Dianggotai oleh Sang Penyair dan Cik Puisi sebagai vokalis, Sang Pemetik (gitar utama), Sang Irama (bass), Sang Senada (keyboard) dan Sang Gegendang sebagai pemain dram, keunikan band yang berasal dari ibu negara itu jelas terserlah apabila menggunakan animasi avatar sebagai imej pengenalan diri masing-masing di kanvas internet.

Menjadikan band virtual antarabangsa yakni Gorillaz sebagai sumber inspirasi, Geng Upahan optimis bahawa keunikan yang mereka tonjolkan berupaya meraih perhatian positif khalayak kendatipun identiti sebenar mereka kekal menjadi misteri dalam kalangan peminat.

Getus Sang Penyair, band yang bergenre modern rock itu pada mulanya sekadar ditubuhkan secara suka-suka pada awal tahun ini sebagai platform untuk bereksperimen dengan bahasa muzik yang barangkali cuma difahami oleh mereka sendiri.

“Sudah agak lama kumpulan virtual dilihat tidak memeriahkan industri muzik tempatan, jika ada pun kumpulan Tyco yang pernah popular kira-kira dua dasawarsa sudah.

“Siapa sangka keunikan kami menggunakan animasi avatar sebagai imej pengenalan diri masing-masing akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapat respons positif dalam kalangan netizen baru-baru ini,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Cik Puisi pula memberitahu, siapa sebenarnya yang berselindung di sebalik avatar-avatar berkenaan bukanlah persoalan utama asalkan mesej dan muzik yang mereka cuba sampaikan berjaya menyentuh jiwa pendengar.

“Sesiapa pun boleh menjadi Geng Upahan. Itu keistimewaan band virtual seperti kami supaya bebas berkarya tanpa sebarang kekangan berbangkit seperti pertukaran ahli band gara-gara sukar memberikan sepenuh komitmen dan sebagainya,” ceritanya lagi.

Dalam pada itu, Sang Senada menyifatkan masih terlalu awal untuk mereka memikirkan bagaimana sekiranya Geng Upahan perlu membuat persembahan secara langsung suatu hari nanti.

“Mengikut perancangan asal, kami sekadar bergiat aktif di laman sosial ekoran kesemua anggota band terikat dengan komitmen karier masing-masing.

“Cuma jika rezeki berpihak kepada kami, tidak mustahil kami akan memikirkan sesuatu termasuk mengadakan persembahan menggunakan animasi meskipun sedar ia menuntut kos yang agak tinggi,” ujarnya.

Menurut Sang Gegendang pula, mereka percaya Geng Upahan bukan sekadar platform untuk mereka berkarya dengan muzik, malahan turut membantu pakar-pakar animasi amatur tempatan untuk bekerjasama dengan mereka termasuk pembikinan muzik video dan sebagainya.

“Diharapkan dengan situasi menang-menang ini bukan saja memeriahkan industri muzik tempatan, namun berupaya memartabatkan pakar-pakar animasi tempatan yang tidak kurang hebat di mata dunia,” jelasnya.

Pada masa sama, Sang Irama juga memanjat rasa syukur apabila single pertama mereka, Lebih Disayang Tuhan hasil nukilan komposer Sri Rankad dan DNA dilihat berjaya meraih sambutan memberangsangkan peminat di media sosial.

“Untuk single seterusnya, kami juga bercadang untuk bekerjasama dengan mana-mana label rakaman tempatan sekali gus berpotensi untuk dimainkan di corong-corong radio selepas ini,” jelasnya.

Ungkap Sang Pemetik, sesiapa yang ingin mengetahui perkembangan seni terkini Geng Upahan bolehlah mengikuti mereka di laman Instagram, Facebook ataupun SoundCloud iaitu @gengupahan.