Biarpun filem berkenaan menjadi taruhan pertama Pengarah Urusan Dhananwoodd Films Sdn. Bhd., ia berjaya menghimpunkan barisan pelakon disegani tanah air termasuk Syamsul Yusof, Puteri Balqis Azizi dan Sabrina Ali Dad Khan.

Syamsul memberitahu dia tertarik membintangi filem berkenaan kerana diilhamkan daripada kisah benar dan memiliki skrip menarik untuk diketengahkan ke layar lebar.

“Ini merupakan kali pertama saya menerima lamaran daripada produksi luar. Sebelum ini, khalayak sedia maklum bahawa saya berlakon dalam filem sendiri ataupun produksi keluarga. Bukan saya tidak pernah menerima lamaran daripada produksi luar sebelum ini, tetapi kekangan masa tidak mengizinkan untuk menerima lamaran mereka.

“Secara kebetulan, tawaran membintangi filem Makrifat Cinta diterima sewaktu saya tidak terikat dengan mana-mana filem dan mempunyai masa untuk memberikan komitmen,” katanya ketika ditemui di Wangsa Walk, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lelaki berusia 33 itu memberitahu watak Mahathir yang dibawa dalam filem berkenaan agak mencabar kerana perlu menjadi orang biasa tidak seperti pembabitannya dalam naskhah sebelum ini.

Katanya, ia bukan perkara yang mudah menjiwai watak orang biasa apatah lagi bermain dengan perasaan untuk membahagiakan isteri dan anak.

“Sebagai langkah persediaan, saya banyak melakukan ‘kerja rumah’ untuk menjiwai watak Mahathir. Secara jujur, menjadi orang biasa malah seorang bapa dalam sebuah filem cinta bukan mudah.

“Saya tidak pernah lagi membawa watak orang biasa malah bercinta pula yang memerlukan babak-babak menangis kerana seorang wanita. Bagaimanapun, saya berikan sepenuh hati dalam filem ini,” kata Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu.

Tiada masalah

Syamsul turut ditebak soalan bergandingan bersama pengarah baharu walaupun telah memenangi gelaran pengarah terbaik pada peringkat Asia Pasifik.

“Saya tidak berdepan masalah untuk bekerjasama bersama Kamal G kerana melihat dia mempunyai visi yang sangat jauh terutama daripada segi untuk memasarkan produknya dan lontaran idea.

“Begitupun, sebagai pelakon saya mempunyai tanda aras dan kualiti yang perlu dijaga dalam sesebuah filem. Kita selalu berbincang untuk memantapkan lagi sesuatu babak malah ada juga melontarkan idea kepada Kamal G. Dia seorang yang terbuka dan dapat menerima pandangan-pandangan daripada para pelakon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syamsul yang pertama kali bergandingan bersama Balqis memuji komitmen pelakon cilik berkenaan.

“Sewaktu penggambaran dijalankan, saya melihat Balqis telah memberikan komitmen bagaikan seperti pelakon dewasa.

“Saya dan dia (Balqis) memerlukan antara satu sama lain dalam filem ini. Kalau wataknya tidak menjadi, karakter yang dibawa saya juga tidak akan menjadi kerana dia merupakan anak saya dalam filem ini,” katanya yang sedang dalam perancangan membikin filem pahlawan, Mat Kilau.

Sementara itu, Balqis berkata pengarah dan para pelakon banyak memberi tunjuk ajar dalam menjiwai watak dalam filem berkenaan.

Pelakon Wanita Terbaik pada Asian Television Awards 2014 itu menambah cabaran utama membintangi filem berkenaan adalah dia perlu banyak menangis.

“Sebagai pelakon cilik, saya perlu memberikan persembahan terbaik kepada khalayak. Babak-babak menangis merupakan antara yang sukar untuk dibawa kerana memerlukan komitmen bagi mengeluarkan air mata.

“Begitupun, alhamdulillah, saya dapat melakukan yang terbaik dalam filem ini. Pengarah juga akan sentiasa memberi nasihat kepada saya jika sesuatu babak tidak memenuhi kehendak dan tuntutan filem berkenaan,” katanya.

Bagi Sabrina yang memegang watak guru, dia berkata ingin mencuba sesuatu baharu kerana watak dibawa dalam filem Makrifat Cinta amat berbeza dengan penampilan dirinya.

“Karakter yang dibawa merupakan seorang guru dan ia memang lain berbanding filem sebelum ini. Bahkan, watak berkenaan juga jauh berbeza daripada diri saya sendiri.

“Bagaimanapun, ia sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat mencuba karakter baharu dalam penglibatan industri seni,” katanya.