Terbaharu, gambar Lufya telah disalah guna oleh sebuah blog hiburan yang menyentuh tentang Zarina dan isu rumah tangga Natasha Hudson.

Berang dan menganggap kekeliruan yang berlaku kali ini sudah melampaui batas, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang andai gambarnya disalah guna oleh mana-mana pihak.

Kata bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam itu lagi, perbuatan meletakkan fotonya pada gosip atau kenyataan yang sensitif seperti itu adalah mengaibkan dan menjatuhkan maruah dirinya sebagai wanita bertudung.

KOSMO!: Bagaimanakah Lufya sedar bahawa gambar anda telah disalah guna oleh sebuah blog hiburan?

LUFYA: Saya tidak perasan pada mulanya, namun mujur ada peminat yang menghantar mesej di laman Instagram mempersoalkan mengapa gambar saya diguna sedangkan kenyataan dikeluarkan oleh Zarina.

Saya terkejut dan berasa sangat malu kerana isu yang diperkatakan adalah sesuatu yang serius, malah Natasha ialah rakan yang sering saya temui pada majlis usrah.

Oleh sebab itu, saya memutuskan untuk memuat naik status di Instagram sebagai amaran kepada pihak blog tersebut supaya menurunkan foto saya atau tindakan serius akan diambil.

Adakah ini kali pertama anda berdepan dengan situasi foto disalah guna oleh pihak tertentu?

Tidak dan secara jujurnya, orang sering keliru antara saya dengan Zarina yang mungkin memiliki raut wajah sama. Sejak dahulu lagi, apa sahaja isu yang berkaitan Zarina pasti ada yang menyangkakan saya ialah dia sehingga saya trauma apabila mendengar namanya.

Apa yang berlaku kali ini memang melampaui batas kerana isu hal rumah tangga orang bukan perkara main-main dan saya tidak suka dikaitkan dengan hal sebegitu.

Adakah isu foto tersebut menjejaskan hubungan anda dengan Natasha?

Setakat ini, kami masih berhubung seperti biasa. Walaupun isu foto berkenaan hanyalah salah faham, namun saya sebagai rakan berasa kurang selesa kerana kami tidak mempunyai sebarang masalah dan sering bertanya khabar apabila bertemu.

Apakah yang ingin dikatakan kepada Zarina selepas anda sering terkena tempias dengan perkara-perkara yang dilakukannya?

Saya harap dia akan berubah dan belajar menjadi seorang muslimah sejati kerana semua orang tahu dia sudah berhijrah. Namun, perangainya tidak menggambarkan perkara tersebut.

Saya sedar saya bukanlah seorang ustazah atau orang yang lebih baik, tetapi saya rasa terpanggil untuk menegur terutama dengan bermacam-macam isu yang dibangkitkan Zarina sejak kebelakangan ini.

Dia memberi imej kurang baik kepada wanita yang berhijrah dan pada saya dia seorang yang sangat negatif. Jika boleh, berhentilah kaitkan saya dengan apa sahaja yang dilakukannya.

Menyentuh sedikit berkenaan kisah peribadi anda, boleh anda kongsikan tentang hubungan dengan suami sekarang?

Alhamdulillah, kami baik-baik sahaja. Meskipun baru-baru ini timbul pelbagai khabar angin tentang perkahwinan kami, namun semuanya sudah selesai dan saya tidak mahu ia dibangkitkan lagi.

Cukuplah setakat apa yang kami berdua telah jelaskan dan kepada mereka di luar sana yang tidak tahu tentang perjalanan rumah tangga saya dan Hafiz, berhentilah membuat spekulasi liar. Setiap rumah tangga pasti ada naik turunnya, jadi janganlah memburukkan keadaan dengan sifat terlalu ingin tahu sehingga memudaratkan orang lain.

Apakah perkembangan terbaharu karier seni anda?

Insya-Allah, saya akan mula memasuki set sebagai hos bersama Irma Hasmie untuk sebuah program jual beli di televisyen pada pertengahan bulan ini selepas hampir setahun memperlahankan kerjaya seni sejak hamil tahun lalu.

Memandangkan anak saya, Lanaa Haura sudah menginjak setahun, maka saya ingin aktif kembali. Tahun hadapan juga saya akan berlakon dalam sebuah drama bagaimanapun ia masih dalam peringkat perbincangan.