Hanya bermula sebagai penyanyi di laman sosial sebelum beralih ke platform digital YouTube, nama Zee Avi sudah terlalu akrab dengan atmosfera muzik antarabangsa.

Membawa diri ke Amerika Syarikat (AS) dan berpangkalan di Los Angeles sejak tahun 2007 barangkali telah membuka lembaran karier yang sangat luas buatnya. Meluncurkan album perdana berjudul Zee Avi pada 2009, pemilik nama lengkap Izyan Alirahman itu terus mencipta sukses.

Selain berjaya menjual hasil seninya di pasaran global, karya-karya wanita berusia 34 tahun itu turut dijadikan runut bunyi untuk beberapa siri televisyen di AS. Antaranya Swell Window dan Concrete Wall untuk Gossip Girl.

Tidak hairanlah jika kedua-dua albumnya, Zee Avi dan Ghostbird masing-masing berjaya menduduki tangga 130 dan 129 menerusi carta Billboard 200.

Kejayaan tersebut sekali gus menjadikan Zee sebagai penyanyi Malaysia pertama dengan dua album yang berjaya memanjat tangga carta popular tersebut.

Sungguhpun mekar di rantau orang, penyanyi yang turut popular dengan lagu Kantoi itu tidak pernah melupakan tanah kelahiran sendiri.

Menurut Zee, untuk tahun 2019, dia berhasrat untuk mengukuhkan jajahan seninya di Malaysia.

Sudah hampir setahun kembali ke Kuala Lumpur, Zee kini sedang sibuk meneruskan usaha melahirkan karya-karya berkualiti.

“Pada awalnya, saya merancang untuk kembali semula ke AS pada Februari tahun lalu. Namun, entah kenapa, rezeki di tanah air sendiri datang tanpa henti.

“Jadi, untuk sementara waktu, saya putuskan untuk menetap di sini sementara memenuhi undangan nyanyian termasuk undangan untuk mengadakan konsert,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert International Women’s Day with Zee Avi & NJWA di ibu kota baru-baru ini.

Sungguhpun Zee memberi fokus sepenuhnya terhadap aktiviti seni di negara sendiri, wanita yang pernah dikenali dengan nama KokoKaina itu tetap terbuka menerima undangan nyanyian di luar negara.

“Sebagai contoh, saya baru sahaja selesai mengadakan persembahan di China dan Bali sempena festival muzik yang diadakan di sana.

“Begitu pun, sejak berada di Kuala Lumpur, saya tidak boleh berada lama di luar negara. Perasaan rindu untuk kembali ke tanah air datang meluap-luap,” kata Zee yang menyifatkan kelananya dari sebuah negara ke negara lain seperti perjalanan yang dipandu oleh angin.

Berkarya

Bercerita lanjut mengenai perkembangan terkini, Zee masih meneruskan aktiviti seninya di AS.

“Saya masih ada menerima tawaran untuk menghasilkan beberapa lagu runut bunyi untuk produksi televisyen di sana.

“Kerja-kerja penghasilan lagu kini semakin mudah kerana saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Saya kini bergerak sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Meneruskan bicara, Zee bakal melancarkan dua buah lagu baharu dalam masa terdekat.

“Dua lagu ini berjudul Who Are You. Mengikut perancangan, saya akan melancarkan lagu ini terlebih dulu kerana telah dihasilkan sekitar enam tahun lalu. Kemudian, giliran lagu bahasa Melayu iaitu Saya, Kamu,” katanya yang masih berbolak-balik sama ada mahu melancarkan lagu Who Are You atau Saya, Kamu terlebih dulu.

Menyentuh sedikit mengenai kisah peribadinya, Zee diusik tentang jodoh dan kriteria lelaki yang dirasakan sesuai untuk dijadikan belahan jiwa.

Tidak terlalu menginginkan seorang lelaki yang sempurna, Zee hanya mengharapkan seorang teman hidup yang memahami diri dan cara kerjayanya.

“Sejujurnya, saya tidak terlalu memilih. Melayu atau orang luar negara, saya tetap menerimanya, asalkan dia faham perjalanan karier saya. Dia juga mestilah tidak kuat cemburu.

“Hal ini kerana, kerjaya nyanyian menyebabkan saya sering dikelilingi lelaki. Justeru, jika dia tidak memahami, memang agak menyukarkan,” ujar Zee tegas.

Dalam pada itu, Zee turut menekankan bahawa lelaki pilihannya juga perlu selesa dengan makanan kegemarannya.

“Jika lelaki itu bukan orang Malaysia, dia mesti menyukai makanan tempatan, kegemaran saya seperti ikan masin dan sambal belacan,” ujarnya lagi.

Konsert

Beralih mengenai Konsert International Women’s Day with Zee Avi & NJWA, gabungan bersama penyanyi NJWA sememangnya sudah diimpikan Zee sejak sekian lama.

“Saya mengenali NJWA sejak sekitar 10 tahun lalu. Dia merupakan penyanyi yang sangat bagus. Jadi, apabila ditawarkan berkongsi pentas dengannya, saya terus bersetuju.

“Saya akui, genre muzik kami jauh berbeza. Namun, saya percaya jurang perbezaan itu nanti akan menjadikan konsert tersebut unik,” tutup Zee.

Dianjurkan oleh FM Showlab Ventures, Konsert International Women’s Day with Zee Avi & NJWA Zee bakal diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 22 Mac depan.

Tiket berharga RM88 hingga RM388 boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com.