Bermula dengan kelahiran puteri sulung, Siti Aafiyah yang menjengah dunia pada 19 Mac lalu, perjalanan hidup dan karier Siti terus diserikan dengan pelbagai episod manis.

Antaranya adalah kejayaan single terbaharu, Anta Permana yang kembali meletakkan nama beliau ke puncak carta stesen radio tempatan.

Lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong tersebut bukan sahaja kedengaran unik berbanding dendangan terdahulu Siti, malah ia turut diterima baik dalam kalangan khalayak.

Di samping itu, Siti terus mengungguli majlis anugerah apabila beliau memenangi kategori Kolaborasi Terbaik bersama Judika untuk lagu Kisah Ku Inginkan menerusi Anugerah Planet Muzik 2018 baru-baru ini.

Kukuh menggenggam ‘cop mohor’ penyanyi nombor satu negara, Siti yang ditemui pada majlis pelancaran Simplysiti Di Hati di ibu kota baru-baru ini membentangkan perancangan akhir tahunnya berserta pelan yang telah dibincangkan bersama pihak pengurusan karier nyanyiannya untuk tahun hadapan.

Menurut Siti, bagi membuka tirai 2019, sebuah siri konsert berskala mega bakal diadakan. Sedang dalam proses persiapan, Siti bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan sebuah pengumuman rasmi bakal menyusul dalam masa terdekat.

Konsert

“Kami merancang untuk mengadakan konsert di tiga buah negara, iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Cuma, buat masa ini, saya tidak boleh memberitahu lebih lanjut mengenai konsert berkenaan. Bimbang jika ada sebarang pertukaran.

“Jadi, untuk maklumat selanjutnya, kami akan umumkan dalam sebuah sidang akhbar khas yang dijadualkan berlangsung pada 17 Disember nanti,” katanya.

Kali terakhir muncul dengan konsert berskala besar menerusi Konsert Siti Nurhaliza & Friends, Siti sebenarnya cukup teruja untuk kembali menghiburkan peminat.

Justeru, beliau telah memulakan latihan, khususnya bagi mempertingkatkan kualiti vokal dan kecergasan fizikal.

“Betul kata orang, selepas melahirkan zuriat, keupayaan vokal menjadi sedikit terhad.

“Namun, saya tidak melihat ia sebagai satu halangan. Saya akan cuba mempersiapkan diri sebaik mungkin sebelum menjelang konsert agar persembahan di tiga buah negara kelak berjalan lancar,” kata Siti yang turut merancang untuk menerbitkan single baharu sempena konsert berkenaan.

Beralih topik mengenai single Anta Permana, Siti begitu terharu apabila lagu berkenaan diterima dengan baik, terutama dalam kalangan pendengar muda.

“Saya dapati, Anta Permana memberi kepuasan kepada pendengar yang sukakan lagu berentak pop dan dalam masa sama menggemari irama tradisional.

“Untuk single berikutnya, saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberi kelainan kepada peminat,” katanya.

AJL

Melihat impak luar biasa yang diraih Anta Permana, peminat Siti dilihat mahu menyaksikan lagu tersebut bergema di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Namun, agak mustahil untuk melihat perkara tersebut berlaku memandangkan Siti telah lama mengundurkan diri daripada pentas pertandingan berprestij tersebut.

Diajukan persoalan yang sama, Siti menjelaskan, perkara tersebut pernah diajukan kepada Hael dan mereka juga telah mengadakan perbincangan.

“Buat masa ini, kami belum mencapai kata putus. Tetapi, saya sentiasa memberikan sokongan terhadap AJL.

“Jika sekali pun lagu Anta Permana dicalonkan dan lolos ke pentas akhir, biarlah penyanyi lain yang menyanyikannya,” ujar Siti sambil tersenyum.

Ditanya mengenai penggantinya jika lagu berkenaan benar-benar layak ke AJL, ini respons Siti:

“Sebenarnya, ramai penyanyi layak untuk menyanyikan Anta Permana. Lihat sahaja cabaran Anta Permana yang dianjurkan menerusi akaun Instagram saya. Ramai penyanyi yang menunjukkan bakat masing-masing.

“Cuma, jika diberi pilihan, saya suka dengan cara nyanyian Ernie Zakri,” luahnya.

“Saya tidak kisah jika komposer lagu Anta Permana mahu mempertandingkan lagu tersebut di pentas AJL. Cuma, bukan saya yang akan menyanyikannya.

Dana

Ditanya mengenai penganjuran kempen SimplySiti Di Hati yang telah dimulakan sejak tahun 2011, Siti menjelaskan, ia merupakan sebuah kempen tanggungjawab sosial yang perlu diteruskan dalam usaha menyumbang kepada masyarakat.

Berkolaborasi dengan Institut Jantung Negara (IJN), kempen tersebut membantu kanak-kanak penghidap penyakit jantung yang kurang berkemampuan untuk menjalani pembedahan dan menerima rawatan.

“Menerusi kempen kali ini, kami cuba mengumpul dana bagi diberikan kepada pesakit yang terpilih mendapatkan rawatan.

“Dana yang telah dikumpul akan dimasukkan ke dalam tabung Yayasan IJN dan seterusnya digunakan untuk merawat pesakit,” katanya.

Menurut Siti, dana akan dikumpulkan bermula bulan ini menerusi penjualan produk SimplySiti dan sebanyak RM5 bagi setiap pembelian melebihi RM100 akan dimasukkan ke dalam tabung tersebut.

“Tahun ini, kami telah memilih tiga pesakit iaitu Lam Zhe Yi, 10 bulan, Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 4, dan Mahaani Thayalan, 7. Kos rawatan yang diperlukan untuk ketiga-tiga kanak-kanak itu adalah sekitar RM105,000.

“Justeru, saya sangat berharap agar pengguna SimplySiti dapat bersama-sama berganding bahu dengan saya untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Sebagai seorang ibu, saya gembira untuk membantu kanak-kanak ini. Apatah lagi, anak adalah generasi masa depan yang bukan sahaja dapat membantu keluarga tetapi juga agama, bangsa dan negara,” tutup Siti.

Tahun 2018 bakal melabuhkan tirai. Namun, bagi Datuk Seri Siti Nurhaliza, beliau telah mula merangka perancangan untuk kariernya pada tahun depan.