Selain bergelar penyanyi, pelakon, penyampai radio, penerbit dan usahawan menerusi syarikat produksi Mawi World Entertainment, Mawi kini mengambil risiko terbesar dalam hidupnya dengan menjadi pengarah filem buat kali pertama.

Tanpa sebarang pendidikan formal dalam pengarahan filem, sebaliknya hanya berbekalkan pengalaman dan ilmu secara lisan yang dituntut daripada Datuk Yusof Haslam dan anaknya, pengarah Syamsul, Mawi tekad untuk menerbitkan serta mengarahkan filem pertamanya.

“Ramai yang mempersoalkan kredibiliti saya sebagai pengarah filem. Sebabnya saya tidak belajar tinggi hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak cemerlang. Selain itu, hanya belajar secara tidak langsung menerusi pengalaman lakonan dan perkongsian ilmu daripada Syamsul serta Datuk Yusof.

“Namun, ramai yang tidak tahu saya membuat persediaan selama empat tahun sebelum membuat keputusan untuk menerbit dan mengarahkan filem sendiri. Saya cabar diri sendiri. Jika orang lain boleh buat kenapa saya tidak boleh,” katanya memulakan bicara.

Sedar dengan risiko yang menanti, Mawi tetap tekad untuk melakukan semuanya sendiri dalam filem pertamanya termasuk mengeluarkan bajet, mengarah, menulis skrip dan berlakon.

Semuanya kerana penyanyi lagu Kian itu jatuh cinta dengan dunia perfileman selepas membintangi filem muzikal Magika pada tahun 2010. Katanya, filem arahan Edry Abdul Halim itu telah membuka matanya bahawa perniagaan kreatif boleh berkembang pesat.

“Selepas bergelar juara AF3, saya tidak tahu bahawa industri seni mempunyai pelbagai cabang yang boleh mendatangkan rezeki.

“Dalam fikiran saya hanya menyanyi dan tetap mahu jadi deejay radio kerana itu adalah impian dari kampung. Namun, apabila syarikat pengurusan Maestro ditutup selepas lapan tahun menjadi penyanyi, saya belajar menguruskan kerjaya seni sendiri. Waktu itu baru tersedar bahawa industri seni ini cabangnya luas.

“Jadi, selepas berlakon filem Magika, saya belajar cara buat skrip dan tentang penerbitan dari bawah. Saya tidak malu belajar daripada sesiapa termasuklah penjaga konti dan jurukamera kerana mereka lebih tahu tentang kerja yang dilakukan,” kongsinya yang banyak merujuk kepada karya Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Yasmin Ahmad dan pengarah dari Iran, Majid Majidi dalam soal perfileman.

Justeru, apabila telefilem Rock Sangkut arahannya mendapat sambutan penonton selepas disiarkan empat tahun lalu, Mawi telah merancang membawa karya tersebut ke layar perak.

Masih mempertaruhkan pelakon yang sama iaitu Along Cham sebagai Kuswadi, Hazama (Abadi) dan Joey (Rumi), filem yang merupakan kesinambungan daripada telefilem Rock Sangkut tersebut sehingga kini masih belum mempunyai judul tetap.

Biarpun begitu, filem yang telah menjalani penggambaran selama sebulan itu mahu ditayangkan pada penghujung tahun ini.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan sebagai pengarah serta pelakon dalam filem ini saya bersyukur dikurniakan pasukan yang hebat.

“Along, Hazama dan Joey merupakan sahabat baik dan kerana kami saling mengenali, semuanya jadi mudah. Mereka juga tidak lokek memberi idea dan tidak pernah berkira walaupun terpaksa menjalani penggambaran sampai ke pagi,” kata Mawi tentang filem yang menjalani penggambaran di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur tersebut.

Filem pertama arahan Mawi itu mengisahkan tiga sekawan dari kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi rock.

“Sebenarnya filem ini saya inspirasikan daripada kisah benar, termasuk kisah sendiri. Walaupun ia sebuah filem komedi tetapi ia bukan sekadar untuk gelak ketawa kerana banyak mesej tersirat yang diselitkan,” ujarnya.

Hazama beri hati

Penyanyi Hazama, 34, yang membawakan watak Abadi memberitahu, demi menjayakan filem arahan Mawi, dia telah memberi komitmen 100 peratus termasuk menangguhkan pembikinan album terbaharu dan tawaran pentas.

“Saya bukan pelakon yang hebat, sebab itu tidak boleh lakukan dua tiga kerja serentak. Saya juga tidak mahu mengganggu jadual penggambaran filem ini kerana komitmen lain contohnya persembahan pentas.

“Sebulan berada di set penggambaran filem ini dan sepanjang tempoh itu saya menolak semua tawaran yang datang. Saya tidak berasa rugi. Lebih rugi jika saya tidak memberi lakonan terbaik untuk karya rakan sendiri,” kata Hazama.

Berbicara tentang kredibiliti Mawi sebagai pengarah, jelas Hazama, sahabatnya itu mempunyai bakat istimewa.

Meskipun pertama kali mengarah filem tetapi Mawi cukup jelas tentang apa yang dimahukan dalam filem ini.

“Bekerja dengan sahabat sendiri, saya buat bukan kerana wang, sebaliknya beri hati untuk hasil terbaik. Mawi seorang pengarah yang sangat terperinci dan bagi saya dia mempunyai masa depan dalam bidang pengarahan filem.

“Cabaran watak Abadi pula adalah tidak banyak dialog. Walhal saya seorang yang banyak cakap di luar filem, jadi cukup sukar untuk berinteraksi dengan hanya beri reaksi wajah,” kongsi Hazama.

Sisi kelembutan Along

Along yang selama ini mengelak untuk membawa watak lelaki lembut akhirnya mengalah demi menjayakan watak Kuswadi.

Bagaimanapun, watak lembut Kuswadi dalam filem ini bukanlah jalan mudah untuk Mawi mengundang gelak tawa penonton.

“Sepanjang menjadi pelawak dan pelakon, sebolehnya saya mahu mengelak membawakan watak lelaki lembut. Selain menjaga sensitiviti masyarakat, saya juga tidak mahu dikatakan sebagai pelawak yang mengambil jalan mudah untuk buat orang ketawa.

“Namun, selepas diterangkan oleh Mawi kenapa Kuswadi berperwatakan lembut dan mesej yang ingin disampaikan, barulah saya bersetuju,” kata Along.

Bapa tunggal kepada Ahmad Danial, 7, itu juga menepis dakwaan tawaran lakonan datang dengan mudah kerana Mawi merupakan sahabat baiknya.

“Tidak nafikan, Mawi merupakan sahabat baik saya, namun itu tidak bermakna dia dengan mudah menawarkan sebarang watak kepada saya.

“Sama seperti pengarah lain, dia akan melihat kesesuaian watak dan keserasian antara pelakon sebelum menawarkan tawaran lakonan kepada saya,” terang Along.

Joey yang versatil

Meskipun bermula sebagai penyanyi dan pernah bergelar vokalis untuk kumpulan Exists, nama Joey kini lebih harum sebagai pelawak serta pelakon.

Tidak kecewa dengan perjalanan kerjayanya, Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud sebaliknya bersyukur rezekinya lebih banyak dalam bidang lakonan, sementelah dia menghadapi masalah tonsil yang menyebabkan kotak suaranya koyak.

“Saya percaya Allah susun setiap apa yang berlaku dalam hidup manusia dengan cantik. Walaupun bermula sebagai penyanyi dan kini lebih cenderung dengan lakonan, ia memang sesuai dengan keadaan saya pada ketika ini.

“Sebenarnya kotak suara saya pernah terkoyak kerana masalah tonsil. Justeru itu, saya terpaksa kurangkan kerjaya nyanyian. Saya masih boleh menyanyi, cuma keadaan tekak saya tidak selesa apabila perlu menjerit atau nyanyi pada nada tinggi,” kata Joey.

Dalam pada itu, Joey sempat berkongsi rasa tidak yakinnya terhadap Mawi selaku pengarah filem. Ujarnya, bukan semua sekuel filem atau karya yang diangkat daripada drama akan berjaya.

Berpegang kepada realiti tersebut, Joey yang memegang watak Rumi dalam karya arahan Mawi itu akhirnya mengalah selepas melihat ketelitian proses pembikinan filem tersebut.

“Pada mulanya memang saya tidak yakin. Drama dan filem dua perkara yang berbeza. Namun, selepas penggambaran berjalan hampir 30 peratus, saya mula yakin padanya.

“Dia seorang pengarah yang ada keistimewaan. Setiap babak yang dimuatkan dalam filem ini bersebab.

“Pendek kata, ia bukan sekadar filem gelak tawa, sebaliknya boleh dijadikan bahan kajian kerana mempunyai maksud mendalam,” ujar Joey.

Selepas kejayaan telefilem Rock Sangkut empat tahun lalu, Mawi memberanikan diri untuk mengarah filem buat kali pertama. Namun, sehingga kini filem yang dibintangi oleh Along Cham, Hazama dan Joey itu masih tiada judul.