Bercinta, putus, bertunang kemudian terlerai ikatan, berkahwin dan baru-baru ini akhirnya tidak lagi mampu dipertahankan, tanda pagar #relationship goal nyata tidak lagi menjadi sandaran hubungan pasangan dua sejoli itu.

Lebih sedekad memadu asmara penuh dugaan dan cabaran bersulam gelora, Liam dan Miley akhirnya memberi titik noktah terhadap perhubungan mereka. Bagaimanapun, penamat tersebut tidak bermakna mereka bermusuhan. Pasangan selebriti muda itu menjelaskan, masih mengekalkan hubungan baik.

“Hai semua! Hanya nota ringkas sahaja dapat dinyatakan, bahawa saya dan Miley sudah berpisah baru-baru ini. Saya doakan kesihatan dan kebahagiaan sentiasa bersamanya.

“Ini adalah hal yang sangat peribadi dan saya tidak lagi akan memberikan sebarang komen (berkenaan hal ini) kepada wartawan dan media.

“Sebarang laporan lain mengaitkan kenyataan daripada saya adalah tidak benar,” kongsi lelaki berusia 29 yang berasal dari Victoria, Australia itu menerusi Instagramnya beberapa hari lalu.

Mengejut

Perpisahan dua figura popular yang mengikat perkahwinan pada Disember tahun lalu itu cukup mengejutkan sedangkan mereka sering dilihat umpama belangkas.

Dalam ruang Instagram, mereka sering berbalas komen manis dan berkongsi deretan foto mahupun video yang membayangkan kebahagiaan sebagai suami isteri. Tanpa disangka, hubungan mereka tamat begitu sahaja.

Barangkali, benarlah kata pepatah, laut dalam boleh diduga, hati di dalam siapa yang tahu. Hanya Liam dan Miley sahaja yang mengetahui hakikat kasih sayang mereka. Mungkin berpisah hari ini, esok lusa siapa tahu bercantum kembali. 
Berbalik tentang punca perpisahan dua bintang itu. Difahamkan, Miley yang meminta untuk berpisah. Atas alasan apa, perkara tersebut bagaimanapun tidak diperincikan.

Menurut laporan media dan desas-desus yang diperkatakan netizen sedunia, Miley sebenarnya menjalin hubungan sejenis dengan seorang wanita bernama Kaitlynn Carter.

Lebih menguatkan ura-ura berkenaan, sekeping foto Miley dan Kaitlynn bercium berjaya dihidu oleh paparazi namun sehingga kini, kedua-dua wanita itu masih mengunci mulut tentang kesahihan hal tersebut.


Perkenalan

Menggali semula kisah cinta Liam dan Miley, menerusi wawancara bersama majalah GQ Australia keluaran Mei/Jun 2019, aktor The Last Song itu berbicara panjang tentang bekas isteri dan kekasih hatinya.

Sebelum ini, Liam dan Miley berkahwin bukan secara gilang gemilang, sebaliknya berkongsi beberapa foto perkahwinan berona monokrom yang disifatkan sangat sederhana dalam Instagram masing-masing.

“Perkahwinan tidak mengubah perhubungan tetapi kami menjadi lebih berhubung, versi yang lebih mendalam tentang perhubungan sebelum kahwin.

“Bagaimanapun, bagi saya, perkahwinan dan perhubungan masih sesuatu yang sama,” kata Liam yang cukup dikenali menerusi filem trilogi Hunger Games.

Ditanya tentang detik pertemuan dengan Miley, Liam menjelaskan, mereka mula bertemu ketika usianya hanya 18 tahun.

“Kami jatuh cinta dengan cepat dan betul-betul memiliki keserasian yang kuat dari mula kenal namun tiadalah sampai ingin berkahwin.

“Apabila berkongsi perjalanan penuh emosi dengan orang yang kita sayang, membuatkan kita semakin rapat namun pada masa sama, kita hilang sebahagian besar kehidupan untuk membina bahagian baharu dalam hidup kami berdua.

“Apabila ada sesuatu yang sangat hebat datang daripada situasi yang buruk sebelum ini, saya yakin kami akan berkahwin namun tidak sangka akhirnya menjadi realiti,” kata Liam kepada majalah GQ Australia.

Dalam tempoh kurang setahun meladeni bahtera rumah tangga, banyak gosip bertebaran antaranya desas-desus mengatakan Miley sudah mengandung.

Mengenali Miley yang pernah sensasi dengan imej liarnya, ada tabloid menyiarkan laporan dengan judul ‘Hamil dan ke pusat pemulihan,’ dan ‘Banyak kali berpisah,’ bahkan terdapat juga tajuk berbunyi ‘Hamil dan ditinggalkan.

Jawab Liam tentang hal itu secara berseloroh: “Ya, memang kami sudah lama berkahwin (tertawa). Kami memalsukan perkahwinan kami lebih sejuta kali.

“Saya terima banyak panggilan telefon dan mesej sejak lima tahun lalu daripada kawan-kawan dan malah ibu bapa kami dengan soalan, benarkah anda sudah berkahwin dan bakal dapat anak?”

Kurang ajar

Bahasa tubuh Liam mulai berubah apabila bercerita tentang Miley secara terperinci. Katanya, Miley seorang yang ‘kurang ajar’ dan suka melakukan kejutan.

“Saya sukakan kejutan. Dia (Miley) kurang ajar, saya pun kurang ajar. Jadi, apabila bergabung, hubungan kami menjadi lagi meriah.

“Bagaimanapun, Miley memang tidak pernah berhenti berperangai begitu. Hal itu membuatkan saya jatuh cinta padanya hari demi hari,” ujarnya.

Biarpun sudah tidak lagi bersama, ramai masih berharap dua jiwa itu kembali bersatu. Ada juga pihak menyifatkan mereka memberi teladan positif dan inspirasi kepada ramai peminat kerana bukan mudah untuk mereka kekal walaupun sudah acap kali berpisah sehingga berikrar dengan perkahwinan.

Dalam kalangan peminat, ramai juga melahirkan kerisauan bahawa Miley akan kembali berkelakuan liar seperti era album Bangerz. Apa yang membuatkan dia kembali ke ‘wajah’ Hannah Montana adalah kasih sayang daripada seorang lelaki bernama Liam.

Berpisah mungkin sesuatu yang kalis dalam kamus hidup Liam dan Miley namun tidak mustahil andai suatu hari nanti kasih mereka bertaut semula. Selain penuh kegilaan, bukankah dunia Hollywood sering mewujudkan kemungkinan penyatuan cinta selepas berpisah, sama seperti kisah cinta John Legend dan isteri, Chrissy Teigen.

Kurang setahun mendasari versi hubungan dalam kamus perkahwinan, aktor kelahiran negara Australia, Liam Hemsworth bercerita tentang fasa perceraian dan manisnya momen bersama Miley Cyrus.