Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 38, berkata, walaubagaimanapun dia tetap percaya dan positif dengan ketentuan rezeki daripada Tuhan. 

“Tiada anak tidak bermakna hidup seseorang itu tidak sempurna dan lengkap. Sampaikan membuatkan kita berasa sedih dan kecewa dengan hidup. Kebahagiaan bukan diukur pada perkara-perkara itu. Sebab tujuan kita di dunia ini adalah untuk mengejar akhirat,” katanya ketika ditemui pada sidang media Yasmin Mogahed Malaysia Tour 2018 di The Curve, Damansara Utama sebentar tadi. 

Dedah Mizz Nina, sebelum ini dia pernah melakukan teknik rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha mendapatkan zuriat dan berkongsi tentang perkara berkenaan di blognya. 

“Saya pernah berusaha menjalani rawatan IVF tetapi tidak berjaya. Mungkin belum rezeki untuk saya dan suami memiliki anak sendiri. 

“Namun kehidupan saya sekarang tetap bahagia dan saya bersyukur dengan apa yang ada,” katanya. 

Mizz Nina dan Noh mendirikan rumah tangga pada 1 Julai 2011. - K! ONLINE