Hal ini kerana, selepas berkahwin, Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman mengambil keputusan untuk berhijrah dengan mengenakan hijab sekali gus meninggalkan dunia glamor sebagai penyanyi.

Namun dalam tempoh itu jugalah perkahwinan mereka tidak dapat lari daripada diajukan soalan tentang zuriat yang disifatkan sebagai pelengkap keharmonian rumah tangga bagi mana-mana pasangan yang berkahwin.

Mengakui pada fasa awal perkahwinan pernah berasa sensitif dengan perkara itu, namun lama-kelamaan Mizz Nina akur dengan ketentuan Tuhan yang jauh lebih indah untuk ditafsirkan manusia.

Kini dia sudah belajar untuk menjadi seorang yang tenang dan positif tatkala berdepan dengan perkara yang rahsianya cuma ada dalam genggaman Maha Esa.

Sebagai manusia kata Mizz Nina, semuanya adalah tentang qadar atau ketentuan Tuhan. Apa yang ditagihnya sebagai manusia cuma doa daripada orang ramai supaya kelak perkara indah itu akan menjadi realiti.

Sukses

Sambil tersenyum manis dengan tutur kata yang lembut, Mizz Nina meluahkan tentang penerimaan takdir Tuhan terhadap hidup dia dan suami sejak mendirikan rumah tangga pada 1 Julai 2011.

“Bagi saya, makna sukses dalam hidup seseorang bukan tentang kita mempunyai anak atau berkahwin, mahupun ada suami ataupun isteri.

“Sukses dalam hidup bagi saya adalah akhirat. Sebagai hamba-Nya, apa yang membantu kita untuk menuju ke syurga adalah dengan melakukan perkara baik-baik,” tuturnya penuh makna.

Sentiasa positif dengan apa yang telah direncanakan, jauh di sudut hati wanita berusia 38 tahun itu adalah tentang sejauh mana seseorang hamba perlu meletakkan sepenuh rasa syukur dengan pemberian Tuhan.

Ada kala, Dia tidak memberi apa yang kita mahu tetapi cukup dengan apa yang kita perlu dan itulah sebenarnya yang terbaik.

“Sekali pun saya ada suami dan anak, ia tidak memberi jaminan untuk saya masuk syurga. Jadi apa sahaja yang Tuhan beri, saya cukup bersyukur dengan seadanya.

“Kalau ada rezeki untuk menimang cahaya mata, alhamdulillah. Sebaliknya kalau Dia tidak mahu bagi pun, saya tetap bersyukur,” katanya sambil menambah kehidupannya dengan suami tetap bahagia.

Tidak berselindung, di sebalik perasaan reda itu, dia dan suami tidak pernah berputus asa. Selain doa yang dititipkan saban hari, usaha lain yang dilakukannya adalah dengan mencuba teknik rawatan persenyawaan in-vitro (IVF). Namun usaha itu masih belum membuahkan hasil.

“Saya pernah mencuba rawatan IVF tetapi rezeki belum ada. Saya juga ada berkongsi mengenai perkara itu di laman YouTube dengan menceritakan pengalaman sebelum dan selepas menjalani rawatan,” tuturnya.

Baginya, setiap yang berlaku ada hikmah tersendiri yang perlu dinilai dengan mata hati. Tatkala belum dikurniakan cahaya mata setakat ini, Mizz Nina percaya antara sebabnya adalah dia boleh memfokuskan kerja yang sedang dilakukannya kini.

Selain aktif dengan misi kemanusiaan di luar negara seperti Syria dan Palestin, pengacara program Into Taqwa itu kini bergelar pelajar dengan mengambil kelas secara atas talian.

Pengajiannya telah pun bermula sejak lapan bulan lalu dalam bidang Taklim al-Quran di Al-Huda International.

“Walaupun belajar atas talian, tetapi saya tetap rasa seperti seorang pelajar. Cuma ia hanya memerlukan komputer riba dan akses internet, sudah cukup untuk saya menyertai kelas itu.

“Pensyarah yang terlibat dari seluruh dunia dan cara belajar adalah menerusi video seperti Skype. Waktu belajar pula selama tiga kali untuk empat kelas dan setiap sesi kelas selama empat jam,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Yasmin Mogahed Malaysia Tour 2018 di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Inspirasi

Menceritakan lanjut tentang penganjuran program itu, ia merupakan kerjasama antara Dops TV yang diasaskan Mizz Nina dengan Institut AlMaghrib dan Hijup.

Ia akan berlangsung selama tiga hari bermula 24 Ogos ini di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, manakala pada 25 dan 26 Ogos pula bertempat di TM Convention Centre.

Tidak terhenti di situ, kedatangan pensyarah dan pakar psikologi terkenal dari Amerika Syarikat itu akan diteruskan dengan aktiviti perkhemahan mewah atau glamping di Tiarasa Escapes Glamping Resort, Janda Baik, Pahang pada 27 Ogos depan.

“Ini merupakan kali pertama Dops TV dan Institut AlMaghrib serta Hijup bekerjasama dalam sebuah projek. Sejujurnya beliau merupakan seorang penceramah yang hebat dalam memberikan ceramah berkenaan banyak isu.

“Cara beliau menulis dan menyampaikan ceramah datang dari hati. Beliau memberi semangat untuk menjadi orang yang lebih baik dan alhamdulillah selama ini beliau sudah membantu ramai orang yang berhadapan dengan masalah,” jelasnya.

Tiket program pada ketiga-tiga hari tersebut masih berbaki namun terhad. Mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh layari laman web almaghrib.my/yasmin.

Akui Mizz Nina, penceramah itu juga merupakan antara insan yang paling kuat mempengaruhi penghijrahannya ketika mengambil keputusan berhijab lebih lima tahun lalu.

Sepanjang tempoh melalui perubahan dalam hidup kepada seorang insan yang lebih baik, tiada lagi perasaan yang tersisa untuknya kembali ke gelanggang seni dengan bergelar penyanyi seperti awal kemunculannya dahulu.

“Selawat dan zikir memang ada saya pernah buat, cuma untuk mempersembahkannya di atas pentas, tidak. Saya seronok melakukan ceramah dan berkongsi banyak perkara baik dengan orang lain,” tuturnya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Mizz Nina dan Noh kini berada di bumi Turki dan Syria bagi menyertai misi kemanusiaan sempena sambutan Hari Raya Korban di sana selama seminggu.

“Saya sangat teruja melihat dan merasai pengalaman beraya di sini. Doakanlah agar misi ini dan kami semua selamat,” tuturnya yang berangkat pada 19 Ogos lalu.