Menjadi tarikan utama pada acara yang berlangsung pada Sabtu, 18 Ogos lalu di Stadium Malawati, Shah Alam ialah kumpulan FT Island.

Pengalaman lebih sedekad dalam industri hiburan membuatkan perhatian khalayak lebih tertumpu kepada mereka biarpun kumpulan tersebut menjadi artis terakhir membuat persembahan.

Mendendangkan sebanyak enam buah lagu, kumpulan yang dianggotai oleh Lee Jae-jin, Choi Jong-hoon, Lee Hong-gi, Song Seung-hyun dan Choi Min-hwan itu nyata berjaya memukau penonton dengan persembahan bertenaga mereka.

Mempamerkan kehebatan vokal Hong-gi selaku vokalis, FT Island membuatkan peminat tidak henti bersorak dan ada antara mereka yang turut berdiri dan menari menerusi untaian lagu seperti Pray, Out of Love, Summer Night Dream, Champagne, The Night dan Take Me Now.

Menyanyikan hampir kesemua karya baharu, peminat FT Island dilihat sedikit kecewa apabila untaian lagu lama seperti Love Sick, After Love dan Missing You tidak dipersembahkan oleh mereka.

Menyedari akan perkara itu, Hong-gi lantas memohon maaf dan mengharapkan agar peminat terus memberi sokongan terhadap kerjaya mereka sekarang.

“Sekiranya diberi peluang untuk mengadakan konsert solo, kami akan lakukan yang terbaik kepada kalian serta menawarkan persembahan memukau,” katanya.

Selain FT Island, artis lain yang turut menjadi kegilaan peminat serta meraih pujian menerusi gaya tarian yang mempesonakan ialah Monsta X.

Menyanyikan enam buah lagu iaitu, Dramarama, From Zero, White Love, Be Quiet, Special dan Jealousy, gaya muzik dan tarikan Monsta X bagi menyuntik tenaga kepada penonton.

Bertenaga

Acara diteruskan dengan kumpulan AOA yang mempersembahkan lagu hit mereka seperti Bingle Bangle, Excuse Me, Bing Bing, Like A Cat, Miniskirt dan Heart Attack sehingga membuatkan peminat seakan tidak senang duduk.

Meskipun tanpa kehadiran Mina kerana mengalami masalah kesihatan, persembahan AOA yang dianggotai oleh Chanmi, Jimin, Seolhyun, Hyejeong dan Yuna tetap tidak menghampakan peminat.

Tidak kurang hebat, kumpulan EXID mencuri tumpuan khalayak menerusi kelincahan gaya tarian mereka. Menyanyikan enam buah lagu iaitu Lady, DDD, Night Rather Than Day, Ah Yeah, Hot Pink dan Up & Down.

Persembahan menghiburkan dan bertenaga, Hani, LE, Jeonghwa serta Hyelin dari kumpulan EXID itu berjaya meraih sorakan apabila khalayak amat menggemari persembahan mereka.

Dalam pada itu, kumpulan Boyfriend dan WJSN atau turut dikenali sebagai Cosmic Girls, masing-masing menyanyikan empat buah lagu.

Cosmic Girls, mempersembahkan hit seperti Dreams Come True, Secret, I wish, dan Starry Moment manakala Boyfriend pula, Star, Obsession, I’ll Be There serta I Yah.

Selain persembahan artis berkumpulan, Festival Muzik K-Wave 3 turut diserikan dengan kehadiran penyanyi solo, Jeong Sewoon yang menyanyikan empat buah lagu iaitu Something, Toc,toc, Irony dan Just U.

Konsert tersebut dibawakan oleh syarikat telekomunikasi MCalls manakala dianjurkan oleh MacpiePro dengan kerjasama MSR.

Julung kali dilakukan secara tertutup, Festival Muzik K-Wave 3 memberi sentuhan berbeza berbanding penganjuran pertama pada 2017 dan kedua (Januari 2018).