Apa yang menarik, persembahan berkenaan bukanlah karya teater muzikal. Sebaliknya, ia adalah sebuah konsert yang akan menampilkan nyanyian, lakonan dan komedi.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, berkata, pihaknya berbesar hati pentas ikonik tersebut akan sekali lagi menggabungkan nama-nama besar itu selepas kejayaan projek terdahulu seperti dalam Cuci The Musical dan teater Baik Punya Cilok.

Baik Punya Concert 4D semestinya menjadi suatu persembahan menyeronokkan yang ditunggu ramai. Hal ini kerana, cetusan kimia antara keempat-empat anak seni ini di satu pentas yang sama memang tidak boleh dinafikan lagi.

“Tambahan pula, Istana Budaya sudah berwajah baharu dan bersedia untuk menjadi pentas penggabungan Awie, Afdlin, Hans dan AC dalam satu konsert yang pasti memberikan impak besar kepada penonton,” jelas Juhari.

Jennifer Thompson akan bertindak sebagai penerbit konsert, manakala nyanyian sempat sahabat itu akan diiringi oleh sebuah kumpulan pemuzik yang dikepalai pengarah muzik terkemuka, Datuk Acis atau nama lengkapnya, Hashridz Murshim Hassim.

Pelbagai

Baik Punya Concert 4D bukan sahaja akan menonjolkan nyanyian, malah mempunyai naratif tersendiri tentang perjalanan hidup empat sahabat berkenaan yang akan dipersembahkan dalam sketsa-sketsa pendek.

Sementara itu, Afdlin berpendapat, konsert yang merupakan terbitan bersama empat syarikat bersama iaitu Tall Oder Sdn. Bhd., Awie Entertainment Sdn. Bhd., DNF Pictures Sdn. Bhd. dan juga Vision Works Sdn. Bhd. tersebut merupakan sesuatu yang amat berlainan berbanding daripada apa yang pernah diadakan di negara ini.

“Persembahannya pelbagai bentuk. Lagu diberikan susunan baharu. Kalau ingin tengok keadaan pelik seperti Hans tercekik mikrofon menyanyikan lagu Awie, inilah masanya.

“Saya bersyukur kerana sentiasa diberi peluang bekerja dengan tiga sahabat baik saya yang serba boleh. Segala aib akan dibuka untuk tontonan penonton (ketawa). Hans harus bekerja keras kerana dia seorang yang kurang pengalaman dari segi nyanyian,” kata Afdlin secara berseloroh.

Latihan vokal

Hans mencelah dengan berkata, beliau sudah memulakan latihan vokal untuk memastikan dia berada pada paras yang sama dengan tiga sahabatnya itu terutama dari segi nyanyian.

“Saya memulakan latihan awal kerana tiada pengalaman menyanyi. Tiga kawan lain sudah ada album masing-masing. Jadi, sebelum konsert bermula, saya sudah menjalani latihan vokal dengan Vince Chong.

“Saya bersedia menyanyikan lagu Awie, contohnya Sejati. Ketika konsert berlangsung, kita akan buka soalan daripada penonton dan masing-masing akan menjawab dengan jujur,” terang Hans.

Penceritaan Baik Punya Concert 4D akan dibantu oleh seorang penglipur lara yang tidak asing lagi iaitu Kamrul Hussin (daripada kumpulan muzik tradisional Geng Wak Long).

Senarai lagu yang akan dipersembahkan terdiri daripada lagu original muzikal Cuci dan filem Baik Punya Cilok, lagu malar segar sehinggalah lagu-lagu popular terkini.

Baik Punya Concert 4D akan menemui penonton pada 26 Julai sehingga 28 Julai 2018 pada pukul 8.30 malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.