Hal ini disebabkan kemurahan hati juaranya, penyanyi dan pelakon Mark Adam yang menyuarakan hasrat untuk berkongsi hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM100,000 bersama empat lagi finalis yang turut bertanding.

Biarpun pelik didengar, namun, itulah niat yang ditanam oleh lelaki berusia 38 tahun itu ketika masih bersaing sewaktu di minggu saringan lagi.

Menurut Mark, dia tidak melihat ganjaran tersebut sebagai miliknya seorang semata-mata. Kata pemilik nama sebenar Marcus Adam Echivarre atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah itu, setiap rezeki yang diterima perlulah dikongsi seadanya.

“Sebelum ke minggu final, kami pernah duduk berborak. Ketika itu, muncul idea jika salah seorang daripada kami menang, individu tersebut akan berkongsi hadiah kemenangan dengan finalis yang tidak berjaya.

“Maklumlah, hadiah disediakan oleh pihak penerbit hanya untuk pemenang sahaja. Jadi, dengan berbahagi kemenangan, saya rasa ia akan membuatkan semua orang gembira,” kata Mark jujur ketika ditemui usai persembahan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.

Pada malam tersebut, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Marry Me itu berjaya menjatuhkan empat pesaingnya iaitu Shuk, Achey, Ajak dan Issey, sekali gus menjadikannya sebagai juara perdana yang tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang komedi.

Kongsi

Ditanya berapakah jumlah yang ingin dikongsikan, sambil tersenyum, Mark berkata dia memperuntukkan sebanyak RM15,000 untuk seorang finalis, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000.

“Rezeki perlu dikongsi dengan semua orang. Tambahan pula, kemenangan saya pada malam ini juga disebabkan oleh rakan-rakan yang tidak pernah jemu membantu.

“Setiap kali saya bertanya sesuatu dan meminta pertolongan, pasti mereka akan memberi bantuan. Kami sudah seperti keluarga dan disebabkan itu, saya seronok untuk berkongsi kejayaan ini dengan mereka,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Mark yang sebelum ini pernah terlibat dengan beberapa drama bersiri seperti Plan Cinta Tak Jadi, Suami Tanpa Cinta dan Biniku Ninja berharap agar wang yang disedahkan itu diguna ke arah kebaikan.

“Saya berharap agar wang tersebut digunakan sebaiknya. Jika tidak keberatan, bolehlah sedekah kembali kepada orang yang memerlukan,” katanya yang berhasrat untuk mengadakan jamuan makan serta mengagihkan baki RM40,000 wang yang dimenanginya itu kepada ibunya dan ibu mertua.

Mengimbau kembali persembahan Mark, anak seni kelahiran Filipina itu berjaya memikat hati barisan juri iaitu Saiful Apek dan pelakon Fasha Sandha menerusi sketsanya yang turut menampilkan aktor Khir Rahman sebagai selebriti jemputan.

Memilih tema kekeluargaan, Mark turut memaparkan video ucapan daripada ibunya, Florenda yang bertutur dalam bahasa Melayu,

“Jika dilihat menerusi pentas Bintang Bersama Bintang, hampir setiap minggu saya masukkan kisah mengenai ibu saya. Sehingga pada pentas akhir saya mahu ibu ada bersama.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini, walaupun sejauh mana kita merantau, ibu kita akan sentiasa berada dekat dengan kita,” kongsinya.

Mark turut mengucapkan terima kasih kepada Khir yang sudi mewarnakan lagi persembahannya pada malam tersebut.

“Khir Rahman banyak membantu saya dalam persembahan. Menurutnya, saya perlu bergerak besar untuk dilihat besar.

“Alhamdulillah, setiap apa yang saya pelajari daripadanya membuahkan hasil,” kata Mark yang mengakui hanya mempunyai dua hari sahaja untuk berlatih bersama Khir sebelum malam persembahan.

Ditebak adakah dia akan terus menyertai pertandingan seumpamanya selepas ini, respons Mark: “Buat masa ini belum difikirkan lagi.”

Menyaksikan empat lagi persembahan peserta pada malam tersebut, masing-masing meletakkan usaha yang memberangsangkan. Ia dibuktikan menerusi pemilihan tema sketsa dan juga selebriti jemputan.

Komedi

Jika Mark memilih Khir Rahman, Issey pula selesa dengan pelakon Syafiq Kyle menerusi sketsa bersahaja mengenai isu jenayah rompakan masjid.

Achey mencipta kelainan apabila membawa isterinya sendiri, Anne ke atas pentas untuk menjayakan sketsa yang berkisarkan tentang salah laku disiplin murid-murid sekolah rendah.

Pelawak dan pelakon, Ajak kembali bersatu dengan rakan seperjuangannya Shiro menerusi sebuah persembahan yang menghiburkan, sementara pelakon Uqasha pula menemani Shuk menerusi sketsa tentang percintaan kerabat diraja.

Persembahan Uqasha yang bersahaja tetapi sedikit tunggang langgang dengan beberapa kesalahan terlupa dialog dan lirik lagu sama sekali tidak menjejaskan persembahan keseluruhan Shuk.

Malah, percubaan pelakon tersebut untuk menjayakan sketsa berbentuk komedi secara langsung mendapat pujian daripada juri tetap, Saiful Apek.

“Uqasha bukan pelawak tetapi dia merupakan pelakon yang mampu membawakan watak komedi, sama seperti Awie dan Ebby Yus.

“Saya lihat, prestasi Uqasha agak membanggakan dan jika dia mencabar diri untuk cuba membawakan watak-watak komedi selepas ini, dia mampu menjadi seorang pelakon versatil,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bintang Bersama Bintang, Sufian Che Isa berkata, pihak TV3 sangat berpuas hati dengan prestasi para peserta dan tidak terkejut dengan tindakan Mark untuk membahagikan wang kemenangannya dengan peserta lain.

“Saya tidak berasa hairan apabila Mark berbuat demikian. Masing-masing menganggap rancangan ini bukanlah sebuah pertandingan.

“Sebaliknya, sebuah medan untuk membuat persembahan sambik menghiburkan penonton,” katanya.