Cuma, pendekatan bagaimana seseorang itu mengendalikan masalah mungkin berbeza-beza. Sehinggakan ada yang terlepas pandang bahawa perjalanan kehidupan harian kita ini ada panduan yang sudah diberikan-Nya menerusi ayat-ayat suci al-Quran.

Begitulah yang cuba dibawakan menerusi program terbaharu Quran Tag yang disiarkan di saluran Astro Naura. Menariknya, program bual bicara secara santai itu mengetengahkan kisah-kisah kehidupan dan permasalahan yang dilalui oleh golongan selebriti untuk dijadikan iktibar kepada penonton di luar sana.

Menariknya, program itu dikendalikan oleh dua personaliti, Ayesha Syahira dan Ustazah Liyana Musfirah yang cukup dikenali dengan kesungguhan mereka mendalami dan berkongsi ilmu al-Quran bersama ribuan pengikut mereka di media sosial.

“Setiap episod kita bawakan seorang artis yang akan menjadi tetamu undangan. Jadi, daripada situ, kita paparkan kepada penonton mengenai apa yang mereka ingin tahu mengenai apa yang termaktub dalam al-Quran berdasarkan kepada kisah dan masalah yang diceritakan kepada kami,” kata Ayesha selaku pengacara program itu.

Katanya lagi, setiap minggu juga program yang bersiaran selama setengah jam itu mempunyai topik-topik berbeza yang dibincangkan mengikut luahan cerita yang disampaikan oleh barisan artis undangan pada minggu tersebut.

“Antaranya termasuklah soal zuriat yang dikongsikan pelakon dan penyanyi Izzue Islam, Puteri Balqish pula berkongsi cerita mengenai masalah kesihatannya, Sherry Ibrahim pula bercakap mengenai soal jodoh dan Afifah Nasir mengenai hasratnya untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.

“Jadi, berdasarkan cerita mereka itu, kita berkongsi ayat-ayat dalam al-Quran yang berkaitan dengan kisah dan permasalahan yang mereka hadapi itu.

“Kita gunakan golongan artis ini untuk berkongsi cerita masalah yang wujud dalam kehidupan harian. Ini kerana, kita maklum adakalanya orang di luar sana mempunyai masalah yang serupa, cuma mungkin hal itu tidak dapat diceritakan kepada orang lain,” katanya yang memberitahu seramai 20 orang artis terlibat dalam program itu.

Katanya lagi, program berbentuk perkongsian ilmu itu menggunakan kaedah yang cukup menarik apabila ia menggunakan kaedah tagging (penandaan) kepada tafsir al-Quran.

“Ada tiga segmen berbeza dalam program ini. Selain berkongsi cerita, kami juga menampilkan segmen yang mana kita tag ayat-ayat di dalam al-Quran menggunakan penanda yang mempunyai kaitan dengan kisah mereka.

“Selepas itu barulah kita sampaikan apa yang dimaksudkan dengan tafsir ayat tersebut dan berkongsi pengalaman sedia ada,” kongsinya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Jelasnya lagi, walaupun ini merupakan program berbentuk perkongsian ilmu dan keagamaan, ia cukup istimewa kerana disampaikan dengan cara yang lebih santai.

“Kita lebih kepada nak mengajak masyarakat di luar sana untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan kita,” katanya yang memberitahu program itu bersiaran selama 20 episod.

Quran Tag yang menemui penonton setiap Khamis pada pukul 11 malam di saluran Astro Naura itu turut menampilkan penyanyi As’ad Motawh dan Aiman Tino.