Biarpun sering diketawakan kerana bercita-cita mahu ke Hollywood, Hairul tidak pernah berputus asa kerana yakin, dia ditakdirkan untuk bergelar aktor yang akan membawa nama Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

Bermula dengan kejayaan filem Paskal pada tahun lalu, impian bapa anak dua itu dilihat semakin menjadi nyata apabila sekali lagi muncul dengan sebuah naskhah aksi. Filem berjudul Wira tersebut akan memulakan tayangan sekitar November depan.

Menganggap Wira arahan Adrian Teh sebagai bulan yang jatuh ke riba, Hairul memberi jaminan bahawa buah tangan berkenaan tidak seperti naskhah aksi tempatan yang pernah ditonton rakyat Malaysia sebelum ini.

“Visi saya dengan Adrian sama. Kami mahu mengangkat karya tempatan ke mata dunia. Prinsip kami adalah bikin filem bajet Malaysia tetapi lakon layarnya bertaraf Hollywood.

“Saya sangat berterima kasih kepada Adrian kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya selepas Paskal dan yakin bahawa minat mendalam saya dalam dunia aksi bukan sekadar gurauan,” luahnya panjang lebar selepas sidang akhbar filem Wira di GSC Mid Valley, baru-baru ini.

Serius

Berbicara lanjut tentang harapan yang disandarkan terhadap Wira, suami kepada selebriti, Hanis Zalikha itu tanpa berfikir panjang mengakui, ada menaruh harapan agar produksi Hollywood menyedari kehadirannya sebagai pelakon aksi.

Mungkin bagi kebanyakan anak seni tempatan, anugerah dalam sesebuah majlis atau Festival Filem Malaysia (FFM) menjadi igauan namun tidak bagi Hairul. Dia sudah tidak hirau soal anugerah kerana yakin jika sesebuah naskhah benar berkualiti, anugerah akan datang dengan sendiri.

“Menerusi Wira, barisan pelakon sangat beruntung kerana berpeluang berlatih dan berlakon dengan koreografer aksi tersohor, Yayan Ruhian dari Indonesia yang pernah terlibat dengan produksi Star Wars, John Wick dan The Raid.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya apabila diberi peluang menimba ilmu dengan Yayan yang sudah memiliki akses ke Hollywood. Dia menjadi bukti bahawa orang Asia Tenggara juga mampu mencipta nama di sana,” jelasnya teruja.

Tambah Hairul, hasil latihan bersama Yayan yang sering dikongsi di laman sosial, akaun Instagramnya telah diikuti pelakon lagak ngeri Hollywood seperti Mark Dacascos dan beberapa karyawan dalam produksi antarabangsa.

Tolak

“Mulanya saya terkejut apabila beberapa nama pelakon lagak ngeri Hollywood mengikuti Instagram saya. Dalam masa sama, tentunya saya teruja untuk menunjukkan kepada mereka bakat aktor Malaysia.

“Mungkin saling mengikuti di media sosial kelihatan tidak penting, tetapi yakin, ini permulaan sesuatu yang lebih besar,” katanya.

Lelaki berusia 31 tahun itu juga mengakui, demi Wira dia terpaksa menolak banyak tawaran drama kerana tidak mahu mencatu ruang komitmen.

Menurut Hairul, komitmen untuk filem aksi memerlukan tempoh yang lama. Sesi latihan dan membina otot tubuh sebelum memulakan penggambaran juga memakan waktu yang panjang.

Atas alasan tersebut, Hairul mengambil pendekatan untuk tidak menyusahkan mana-mana pihak dengan jadualnya yang padat. Dia memilih berehat daripada berlakon drama buat masa sekarang.

“Saya perlu menjalani latihan fizikal selama tiga bulan sebelum memulakan penggambaran yang berlarutan selama tiga bulan lagi. Secara keseluruhan, saya sudah menghabiskan masa setengah tahun untuk filem ini.

“Jadi saya fikir, baki setengah tahun lagi biarlah dihabiskan bersama keluarga dan menguruskan perniagaan. Saya tidak mahu tamak, itu sahaja,” tuturnya.

Menerusi Wira, Hairul memegang watak Leftenan Hassan yang pulang ke kampung halaman selepas bersara. Misinya adalah membebaskan keluarga yang selama ini hidup bawah penindasan ketua gengster bernama Raja. Istimewanya, watak antagonis tersebut dijayakan oleh sutradara handalan, Dain Said yang sebelum ini pernah menghasilkan Bunohan dan Interchange.

Menyulam benang mimpi untuk dikenali sebagai pelakon filem aksi bertaraf antarabangsa, Hairul Azreen tidak menyifatkan impian tersebut sekadar angan-angan.