Malam Jumaat lalu menyaksikan hampir 1,800 penonton menyempurnakan kerinduan untuk mendengar kelunakan vokal emas Ramli. Dua jam beraksi, tidak sekali pun beliau kelihatan lelah biarpun usia hampir menginjak ke angka 67 tahun.

Beraksi di Panggung Anniversari, Taman Botani, Kuala Lumpur, Ramli membuka tirai persembahan yang dinamakan konsert Rock Allianz 2018 anjuran Allianz Malaysia tersebut dengan dendangan lagu Kamelia bersama kumpulan Ruhh, yang ternyata mengundang sorakan daripada peminat.

Meneruskan persembahan dengan lagu Sejuta Wajah, Papa Rock yang terkenal dengan suara serak-serak basah itu terus menghiburkan penonton dengan pilihan lagu antaranya, Batu dan Jikalau Berkasih.

Satu perkara yang harus diperhati oleh penyanyi baharu ialah Ramli berjaya membawa seluruh jiwa yang hadir untuk menelusuri jalan cerita setiap lagu dengan kelunakan suara dan vokalnya yang cukup hebat. Pengalaman lebih 54 tahun dalam industri benar-benar memahat namanya sebagai seorang legenda rock industri muzik tempatan.

Lelaki kelahiran Singapura itu meneruskan konsert dengan lagu Musibah dan Teratai yang turut diiringi oleh gema suara penonton rata-rata membesar bersama lagu-lagu nyanyiannya.

Ramli turut menyanyikan lagu Keliru dan sekali lagi, Kamelia secara solo sebelum menutup tirai konsert dengan lagu, Tahun 2000. Tidak dapat dinafikan, secara keseluruhan, konsert tersebut memberi kepuasan kepada penonton yang hadir.


Kembali

Ramli sempat berseloroh sambil memberitahu, kali terakhir mengadakan konsert di Panggung Anniversari adalah sekitar tahun 1980-an.

Beliau bahkan berterima kasih kepada penganjur atas inisiatif mengembalikan memorinya membuat persembahan bersama kumpulan Sweet Charity suatu ketika dahulu.

“Malam ini bukan sahaja mengembalikan memori saya ketika beraksi di sini sekitar tahun 1980-an bahkan ia memberi kenangan dan memori kepada anda semua yang hadir.

“Ini adalah sumbangan Allianz Malaysia yang memberi peluang untuk kita bersama menikmati muzik malam ini. Malah, dari segi muzik dan audio malam ini, ia cukup hebat,” katanya.

Usai persembahan, ada persoalan diajukan kepada Ramli. Apakah rahsia legenda rock itu untuk masih kekal beraja walaupun pada usia emas?

Jawabnya: “Saya anggap penyanyi macam penjual makanan. Kalau kita ikhlas dan bersungguh ketika memasak menu makanan, orang akan datang sebab kesedapannya. Mungkin itu rahsia saya.

“Tidak kira konsert secara percuma atau berbayar, penyanyi perlu memberi yang terbaik. Sebagai penghibur, saya perlu memberi kenangan yang indah kepada peminat untuk dibawa pulang.

“Bagi saya tidak ada ruginya jika senantiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada peminat. Mereka sudah memberi yang terbaik untuk menyokong kita, jadi tugas kita untuk terus menghiburkan mereka.”