Segalanya berlaku apabila lelaki yang mesra dengan gelaran Sam itu cuba memaksa had limitasi badannya agar dapat menjayakan watak sebagai Inspektor Khai dengan baik, selari dengan kehendak pengarah seterusnya memberi kepuasan kepada penonton.

Dia yang memperuntukkan masa selama 15 bulan hanya untuk persiapan sebelum menjalani penggambaran Polis Evo 2 di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah itu akhirnya akur apabila terpaksa dirawat selama 12 jam setelah mengalami sindrom yang dikenali sebagai hyperventilasi itu.

“Kejadian berlaku lagi dua hari sebelum penggambaran tamat. Pada malam itu saya rasa badan belum cukup bersedia untuk memberi yang terbaik ketika penggambaran pada hari esoknya.

“Selain kurang minum air, saya paksa diri untuk berlatih di gimnasium pada malam itu. Hendak dijadikan cerita, tingkap dan kipas pula ditutup, dan ia membuatkan saya terus rasa melayang sehingga terpaksa menghubungi pasukan produksi untuk dibawa ke hospital,” kongsi Sam memulakan bicara ketika sidang akhbar pelancaran filem Polis Evo 2 di Petaling Jaya baru-baru ini.

Akui Sam yang tidak boleh berkompromi apabila berbicara soal lakonan, insiden berkenaan mungkin terjadi apabila dia terlalu takut tidak dapat menyampaikan lakonan terbaik untuk naskhah arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu terutamanya keupayaan fizikal sehingga dia mengambil inisiatif mencabar kebolehan diri sehingga tahap maksimum.

Biarpun sikapnya itu beberapa kali mengundang kemarahan dan kerisauan ibunya iaitu pelakon Khaty Fauziah, namun Sam berkata, ia adalah suatu hal yang tidak dapat dielakkan apabila melibatkan hal kerja.

“Apa sahaja tentang hidup, saya boleh tepis tetapi tentang kerja tekanannya menjadi lain. Saya jadi takut kerana hasil lakonan itu akan kekal sehingga 100 tahun atau mungkin lebih.

“Jika saya tidak boleh memberi lakonan terbaik, ia akan menghantui sehingga bila-bila. Macam dalam filem sebelum ini, saya selalu mempertikaikan kenapa saya berlakon sebegitu rupa?

“Mommy juga selalu bising kerana saya selalu mengabaikan kesihatan diri apabila berlakon tetapi apa hendak dibuat kerana ia adalah minat. Mungkin saya rasa menyesal seketika tetapi tidak mustahil hal sama akan berulang balik,” kongsinya tertawa.

Motivasi

Terus rancak berbicara, lelaki berusia 36 tahun itu bersyukur kerana dengan kehadiran pelakon lain seperti Zizan Razak, Raline Shah, Hasnul Rahmat, Hairul Azreen dan Syafie Naswip memudahkan perjalanan selama 85 hari penggambaran berlangsung.

Selebihnya dia meletakkan kepada kepercayaan penonton untuk datang menonton lebih-lebih lagi melibatkan soal kutipan filem Polis Evo pertama yang berjaya mencatat filem pecah panggung pada tahun 2015 dahulu.

“Tekanan ini datang berkaitan tentang bagaimana saya mahu mencorakkan watak Inspektor Khai dan tiada kaitan dengan penglibatan orang lain. Setakat ini barisan pelakon yang terlibat cukup handal dan membuatkan penggambaran menjadi lebih mudah.

“Soal kutipan saya tahu ia di luar kawalan tetapi saya harap penonton akan terus menyokong filem tanah air,” katanya optimis.

Ditanya soal berbaloikah membuat persiapan selama 15 bulan hanya untuk naskhah Polis Evo 2 sehingga terpaksa menolak semua tawaran lakonan lain, Sam kemudian melemparkan senyuman.

Kata penerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Interchange pada Festival Filem ke-29 itu, tindakannya itu adalah untuk memberi motivasi kepada anak seni lain.

“Kadang-kadang seorang pelakon tidak boleh mengubah keseluruhan industri tetapi untuk peribadi, saya mahu memberi motivasi kepada pelakon sedia ada untuk berfikir berlakon tidak semudah disangka.

“Ia bukan sekadar buka skrip, hafal kemudian berlakon. Sebenarnya persediaan awal itu yang membuatkan seseorang pelakon nampak lebih dipercayai.

Bergilir

“Saya cuma mahu beritahu, industri kita masih ada pelakon yang sanggup meluangkan masa dan memberi sepenuh hati untuk menjayakan sesebuah filem,” terang Sam yang hanya menerima tawaran untuk iklan komersial sahaja sepanjang tempoh ‘hibernasi’ berkenaan.

Menyambung bicara soal peribadi pula, suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu teruja berkongsi soal kehamilan kedua isterinya yang kini sudah masuk usia tiga bulan.

Tidak mengalami sebarang alahan teruk, kata Sam, isterinya itu kini sedang terlibat dengan sebuah penggambaran drama rantaian sebanyak 60 episod yang bakal ditayangkan pada November depan.

“Usia kandungan Syatilla sekarang sudah masuk tiga bulan. Jika diikutkan, dia memang tidak mahu berlakon tetapi dia mempertimbangkan untuk menerima tawaran drama itu kerana masih larat sementara kandungan belum nampak lagi.

“Cuma saya dan isteri perlu bergilir-gilir menjaga Syeriv sekarang. Sejak anak kami lahir, kehidupan saya dan isteri benar-benar berbeza. Setiap perkara yang kami ingin lakukan mesti mendahulukan soal anak,” katanya.

Sambung bapa kepada Syeriv Samheizy itu yang kini berusia setahun lebih, dia dan isteri terpaksa bergilir-gilir menjaga putera sulung mereka kerana tidak berani menghantar anak ke pengasuh. Lebih-lebih lagi selepas ibunya mengambil keputusan untuk menetap di Melaka.

“Saya perlu bergilir-gilir. Ada masanya Syatilla perlu membawa anak ke set penggambaran dan ada kalanya saya sendiri menjaga Syeriv di rumah.

“Jika dahulu mommy boleh juga tolong jagakan Syeriv sekejap, tetapi sekarang agak sukar sedikit kerana dia sudah menetap di Melaka sejak bulan Ramadan lepas.

“Ia tidak mengapa kerana itu mengajar saya perasaan untuk lebih menghargai mommy apabila lama tidak berjumpa. Perasaan rindu itu membuatkan setiap minggu saya pasti balik kampung untuk berjumpa dengannya,” katanya seraya menutup bicara.

Umpama fenomena persiapan pelakon Hollywood sebelum memulakan penggambaran, Shaheizy Sam memperuntukkan masa selama 15 bulan mempersiapkan diri bagi menjayakan watak Inspektor Khai dalam filem Polis Evo 2.