Bertemakan pengukuhan hubungan kasih sayang sesama keluarga, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program bertajuk Skuad Chenta yang telah bersiaran sejak 27 Januari lalu.

Menampilkan gandingan mantap Nana Mahazan dan Angah Raja Lawak, program 13 episod tersebut menemui penonton pada setiap Sabtu, pukul 12.30 tengah hari.

Menerusi program siaran TV1 tersebut, mereka ditugaskan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu atau pasangan terpilih.

Skuad Chenta menonjolkan Angah dan Nana misi dalam sebuah kumpulan ‘elit’ dinamakan sebagai Skuad Chenta dan mereka digelar sebagai Ejen Angah dan Ejen Nana

Nana dan Angah juga akan meluangkan masa bertemu dengan individu yang memerlukan bantuan untuk meringankan beban dalam tempoh tertentu. Mereka akan bertindak mengambil alih tugasan individu tersebut, manakala individu itu akan meluangkan masanya sendiri yang berkualiti untuk tujuan meringankan tekanan.

Antara tugasan mencabar mereka ialah bertemu dengan Mohd. Azizi yang merupakan seorang bapa tunggal akibat kematian isterinya. Rutin harian Azizi sangat sibuk kerana selain bekerja, dia perlu menguruskan empat orang anaknya yang masih kecil. Setiap malam, dia juga yang harus mendodoikan anak sebelum tidur.

Azizi juga harus menemani anak-anaknya mengulang kaji pelajaran mereka serta mengajar mengaji. Jadi, bagi mengurang tekanan hidup Azizi, Angah membawa Azizi untuk sesi rawatan urutan terapi di sebuah pusat terapi lelaki.

Ketika itu, Nana pula bertindak menjaga empat orang anak-anak Azizi dan mengajar mereka cara menghasilkan layang-layang dan bermain di taman.

Menerusi episod seterusnya, Angah dan Nana perlu membantu sepasang suami isteri yang sedang menghadapi masalah kekangan masa untuk bersama.Pasangan tersebut ialah Ahmad Shahyir yang bekerja sebagai pelayan restoran pada waktu malam dan isterinya, Ain Filzah, pegawai pemasaran yang bekerja pada waktu siang. Mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama kerana bekerja berlainan syif.

Kali ini, Nana menemukan mereka berdua di sebuah studio tarian dan situasi menjadi suatu kejutan buat mereka. Mereka turut disediakan seorang guru tarian untuk mengajar menari salsa dan mereka menghabiskan masa bersama selama beberapa jam mempelajari tarian tersebut sebelum membuat persembahan.

Angah pula harus berkorban dengan mengambil alih tugasan Shahyir sebagai pelayan di restoran tempat kerjanya.

Skuad Chenta turut menyelami nasib malang yang menimpa sebuah keluarga apabila hilang tempat tinggal akibat kebakaran.

Dalam episod tersebut, Nana telah bertemu dengan seorang ibu bernama Khalila untuk mengetahui lanjut tentang insiden tersebut. Angah pula bertemu dengan tiga orang anak Khalila dan membawa mereka ke balai bomba bertemu anggota bomba.

Mereka diberi taklimat ringkas berkaitan kebakaran dan melihat demonstrasi memadam api oleh bomba.

Selepas itu, mereka bertiga diberi peluang merasai pengalaman memadam api menggunakan alat pemadam dengan pengawasan bomba.

Sementara itu, Nana dibawa melawat rumah yang terbakar dipercayai akibat litar pintas sebelum sama-sama ke sebuah kedai membeli barang keperluan seperti periuk nasi, cerek elektrik, tilam serta bantal untuk mengurangkan beban yang dihadapi Khalila.

Bagi peminat yang tidak sempat menonton siri Skuad Chenta di kaca televisyen, program berkenaan sebenarnya boleh disaksikan menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan tersebut juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.