Tidak ada seorang pun daripada mereka yang menjangkakan selepas lagu itu diperkenalkan, Zalikha menjadi perhatian ramai orang sehingga mereka ditawarkan menjadi artis rakaman Rusa Music. Hakikatnya, jauh sebelum Zalikha meledak, mereka telah lapan tahun bergelar kumpulan indie.

Dalam sekelip mata, kehidupan enam orang anak muda yang menjenamakan kumpulan mereka sebagai Floor 88 yang dibarisi oleh Ayie (vokalis), Zai Hamzah (gitar utama), Amir (gitar kedua), Akram (dram), Eric Fauzi (keyboard) dan Falique (bass) berubah dengan mendadak dek populariti lagu mereka.

Menurut Zai, jika diikutkan cita rasa sebenar Floor 88, mereka sebenarnya lebih ke arah muzik balada. Namun begitu, melihat kepada situasi industri seni yang sudah terlampau sarat dengan genre itu maka sedikit perubahan dilakukan.

Menyifatkan Zalikha sebagai sebuah single dengan susunan muzik yang tidak rumit dan lirik yang ringkas, itu sebenarnya menjadi kekuatan yang menaikkan lagu tersebut dalam kalangan peminat.

“Sebagai sebuah kumpulan baharu, kami perlu melakukan sesuatu agar kehadiran kami dalam industri disedari. Maka pemilihan single pertama merupakan satu keputusan yang besar dan penting.

“Jadi, kami mempertaruhkan Zalikha dengan harapan ia menjadi satu pilihan berbeza buat peminat dan mewujudkan satu genre yang lebih berentak joget serta menimbulkan rasa seronok buat sesiapa yang mendengarnya,” katanya pada satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Perjanjian

Mengalih sedikit cerita berkenaan cabaran untuk kekal bersatu sebagai sebuah kumpulan pada zaman yang menyaksikan jangka hayat artis berkumpulan tidak lama, Floor 88 sudah mengambil pendekatan lebih awal apabila mewujudkan satu perjanjian persendirian sesama mereka.

Sewaktu menubuhkan Floor 88 sejak tahun 2010, Zai berkata, mereka sudah membuat satu peraturan atau perjanjian bagi setiap ahli yang melibatkan perkara-perkara yang dibenarkan dan tidak sepanjang bergelar anggota kumpulan ini.

Kata Zai, menjadi salah seorang ahli awal Floor 88, dia tidak mahu kepayahan usaha menaikkan nama kumpulan itu hancur hanya disebabkan rasa iri hati, tidak puas hati dan ego anggota yang mementingkan diri sendiri.

Tidak menghalang mana-mana anggota untuk ke depan secara solo jika ditakdirkan rezeki mereka sebegitu, namun keputusan tersebut perlu dibuat tanpa sebarang rahsia kerana sebagai sahabat, mereka saling menyokong antara satu sama lain.

“Kami memulakan Floor 88 atas dasar minat yang mendalam dan bukan dengan impian mahu menjadi popular. Justeru, kumpulan ini memiliki nilai sentimental tersendiri. Saya melihat banyak perpecahan artis berkumpulan berlaku kerana tiada komunikasi dan saling dengki, jadi kami sebolehnya mahu mengelakkan timbul perasaan begitu.

“Dalam Floor 88, semua orang mempunyai tanggungjawab penting dan bersama, kami teguh. Memang Ayie selaku vokalis paling digilai ditambah dengan wajahnya yang comel tetapi dia tahu, tanpa kawan-kawan lain, dirinya tidak akan berada pada tempatnya sekarang dan kami juga langsung tidak berasa dipinggirkan dengan perhatian yang diberikan kepadanya,” jelasnya panjang lebar.

Tema wanita

Melangkah ke tahun 2018, Floor 88 juga sudah bersedia untuk mengeluarkan single kedua yang sudah hampir 90 peratus siap. Bagaimanapun, mereka tetap menyimpan rasa gusar tentang penerimaan peminat.

Bagi Ayie, nama mereka yang meledak dalam industri secara mendadak memberi sedikit tekanan untuk mengekalkan prestasi itu bagi lagu kedua kerana enggan dikenali sebagai sebuah kumpulan dengan lagu yang popular semusim atau menerusi sebuah lagu.

Bakal melancarkan lagu tersebut selewat-lewatnya pada Februari depan, Floor 88 berhajat mahu ia dilancarkan bersama klip video rasmi kerana yakin dengan cara itu, single tersebut akan mendapat perhatian yang lebih meluas kerana visual yang menarik bakal menambat hati peminat.

Bercerita sedikit tentang single kedua, Floor 88 memilih untuk terus mengekalkan rentak yang sama dan turut menjadikan nama wanita sebagai tajuk lagu kerana menganggap ia sebagai suatu penghargaan buat insan bergelar perempuan.

“Saya rasa sebagai lelaki, wanita adalah secantik-cantik perhiasan Allah di atas muka bumi ini. Jadi, tidak salah rasanya untuk menghargai mereka menerusi lagu-lagu seperti yang dibuat oleh kami.

“Lagipun memilih nama wanita sebagai tajuk lagu seperti sudah sinonim dengan Floor 88. Buat masa sekarang, kami mahu mengekalkan identiti itu sehingga nama kumpulan ini benar-benar kukuh dalam industri,” ujarnya lagi.