Itu antara bait-bait lirik yang terdapat dalam single terbaharu penyanyi Maya Karin, Getaway nyanyian kolaborasi bersama penyanyi Kaka Azraff. Liriknya itu seolah-olah cuba memberikan gambaran mengenai apa yang pernah dilalui Maya, insan seni yang sudah bertapak hampir dua dekad lamanya.

Selain beraksi di pentas lakonan dan nyanyian, pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke itu juga mempunyai sisi kehidupan seperti orang kebanyakan yang lain.

Adakalanya keadaaan persekitaran, bebanan kerja dan belenggu masalah yang dilalui sedikit sebanyak turut mengganggu emosi wanita yang membangunkan watak signatur dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam itu.

Tanpa disedari Maya pernah terpalit dengan masalah kesihatan mental dikenali sebagai anxiety disorder ataupun sindrom kegelisahan melampau, yang membuatkan fikirannya terganggu selain berdepan kesukaran untuk memberikan fokus dalam melakukan aktiviti harian.

“Boleh dikatakan lagu itu seperti diinspirasikan daripada kisah hidup saya yang pernah mengalami anxiety disorder yang agak teruk sehingga mengganggu rutin kehidupan.

“Jadi, hal berkaitan masalah kesihatan mental inilah yang cuba saya bincangkan untuk kita sama-sama wujudkan kesedaran memandangkan ada antara kita yang tidak memahaminya. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan masalah kemurungan dalaman yang mana secara fizikal luaran ia tidak dapat dikenal pasti,” luah aktres filem Waris Jari Hantu itu.

Pulih

Menurut Maya, masalah kegelisahan yang dialaminya sebelum ini sebenarnya bukanlah baru, sebaliknya dia sudah melaluinya sejak kira-kira empat tahun yang lalu.

Bagaimanapun, Maya berhasrat untuk berkongsi mengenainya pada tahun ini kerana dia merasakan sudah sampai masanya dia perlu bangkit untuk memupuk kesedaran mengenai pentingnya dalam menjaga isu berkaitan kesihatan mental.

“Kalau ikutkan zodiak kelahiran saya adalah Scorpio. Jadi, orang yang berada dalam kelompok Scorpio ini sifatnya boleh dikatakan seorang yang introvert. Jadi secara tidak langsung, diri saya lebih cenderung untuk simpan sendiri sahaja apa yang dilalui, bukan jenis suka berkongsi secara terbuka.

“Cuma, saya mungkin bercerita dengan sahabat rapat yang saya ada sahaja. Maka, mungkin apabila saya simpan sedikit-sedikit perkara yang asyik difikir di kepala, lama-kelamaan saya jadi hilang fokus dan menjadi satu beban kepada diri saya,” cerita pelakon yang pernah beberapa kali diangkat sebagai Pelakon Filem Wanita Terbaik di Festival Filem Antarabangsa itu.

Katanya, dia kemudian mendapatkan rawatan yang sepatutnya kerana enggan membiar diri daripada terkesan dengan gangguan anxiety tersebut.

Cerita Maya lagi, dia juga pernah membuat keputusan untuk melakukan aktiviti menyelam ke dasar laut hanya semata-mata mahu melatih diri mengalih tumpuan daripada masalah keresahan yang dialami selain belajar untuk mendapatkan ketenangan dan fokus dalam melakukan sesuatu perkara.

“Sebelum ini, saya memang ada melakukan aktiviti yoga untuk latih diri menjadi lebih fokus. Bagaimanapun, saya berhasrat untuk melakukan aktiviti menyelam ke dasar laut dan meminta bantuan daripada kawan baik saya, Datuk Hans Isaac. Ini kerana menyelam juga melatih diri untuk fokus, kalau tersilap boleh mengancam nyawa.

“Nak dijadikan cerita, saya diserang panik dan menggigil ketika itu yang membuatkan saya jadi tak boleh fokus,” kongsinya yang kini sudah pulih daripada masalah anxiety yang melampau itu.

Menurut Maya, apa yang dilaluinya itu barangkali disebabkan terlalu memikirkan banyak perkara lebih-lebih lagi melibatkan tuntutan dan tanggungjawab kerja yang dipikul.

“Macam-macam yang perlu dilakukan adakalanya membuatkan fikiran boleh menjadi serabut.

“Apatah lagi, tuntutan kerja memerlukan saya tidak henti-henti perlu ke sana dan ke sini, termasuklah menguruskan bisnes. Jadi, masa untuk saya berehat itu kurang. Disebabkan itu, apabila mungkin kerana banyak beban yang dipikul menyebabkan saya berada dalam anxiety disorder” katanya yang tidak mahu masalah kesihatan mental berkenaan dipandang rendah.

Alam dan amal

Bahkan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga, Maya mengakui dirinya lebih banyak mendekatkan diri dengan alam dan masyarakat sekeliling yang menjadi salah satu bentuk manifestasi mencari ketenangan yang lebih mendalam.

Siapa sangka, usahanya itu juga kemudian menjadikan dirinya dilantik sebagai duta ikon River of Life yang berperanan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

“Jadi, sekarang ini, saya banyak melakukan aktiviti turun padang dan melihat sendiri bagaimana keadaan alam sekitar kita. Ini juga sebahagian daripada usaha yang saya lakukan dalam mendidik orang ramai untuk lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling kita.

“Bahkan, pada masa sama, saya juga kini lebih banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti amal yang mendekatkan diri dengan masyarakat. Saya seronok apabila dapat menyelami sendiri kehidupan golongan yang memerlukan ini. Pada masa sama saya cuba memberikan sokongan dan mengajak orang ramai untuk turut serta menghulurkan bantuan,” katanya yang kini turut bekerjasama dengan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

Jelas Maya, aktiviti sosial berbentuk kemasyarakatan sedemikian secara tidak langsung lebih membuka matanya mengenai realiti kehidupan.

“Apabila kita melihat kehidupan mereka yang mungkin serba kekurangan, secara tidak langsung, menjadikan kita lebih bersyukur dengan apa yang kita miliki pada hari ini. Jadi, ini juga sebahagian inisiatif yang saya cuba lakukan untuk menarik rakan-rakan artis lain dan sesiapa sahaja untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya yang merancang mahu melaksanakan kempen dalam membantu 10 keluarga susah yang sudah dikenal pastinya.

Sesuai dengan kehadiran bulan Ramadan, kata Maya, aktiviti turun padang bersama masyarakat juga akan diteruskan seperti biasa. Cuma, seboleh-bolehnya, sambutan bulan puasa kali ini dia mahu mengajak orang ramai agar terus bersederhana terutamanya pada waktu berbuka.

“Biarlah pada bulan puasa ini kita bersederhana sahaja. Janganlah sampai adanya pembaziran makanan. Sampaikan kalau kita perhatikan, banyak makanan yang terbuang,” katanya yang bakal sibuk dengan penggambaran filem Abang Long Fadil 3 sepanjang Ramadan nanti.