Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Azman, 32, berkata, sebuah sidang akhbar akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi memperjelaskan keadaan sebenar mengenai isu tersebut.

“Segalanya akan terjawab dalam sidang akhbar nanti. Harap kalian semua tunggu,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

Difahamkan, lelaki yang dikatakan kini sah menjadi suami Izreen adalah pemuzik dalam rancangan realiti Gegar Vaganza musim keempat.

Semalam sebuah portal berita membuat pendedahan tentang keterbukaan isteri pemuzik tersebut dikenali sebagai Intan terhadap perkahwinan kedua Uda dengan pelakon drama rantaian Misiku Sado itu.

Menerusi video tersebut, Intan mengakui, reda dengan ketentuan takdir dan keputusan Uda kerana terlalu menyayangi suami dan keluarganya terbina sejak empat tahun lalu.

Menurut Intan, dia baru mengetahui bahawa suaminya telah berpoligami sejak dua minggu. Biarpun mulanya berat hati namun setelah  berbincang dan memikirkan masa depan anak-anak, Intan dapat menerima kenyataan bahawa dirinya kini telah dimadukan.

“Saya ingin mempertahankan perkahwinan saya dan reda dengan apa yang telah terjadi. Saya nakkan suami saya sebab dia seorang lelaki yang baik. Mungkin sebelum saya tak pandai jaga suami, jadi saya terima,” ujar Intan.

Sepanjang pernikahan Intan dan Uda, mereka dikurniakan dua cahaya mata masing-masing berusia tiga tahun dan 11 bulan.

Berita mengenai hubungan Izreen dan Uda mula menarik perhatian setelah sebuah portal berita mendakwa pelakon berstatus ibu tunggal itu telah berkahwin dengan lelaki terbabit beberapa bulan lalu.

Dalam masa sama, Izreen turut menggunakan nama Mrs.Uda berdasarkan status biografi menerusi akaun Instagram miliknya. Namun, sekitar pukul 6 petang semalam, Izreen telah memadamkannya status berkenaan dan menukar kepada namanya sendiri.

Sebelum ini, Izreen pernah berkahwin dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin, 34, pada 2012 dan berpisah sekitar 2014. - K! ONLINE