Membawakan watak sebagai Sultan Abdullah, Pekin memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang masalah melibatkan diri dalam karya arahan Raja Ahmad Alauddin itu.

Menerusi drama rantaian itu juga, Pekin perlu mempersiapkan diri dengan ilmu seni mempertahankan diri terutamanya silat yang sememangnya sinonim dengan era kehidupan berlatar belakangkan sekitar tahun 1660-an.

Bagi memberikan impak yang lebih dramatik, Pekin yakin kemahiran dan pengalaman ilmu persilatan yang dipelajari sewaktu menjayakan pementasan teater Bangsawan Dendam Laksamana pada tahun lalu masih tersisa dalam dirinya.

“Tiada sebarang masalah untuk melakonkan watak sebegitu kerana saya sudah biasa. Biarpun ini merupakan karya pertama saya melakonkannya di kaca televisyen berbanding pentas teater, tetapi jurang perbezaannya tidak terlalu ketara.

“Selain itu, saya juga tidak mempunyai masalah untuk melakukan babak aksi, apatah bersilat kerana sememangnya telah mempunyai pengalaman,” jelasnya ketika ditemui pada majlis doa selamat drama rantaian Tuan Puteri Saadong di kediaman Datuk Seri Rezza Shah.

Gementar

Beralih kepada gandingan Pekin dalam Tuan Puteri Saadong, watak Puteri Saadong akan digalas anak kepada bekas penyanyi dangdut, Iwan iaitu Octovia Manrose.

Mengakui ia merupakan pengalaman baharu buatnya, namun pelakon berusia 26 tahun itu tetap membulatkan hati untuk terlibat dalam naskhah terbitan Raja Shah Zurin Raja Aman Shah atau lebih dikenali sebagai Shah Rezza menerusi Nusantara Gems Sdn. Bhd.

Kisah klasik yang mempunyai pelbagai versi itu diterjemahkan dalam bentuk drama rantaian berdasarkan interpretasi Shah Rezza yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan yang dipercayai ahli keluarga keturunan Puteri Saadong.

“Ini merupakan sebuah naskhah berat dan saya pastinya berasa gementar untuk menantikan reaksi penonton sebaik sahaja ia ditayangkan kelak,” kata Octovia.

Pada masa sama, Octovia juga mengakui dia perlu mempelajari teknik persilatan termasuk dialek pertuturan dari Kelantan asli agar menjadikan ia lebih realistik.

Wanita kelahiran Kuala Lumpur itu turut mengakui akan mendapatkan bantuan daripada sepupunya, pelakon Nelydia dan Uqasha Senrose untuk bertutur dalam dialek Kelantan dengan fasih.

“Secara peribadi, saya bukan seorang penggemar aktiviti lasak tetapi disebabkan pengalaman baharu saya berusaha untuk menampilkan kelainan.

“Sebagai persiapan, saya melengkapkan diri dengan ilmu persilatan terutamanya pergerakan asas menerusi beberapa sesi latihan sebelum penggambaran berlangsung,” ujarnya.

Selain Pekin dan Octovia, barisan pelakon yang turut membintangi drama tersebut ialah Sasqia Dahuri (Paduka Cik Siti Wan Kembang), Afiq Muiz (Raja Abdul Rahim), Datuk TS Jefry (Raja Siam), Zoee Tan (Permaisuri Siam), Mustapha Kamal (Raja Loyor) dan Syed Aiman (Raja Bendahara Bahar).