Kata Mamat atau nama lengkapnya, Mohamad Mohd. Khalid, beliau pada awalnya hanya menjangkakan filem itu akan mencatat kutipan tidak lebih daripada RM10 juta.

“Pada mulanya saya menjangkakan hanya RM8 juta kutipan. Itu pun malu ingin beritahu orang. Apabila sudah lebih kutipan RM10juta, saya pun hairan.

“Kemudian saya sedar filem ini amat dekat dengan rakyat Malaysia. Bukan hanya satu golongan boleh tengok, ia turut dinikmati bermacam-macam orang seperti kanak-kanak dan orang tua,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis makan malam meraikan kejayaan filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Festival

Ditanya kemungkinan untuk menghasilkan kesinambungan filem rentetan daripada kejayaan hebat Hantu Kak Limah, Mamat berkata, beliau memerlukan waktu untuk memikirkan hal itu.

“Orang suka Hantu Kak Limah kerana ia dibikin dengan kejujuran. Untuk buat filem selanjutnya daripada ‘kepompong’ yang sama, saya juga perlu jujur.

“Saya tidak mahu terlalu fikir dari sudut ekonomi hanya kerana filem ini hebat di pawagam. Kalau saya terus ke arah itu, akan lingkup nanti.

“Namun saya akui ramai yang sudah mula memaksa kesinambungan filem ini. Nantilah saya fikir,” jelas Mamat yang menegaskan perlu meletakkan niat yang betul apabila ingin menghasilkan filem.

Ditanya lebih terperinci tentang sama ada dia sudah bersedia untuk memecahkan satu karakter dalam Hantu Kak Limah dan menghasilkan naskhah stand-alone (barangkali untuk watak Nayan), Mamat mempunyai pegangan tersendiri.

“Sebelum ini, saya pernah cuba buat stand-alone atau spin-off iaitu Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium. Hasilnya agak memeritkan. Orang suka suasana Kampung Pisang itu sendiri. Jadi, perlu banyak karakter,” katanya.

Ditanya harapannya untuk melihat Hantu Kak Limah turut mendapat sambutan dalam majlis anugerah filem atau festival, Mamat menaruh harapan tinggi dari segi sinematografi.

“Walaupun filem ini terkenal dengan komedinya. Dari segi sinematografi, ia sangat serius. Jadi, bagi saya dari aspek itu, ia kuat untuk bertanding dalam anugerah atau festival filem,” jelasnya yang turut mendedahkan bakal muncul dengan filem komedi Manap Karaoke.

Andy Lau sokong

Dalam pada itu, pelakon terkenal Hong Kong, Andy Lau mengucapkan tahniah kepada produksi filem Hantu Kak Limah atas kejayaan mencapai kutipan pecah panggung dalam filem tersebut pada majlis sama.

Andy, 57, menyifatkan ia sebagai satu kejayaan besar untuk semua yang bertungkus-lumus menyiapkan naskhah tersebut.

“Tahniah untuk filem Hantu Kak Limah, ini merupakan satu kejayaan besar untuk kita semua,” katanya ringkas.

Pelakon filem Internal Affairs itu merupakan salah seorang pengasas syarikat gergasi produksi Infinitus Entertainment Group yang juga merupakan selaku penaung Infinitus Gold.

Turut hadir ialah pengasas bersama iaitu Datuk Robin Tan, Penerbit Eksekutif Hantu Kak Limah, TP Lim dan Penerbit Gayatri Su-Lin Pillai selain barisan pelakon yang seperti Zul Ariffin, Datuk Awie, Dalimawati, Mus May, Jue Aziz dan Ropie.

Dalam majlis yang sama, penerbit turut mengumumkan pemberian bonus kepada semua tenaga produksi yang terlibat. Sehingga kini Hantu Kak Limah sudah berjaya mengutip RM36 juta selepas 27 hari tayangan.