Maka untuk naskhah yang diberi nama Hantu Kak Limah, salah seorang pelakonnya, Pekin Ibrahim mengandaikan ia mungkin yang terakhir bakal ditonton audiens.

“Saya rasa cerita Hantu Kak Limah kali ini mungkin penutup kepada kisah hantu Kak Limah. Malah, saya menyifatkan filem berkenaan memberi nilai sentimental kepada pengarahnya, Mamat Khalid kerana ia dilakonkan oleh orang-orang yang dekat dengan dirinya. Masakan tidak, arwah Rab Khalid yang turut berlakon dalam filem berkenaan meninggal dunia pada Januari lalu sebelum filem berkenaan sempat ditayangkan,” jelas Pekin mengenai filem tersebut yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 9 Ogos nanti.

Mengulas lanjut mengenai filem yang menjalani penggambaran sekitar Oktober hingga November 2017 itu, kata Pekin, jalan cerita dan skrip kali ini jauh lebih kelakar berbanding filem Hantu Kak Limah terdahulu.

Ditambah pula dengan barisan pelakon baharu yang mewarnai jalan cerita sekuel itu seperti Zul Ariffin, Erra Fazira, Sabri Yunus dan Ropi Cecupak.

“Pada saya, dengan adanya penambahan pelakon-pelakon baharu itu, ia akan menyuntik kelainan dan tarikan tersendiri kepada filem ini.

“Saya pula masih menjayakan watak anak Kak Limah iaitu Musalman. Sebelum ini, menerusi watak Musalman, dia teringin untuk menceburkan diri dalam bidang seni. Bagaimanapun, untuk watak Musalman kali ini, dia sudah menjadi pengarah berjaya dan sikapnya juga menjadi semakin berlagak,” ujarnya sambil ketawa.

Mamat kelakar, saya tidak - Zul

Kembali membawakan watak Musalman dalam filem arahan Mamat itu, tiada apa yang mampu diucapkan Pekin selain perkataan syukur kerana dapat sekali lagi bekerjasama dengan pengarah hebat itu.

“Sudah banyak kali saya bekerja dengan Mamat, namun perasaan teruja setiap kali ditawarkan berlakon dalam filemnya tidak pernah surut. Walaupun watak saya tidak banyak, tetapi berlakon dalam naskhah bagus yang ditunggu-tunggu penonton, saya berasa bangga,” ujarnya menyimpul bicara.

Sementara itu, menurut Zul Ariffin pula, dia memang mengimpikan untuk berlakon di bawah arahan Mamat.

“Saya tahu nilai karya-karya yang pernah dihasilkan oleh Mamat sebelum ini. Maka, saya bertuah menjadi salah seorang pelakon yang berlakon dalam filem beliau,” ujarnya yang membawa watak guru silat merangkap ejen cukai jalan serta insurans, bernama Solihin.

Pertama kali menjayakan watak komedi, Zul mengakui bukan seorang yang arif dalam bidang tersebut.

“Filem Hantu Kak Limah ini yang kelakar bukan para pelakonnya, tetapi adalah pengarahnya. Saya langsung tak kelakar. Maka, disebabkan itu saya kena bekerja dengan orang yang pakar dalam hal komedi iaitu Mamat. Saya juga pernah tengok dia tegur seorang pelakon supaya tidak membuat lawak kerana skrip diberi sudah kelakar,” ulasnya yang mengakui seronok berlakon di bawah arahan Mamat dan juga pelakon-pelakon lain.

Selepas tujuh tahun, kesinambungan Hantu Kak Limah kembali menemui penonton pada 9 Ogos nanti, hasil usahasama Infinitus Productions dengan Astro Shaw.

Misteri kematian Kak Limah

Hantu Kak Limah mengisahkan tentang Husin (Datuk Awie) yang pulang ke kampung setelah tidak lagi mencari rezeki di Singapura.

Dia kemudian bekerja dengan sahabat baiknya Khuda (TJ Isa), Wani (Sharwani) dan Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid) di kilang arang.

Sementara itu, Kak Limah (Delimawati) baru berkahwin dengan sahabat Husin iaitu Khuda. Cinta mereka digambarkan sebagai cinta sejati.

Namun, baru sahaja menikmati kebahagiaan rumah tangga, Kak Limah telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan.

Pada masa sama, Husin bersama rakan-rakannya Wani dan Khuda masuk ke hutan untuk menangkap burung, namun tidak semena-menanya Husin bertemu dengan seorang gadis cantik yang misteri (Uqasha Senrose) di dalam hutan dan jatuh cinta dengannya.

Ironinya, sibuk menangkap burung, Husin dan Wani tidak tahu akan berita kematian Kak Limah termasuk suami Kak Limah sendiri, Khuda.

Sementara itu, Yeh Sekupang, selaku Menteri Informasi di Kampung Pisang, sedang menguruskan jenazah Kak Limah dan memberi tugas kepada Nayan (Ropi) untuk menjaga jenazah sehingga anak Kak Limah, Musalman (Pekin Ibrahim) sampai dari Kuala Lumpur.

Nayan masih keliru dengan kematian Kak Limah kerana dia baru sahaja berjumpa dengan Kak Limah di tebing sungai sebelum datang ke klinik. Sementara, Khuda sempat pulang ke rumah bertemu Kak Limah dengan membawa Husin dan Wani serta menjamu mereka bubur keladi.

Di sini bermulanya misteri apabila kelibat Kak Limah masih kelihatan walaupun dipercayai sudah meninggal dunia. Akhirnya, muncul guru silat, Solihin yang membantu mereka berdepan dengan hantu Kak Limah.