Lumrah percintaan, kejahilan ilmu agama kadangkala menjerat diri sehingga terus lemas dalam lautan dosa.

Hakikatnya, kisah sebegini bukanlah sesuatu yang asing sebaliknya melingkari dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Justeru, sutradara Aziz M. Osman tampil dengan buah tangan terbaharu menerusi naskhah berjudul Bukan Cinta Malaikat yang diadaptasi daripada kisah sebenar orang sekeliling.

Filem yang sarat dengan mesej bermakna untuk difahami itu berkisarkan cinta tiga segi antara tiga insan Dewi (Nora Danish), Reyhan (Fachry Albar) dan Adam (Ashraf Muslim).

Plot penceritaan yang begitu dramatik bukan sahaja menekankan tentang cinta semata-mata sebaliknya menuntut penonton untuk berfikir sejenak akan pengajaran yang dipaparkan kerana realitinya ia dekat di hati para penonton.


Naskhah penting

Maka tidak hairanlah, Aziz menyifatkan Bukan Cinta Malaikat yang telah ditayangkan di Indonesia pada Julai tahun lalu itu merupakan naskhah yang amat penting bagi dirinya dalam menggambarkan realiti sebenar permasalahan yang berlaku dalam masyarakat terutamanya hal berkaitan pernikahan.

“Saya menyimpan kisah yang mengetengahkan isu rumah tangga yang mana memfokuskan tentang perkahwinan yang tidak sah ini sejak enam tahun lalu. Pada mulanya, saya mahu mengarah naskhah ini seorang diri. Bagaimanapun, setelah berbincang dengan rakan yang mempunyai hubungan dengan pengarah Indonesia, akhirnya kami bekerjasama.

“Menerusi kerjasama itu, skrip dan jalan cerita telah ditukar mengikut kesesuaian antara dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, naskhah itu bukan sekadar menyajikan cinta tiga segi tetapi ilmu pengetahuan yang seharusnya ada dalam diri pasangan yang bercinta mengenai alam rumah tangga.

Selain itu, pada masa sama, pengarah hebat itu juga mahu mengetengahkan kegiatan dan tanggungjawab badan bukan kerajaan yang terlibat dengan aktiviti sukarelawan dalam membantu mangsa-mangsa kekejaman.

“Justeru, saya selitkan babak-babak di kem pelarian dalam filem tersebut sekali gus menampakkan plot kisah ini tampak lebih menarik,” katanya.

Cabaran

Tidak lengkap sekiranya soalan mengenai cabaran tidak ditujukan kepada pengarah yang pernah mengarah filem Azura 2012 itu.

Tanpa berselindung, Aziz mengakui terdapat cabaran yang tersendiri dalam membikin naskhah berkenaan.

“Cabaran saya adalah untuk menghasilkan sebuah kisah yang dinantikan dan diminati oleh penonton iaitu mengenai seorang heroin yang boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga supaya ia benar-benar melekat dalam jiwa penonton.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menampakkan kejadian malang yang berlaku seperti diada-adakan. Justeru, saya mencipta sebuah kisah cinta lain daripada lain yang mana memperlihatkan keadaan yang menyebabkan Dewi t erperangkap,” jelasnya yang menceritakan serba sedikit jalan cerita yang membariskan barisan pelakon ternama dua buah negara itu.

Sukar

Sementara itu, Ashraf pula mengakui sukar untuk menggalas watak sebagai Adam memandangkan watak itu jauh daripada karakternya yang sebenar.

“Malah, terdapat babak yang sukar untuk dilakukan termasuk ketika Adam dan Dewi mahu kahwin di Golok, Thailand kerana pada ketika itu saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai emosi.

“Bagaimanapun, saya menggalas watak berkenaan sebaik mungkin dan alhamdulillah apa yang abang Aziz mahu, saya dapat lakonkan,” ujarnya yang turut berasa bertuah apabila dapat bergandingan dengan pelakon dari negara seberang.

Bukan Cinta Malaikat mengisahkan tentang Dewi yang dibawa oleh neneknya, Suraya ke Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi agar Dewi dapat melupakan kekasihnya, Adam.

Suatu hari sewaktu di Madinah, satu insiden telah terjadi yang menyebabkan Dewi ditangkap pihak penguat kuasa.

Bagaimanapun, Dewi berjaya membebaskan diri setelah dibantu seorang lelaki Indonesia bernama Reyhan.

Dewi kembali ke kampung halamannya di Terengganu dan muncul Adam yang menagih cintanya kembali. Dewi pada mula keberatan tetapi akhirnya menerima Adam semula dan mereka berkahwin di pekan Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Pada masa sama, Reyhan menyatakan hatinya yang sudah lama mencintai Dewi. Bermula dari situ, muncul pelbagai konflik dan kekeliruan yang akhirnya membawa kepada sebuah kejutan.

Bagaimana kisah cinta tiga segi itu akan berakhir? Jangan lupa saksikan Bukan Cinta Malaikat yang bakal menemui penonton di pawagam negara ini bermula 25 Januari ini.