran begitu, namun muzik kini menjadi rasa yang sangat berat dalam jiwa setiap hari.

“Saya berharap ada ruang yang lebih untuk saya betulkan perkara lalu. Mungkin keadaan akan menjadi mudah atau anda akan berdamai dengan rasa sakit sebegitu. Tetapi, setiap hari saya menunggu untuk kedamaian itu hadir namun hati saya masih remuk,” jelasnya dalam satu temu bual bersama majalah Time.

Selepas segala tragedi di United Kingdom, pelantun lagu No Tears Left To Cry terbabit lebih matang dan kuat dalam mendepani hari mendatang. Biar dijulang bersemai pujian setinggi Gunung Everest ataupun dilambung ombak bergelora dengan kepayahan, dia barangkali sudah bersiap siaga.

“Saya sungguh bersikap ke depan untuk melalui apa-apa sahaja yang akan berlaku atau apa sahaja di jalan hidup. Sangat bersyukur kerana dikurniakan keluarga dan kawan-kawan. Rasa bersyukur yang sama untuk muzik saya.

“Saya melihat ke depan untuk beri sedikit rasa cinta dan kemaafan yang sebelum ini mudah diberikan kepada kaum lelaki. Kali ini untuk diri sendiri pula.

Kejayaan Thank U, Next

“Saya sudah memiliki banyak perkara yang sebelum ini hanya mampu diimpikan. Sehinggalah saya menyedari apa yang membuatkan saya mengecap nikmat paling bahagia adalah perkara-perkara dan berada bersama orang yang memang sudah wujud dalam hidup saya,” ujar Grande.

Saat artikel ini dinukilkan, lagu Thank U, Next yang mencipta rekod sebagai karya pertama Grande yang menduduki takhta teratas carta Billboard Hot 100. Lagu berkenaan kekal ke tangga nombor satu sehingga minggu kelapan.

Dengan rendah diri, Grande memberi penghargaan buat penerbitnya, Tommye Brown berkenaan fenomena lagu tersebut. Katanya: “Single itu milik Tommy Brown. Saya susah untuk percayakan kejayaan lagu ini. Ini semua hasil daripada keseronokan hidup bersama teman-teman baik termasuk kisah patah hati. “Saya hanya ingin berkongsi cerita kepada orang ramai dan berseronok. Saya sukakannya lebih daripada lagi-lagu lain yang pernah dikeluarkan sebelum ini.”

Menjelaskan tentang penghasilan lagu Thank U, Next, wanita itu berkata, tidak lama selepas kematian bekas teman lelaki, Miller, dia mula menghabiskan masa bersama kawan-kawan rapat, termasuk Brown untuk merakamkan single dan album yang diberi judul sama.

“Apabila saya memasukkan lirik ‘cause her name is Ari’, saya tahu ungkapan itu merupakan satu lirik yang istimewa. Namun sebahagian diri saya berkata, ayat itu kedengaran terlalu sentimental.

Thank U, Next merupakan satu karya simbolik deklarasi sayang terhadap diri sendiri. Jadi, apabila difikirkan semula, saya harus bersikap jujur dengan perkongsian bersama peminat. Kemudian kejayaan itu akan datang,” jelas kepada majalah Billboard.

Femenisme

Grande merupakan seorang pemuzik yang berpegang kuat pada faham femenisme. Jadi, apabila Hollywood seperti bersikap berat sebelah atau tidak adil terhadap golongan wanita, dia terpanggil untuk memuntahkan pandangan.

“Saya seorang wanita bertubuh kecil dan orang selalu memandang enteng tentang itu. Hanya selepas saya melantunkan vokal, menerbitkan muzik sendiri, orang baru bermula memandang serius.

“Percaya atau tidak, ada ramai wanita bertubuh kecil yang berkemampuan seperti lelaki. Saya mahu melihat carta di mana wanita diberi peluang sama seperti lelaki. Industri sekarang terlalu didominasi kaum lelaki hanya kerana mereka lelaki.

“Sebenarnya, ramai wanita di luar yang mencuba lebih keras daripada lelaki. Kadang-kadang saya lihat kaum lelaki senang mendapatkan sesuatu,” getus Grande panjang lebar.

Menjawab tentang fenomena luar biasa Thank U, Next yang barangkali sukar untuk dicapai karya berikutnya, kata Grande: “Kalau karya selanjutnya tidak berjaya seperti Thank U, Next, tidak mengapa. Memang seronok mempunyai lagu nombor satu tetapi lagi seronok dapat berkongsi sesuatu dengan kejujuran.

“Apabila kehidupan dibelenggu pelbagai masalah, matlamat kita berubah. Untuk Ariana Grande, dia hanya ingin hidup bahagia, sihat dan terus berkongsi perihal muzik.”

Sebelum menggulung perbualan dengan majalah Billboard, Grande sempat menurunkan pegangan hidup yang sentiasa menjadi teladan hidupnya. Katanya, dia tidak mahu mudah mengalirkan air mata setiap kali ditimpa dugaan.

“Saya tidak mahu orang lain memberitahu saya apa yang patut dilakukan. Saya tidak mahu membuta tuli terikut dengan agenda bintang pop kerana saya mahu lakukannya dengan terma sendiri.

“Kalau saya mahu melancarkan dua album sekali gus, saya akan lakukan. Kalau saya mahu lancarkan album ketiga ketika sedang mengadakan konsert jelajah pada 2019, saya tetap akan realisasikan,” tutup Grande.

Konsertnya pernah diuji kecelakaan letupan bom yang mengakibatkan 22 nyawa melayang. Dia pernah dipersalahkan atas kematian bekas kekasih dan kemudian putus tunang sekitar Oktober tahun lalu. Semua insiden itu tidak mematahkan semangat Ariana Grande yang kini berada di puncak kerjaya.