Lima buah pawagam tersebut adalah GSC Times Square, GSC Mentakab, GSC Aeon Melaka, GAC Quill City Mall dan GSC Aman Jaya. One Two Jaga ditayangkan di 58 buah pawagam seluruh negara. 

Menurut Bront, dia harus menerima kenyataan bahawa inilah situasi sebenar industri perfileman tempatan.

“Saya berlapang dada kerana inilah hakikatnya. Nam Ron mungkin sedikit kecewa tetapi dia juga terharu dengan sokongan yang diberikan oleh mereka yang benar-benar pergi menonton.

“Apa yang lebih saya syukuri adalah 99% mereka yang telah menonton One Two Jaga terkesan dan terhibur dengan filem ini,”katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Dalam pada itu, Bront turut memberitahu tidak tahu sejauh mana kebenaran isu boikot daripada segelintir pihak PDRM terhadap filemnya.

“Saya hanya tahu daripada laporan media jadi tidak pasti akan kesahihannya.

“Namun setakat ini, kami menerima respons positif daripada anggota polis yang telah pergi menonton One Two Jaga,” jelasnya lagi.

Selepas empat hari ditayangkan, filem yang dibikin dengan kos RM1.5 juta hanya mengutip pulangan sebanyak RM60 ribu.

One Two Jaga dibintangi oleh Zahiril Adzim, Ameerul Affendi,Iedil Putra dan Ario Bayu yang mula ditayangkan sejak 6 September lalu mengisahkan tentang penularan gejala rasuah dalam kalangan anggota dan pegawai polis yang semakin berleluasa.- K! ONLINE