Oleh demikian, naskhah itu jarang diketengahkan dalam industri tanah air kita meskipun genre tersebut mempunyai bilangan pengikutnya yang tersendiri.

Bagaimanapun, Astro dengan kerjasama Ideate Media yang juga penerbit bersama filem Tombiruo mengorak langkah ke hadapan dengan menghasilkan sebuah mini siri bergenre crime thriller Mandatori. Mandatori sebenarnya adalah naskhah yang diadaptasi daripada sebuah novel karya penulis tersohor, Ramlee Awang Murshid.

Pengarahnya, Razaisyam Rashid ketika dihubungi berkongsi serba sedikit mengenai pemilihan pelakon dan cabaran sepanjang perjalanan di sebalik pembikinan naskhah berkenaan.

“Bagi memastikan Mandatori sebagai sebuah naskhah yang berkualiti. Pemilihan pelakon utama adalah antara elemen yang sangat penting. Kita bukan hanya mencari pelakon yang mempunyai nama semata-mata untuk mempromosikannya. Kita mencari seseorang yang ada karakter yang boleh membawa watak dengan ‘hidup’.

“Justeru, kita telah mengadakan uji bakat dan kita lihat calon yang paling sesuai ialah Aeril Zafrel. Lagipun, Aeril jarang mendapat naskhah yang benar-benar berkualiti dan apabila diberi peluang untuk menggalas watak utama dalam mini siri tersebut, dia amat memberi komitmen sepenuhnya,” ujarnya.

Razaisyam turut mengakui, bukan mudah untuk menjayakan kisah berunsur crime thriller kerana genre seperti ini agak rumit dan terpaksa menempuh pelbagai cabaran termasuk masa.

“Kadangkala untuk menjayakan satu babak, ia boleh memakan masa hingga lapan jam. Ini kerana, ada sesetengah babak memerlukan maklumat lebih terperinci agar memudahkan penonton memahami lakonan yang ingin disampaikan oleh setiap pelakon tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Aeril, dia amat bersyukur dengan tawaran yang diberikan kerana dia sememangnya amat meminati karya-karya Ramlee Awang Murshid. Namun, dia sedar bukan mudah untuk melakonkan watak berkenaan.

Kata Aeril lagi, tidak dinafikan pada awalnya, dia berasa gementar dan bimbang untuk menjayakan watak sebagai Inspektor Norman dalam naskhah tersebut. Namun, dia menjadikan ia satu cabaran yang membuatkan dirinya bekerja lebih kuat supaya watak dilakonkan tersebut benar-benar berkesan.

“Untuk menghayati watak sebagai Inspektor Norman, saya telah berjumpa dengan penulis novel tersebut untuk memahami dengan lebih mendalam karakter yang diwujudkan itu. Bukan itu sahaja, saya juga terpaksa mendapatkan khidmat daripada seorang doktor pakar dan profiler.

“Selain itu, bagi memantapkan lagi lakonan, saya turut menghadiri kelas lakonan,” ujarnya yang menyifatkan Mandatori sebagai aras baru piawaian dunia drama tanah air.

Naskhah ini turut diserikan lagi dengan barisan pelakon seperti hebat seperti Siti Saleha, Alvin Wong, Iedil Putra, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Vanidah Imran, Susan Lankaster, Jo Kukathas, Meor Hashim Manap, Amerul Affendi dan Chew Kin Wah.

Mandatori mengisahkan tentang seorang profiler jenayah, Inspektor Norman (Aeril Zafrel) yang menyiasat kes pembunuhan bersiri yang dilihat berkait rapat antara satu sama lain. Ia membuka kembali kes-kes jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu. Lebih merumitkan apabila setiap siasatan yang dijalankan Norman akan membawanya kepada satu lagi pembunuhan baru.

Norman semakin keliru kerana seorang demi seorang yang dia kenal mati dibunuh dengan kejam dan pembunuh itu akan meninggalkan petunjuk sama iaitu patung mainan Inspektor Carlos dan kertas tulisan Case Closed yang mana ada ketikanya dijumpai dalam bahagian badan si mati.

Dalam kesibukan Norman menjalankan penyiasatan dengan rakan setugasnya, Detektif Chief Inspektor Kelvin Chan (lakonan Alvin Wong), beliau berkenalan dengan Julia Johari (lakonan Siti Saleha) yang merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan berjaya dan pemilik Johari Corp, Tuan Johari (lakonan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar) dan keluarga ini merupakan suspek utama kepada beberapa jenayah yang berlaku.

Apakah kesudahan Mandatori? Jangan lupa saksikan sebuah naskhah yang sarat dengan aksi mendebarkan, pergelutan, drama, khianat dan dendam kesumat yang akan mula menemui penonton di Astro First Eklusif saluran 480 dan platform digital On Demand mulai 14 Disember ini.