Jurucakap Shiraz Projects berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama ahli kumpulan Exists untuk membincangkan lebih lanjut mengenai konsert berkenaan.

Enggan mengulas lanjut mengenai tangkapan Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Kamarudin, 41, kerana memiliki dadah, jurucakap Shiraz Projects menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis.

"Secara peribadi berita ini amat menyedihkan dan mengejutkan kerana tiada sesiapa dalam produksi yang mahu kejadian seperti ini terjadi menjelang konsert Exists Reunion.

"Ketika ini peminat bertanyakan mengenai status konsert yang dirancang. Sehingga saat, konsert yang dirancang masih berjalan seperti biasa," katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! Online.

Sementara itu, kumpulan Exists Reunion dalam kenyataan berkata, penangkapan vokalis mereka iaitu Mamat merupakan ujian awal terhadap pelaksanaan konsert mereka.

"Kami di Exists Reunion mahukan segala yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Ini satu ujian awal dan kami berharap peminat mendoakan yang terbaik untuk kami," katanya.

Terdahulu, Mamat ditahan kerana memiliki dadah dipercayai syabu seberat 0.42 gram dalam dompetnya bersama seorang lagi suspek di Taman Perling, Johor Bahru di Johor pada Ahad lalu.

Hasil ujian air kencing mendapati Mamat dan suspek positif dadah.

Dalam perkembangan berkaitan, Konsert Exists Reunion dijadual berlangsung pada 28 September ini di Stadium Malawati, Shah Alam di Selangor dan 5 Oktober di Singapura. - K! ONLINE