Mengulas tentang kerjasama tersebut, pemilik syarikat produksi Produksi Seni 2020 iaitu Datin Wendy Wong dan Nancie Foo berkata, projek terbabit sebenarnya sudah dimulakan sejak tiga tahun lalu.

Namun, atas beberapa kekangan yang terpaksa ditempuh, ia akhirnya berjaya disiapkan untuk tayangan khalayak menjelang September depan.

“Sebenarnya naskhah ini memberi banyak cabaran kepada kami untuk menyiapkannya kerana apa yang menjadi jalan cerita adalah tentang isu dan budaya antara dua buah negara yang berbeza.

“Vietnam sangat ketat dengan undang-undang, jadi sebagai orang luar kami tidak boleh sesuka hati melanggar syarat yang ditetapkan dan perlu mengikut cara mereka. Namun, mujurlah ada sebuah stesen televisyen di sana sudi memberikan kerjasama,” ujar Wendy.

Drama yang akan disiarkan menerusi saluran TV2 tersebut mengisahkan tentang kisah percintaan antara dua insan berbeza negara selain diselitkan dengan pelbagai konflik yang sarat untuk tontonan peminat.

Moonlight Saigon tidak sekadar menampilkan barisan pelakon tempatan, tetapi uniknya ia turut menyaksikan kemunculan pelakon popular dari Vietnam.

Antara nama-nama yang menjayakan drama berkenaan ialah Evan Siao, Jonathan Lee, Hoang Kieu Trinh, Yu Doang, Amber Chia, Kenji Sawahi, Tung Bao Ngo dan Joyce Ang.

Menceritakan pengalaman dan cabaran terbesar yang perlu ditempuh pasukan produksi sepanjang penggambaran, kedua-dua penerbit wanita itu mengakui, isu bahasa menjadi halangan utama.

Jelas Wendy, cara bekerja yang berbeza selain kelemahan sistem komunikasi membuatkan kelancaran penggambaran sedikit terganggu.

“Ada banyak masalah yang dihadapi ketika di set penggambaran kerana masalah paling utama adalah komunikasi. Orang Vietnam tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, jadi adakalanya apa yang mereka buat tidak seperti yang kami mahukan.

“Namun lama-kelamaan ia dapat diatasi kerana waktu yang panjang diluangkan di sana memberi peluang untuk kami sama-sama mengenali cara bekerja masing-masing,” katanya.

Drama tersebut diarahkan oleh dua orang pengarah iaitu Mark Tham untuk penggambaran di Malaysia, manakala di Vietnam pula menggunakan khidmat Long Kiew.

Promosi Malaysia

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Fauzi Ayob berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama sebegitu kerana ia mampu menjadi platform terbaik mempromosi Malaysia sebagai pusat penggambaran di rantau ini.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin bukan sekadar mampu menonjolkan keistimewaan dan keunikan negara tetapi juga timbal balik buat Vietnam.

“Apa sahaja kerjasama yang memberi kebaikan bukan sahaja terhadap Malaysia, bahkan buat negara yang terlibat, kami di Finas sangat berbesar hati dan menyokong penuh usaha ini.

“Diharapkan selepas ini akan ada lebih banyak produksi luar negara mahu menjalin kerjasama dengan syarikat lokal supaya ia dapat mengangkat hasil kerja anak tempatan ke peringkat global,” katanya.

Dalam perkembangan lain, produksi Seni 2020 turut menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat SRAM & MRAM Technologies and Resources Limited bagi melaksanakan projek bawah anak syarikat, Jupiter XII Fund yang berperanan sebagai penyedia kandungan kreatif untuk pasaran dalam dan luar negara.