Hal ini kerana, status Adi sebagai pelakon kelahiran Singapura dianggap kurang bersesuaian dengan tema filem sejarah yang cuba diangkat oleh pembikinnya, Studio Kembara.

Bagaimanapun, pemilihan tersebut tidak dianggap sebagai satu masalah besar buat pengarahnya, Syamsul Yusof. Menurut sutradara berusia 34 tahun itu, isu kewarganegaraan tidak perlu dipandang serius kerana dari sudut pandangnya, Adi dilihat berupaya membawakan watak tersebut dengan baik.

“Sewaktu pemilihan dibuat oleh rumah produksi, saya juga terlibat sama. Bagi saya, latar belakang seseorang artis tidak sepatutnya menjadi isu.

“Apa yang penting, kami yakin Adi dapat membawakan watak tersebut dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Mat Kilau di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Kelang, baru-baru ini.

Mengukuhkan lagi alasannya, Syamsul berkata, Adi Putra memiliki ketokohan seorang pahlawan yang mampu dizahirkan menerusi layar lebar.

“Sewaktu pemilihan pelakon, kami tidak hanya menitikberatkan keupayaan atau bakat yang dimiliki, tetapi aura yang ada pada diri mereka untuk menjayakan sesebuah watak.

“Menjayakan watak Mat Kilau bukan satu tugas yang mudah. Pelakon yang dipilih perlu meletakkan emosi yang betul selain menyesuaikan diri dengan babak-babak aksi yang banyak diketengahkan dalam filem kelak,” katanya yang kini sudah mula menjalani proses penggambaran.

Selain Adi, filem Mat Kilau turut membariskan beberapa pelakon popular lain seperti Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As’ari dan Nadiya Nisaa.

Garapan

Mengimbas kembali tentang salah silah pembikinan Mat Kilau, projek filem epik tersebut sebenarnya telah melalui susur masa yang sangat lama.

Diumumkan pembikinannya pada tahun 2007 dan memulakan penggambaran pertama pada 2014, proses pembikinan filem tersebut terpaksa dihentikan seketika disebabkan masalah yang tidak boleh dielakkan.

Sehinggalah pada 2017, Syamsul dipilih oleh pihak Studio Kembara untuk menyambung kembali tugas pengarah lama bagi menyiapkan naskhah yang tergendala.

Bagaimanapun, anak kepada pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam itu memilih untuk menggarap semula jalan cerita asal dan memulakan kembali penggambaran bagi filem berkenaan.

“Ketika menerima tawaran untuk menyambung pengarahan yang tergendala oleh pengarah lama, saya bersetuju.

“Bagaimanapun, apabila melihat sebahagian filem yang telah dirakam, saya mengambil keputusan untuk bermula semula dari kosong,” katanya yang menerima bajet sebanyak RM5 juta dan tempoh penggambaran selama dua bulan untuk menyiapkan Mat Kilau.

Berkenaan gaya garapan filem epik tersebut, Syamsul menegaskan bahawa skrip yang ditulis bersama Studio Kembara bukan diadaptasi daripada kisah sebenar Mat Kilau.

Sebaliknya, ia merupakan sebuah kisah inspirasi yang turut disuntik dengan elemen fiksyen dan konflik tambahan.

“Karya ini bukan diadaptasi daripada kisah sebenar yang dilalui oleh Mat Kilau sewaktu menentang British. Ia lebih kepada inspirasi perjuangannya.

“Saya menyuntik elemen fiksyen dan konflik untuk memberi warna terhadap jalan cerita sedia ada,” beritahu sutradara prolifik itu dalam nada tegas.