Sejak itu, Ismail tidak menoleh ke belakang dan muncul dengan single Demi Kita dan terbaharu, Luar Biasa yang kini sedang hangat diputarkan di corong radio. Lagu yang dinyanyikan bersama bekas ahli kumpulan Sleeq, Alif itu juga mendapat sambutan positif peminat apabila telah mencapai jumlah tontonan sebanyak 5.5 juta kali di YouTube sejak dimuat naik pada 15 Mac lalu.

“Saya cuba membawa kelainan dalam industri muzik tempatan. Pada mulanya tidak yakin dengan genre sebegini kerana sangat berbeza dengan apa yang berada di pasaran muzik. Namun, saya cuba juga dan bersyukur ia menjadi trending,” katanya tentang lagu Luar Biasa ciptaan sepenuhnya oleh The Good Fellas itu.

Tambah Ismail yang juga anak kepada penyanyi yang popular pada tahun 1980-an, Datin Suliza Salam, impian menjadi kenyataan apabila pihak pengurusan menunaikan permintaannya untuk berduet dengan Alif.

“Saya kagum dan meminati Alif sejak di bangku sekolah rendah. Ketika di sekolah saya sering menyanyikan lagu-lagu daripada kumpulan Sleeq untuk persembahan. Pada peringkat awal pihak pengurusan meminta saya menyenaraikan nama penyanyi duet yang diingini.

“Tidak sangka mereka mendapatkan Alif. Sepanjang proses rakaman dan penggambaran klip video, saya begitu teruja. Boleh bayangkan peminat dapat menyanyi dengan penyanyi pujaan? Begitulah perasaan saya,” ujarnya yang membuat rakaman Luar Biasa pada Januari lalu.

Sungguhpun klip video lagu itu dipuji peminat kerana bakat tarian Ismail, namun dia dikatakan cuba untuk meniru gaya penyanyi terkenal dunia, Justin Bieber. Malah tidak keterlaluan, sudah ramai pihak memanggil Ismail dengan nama Justin Bieber Malaysia.

Tidak melatah dengan persamaan itu, Ismail sebaliknya bersyukur kerana Bieber sememangnya menjadi sumber rujukannya dalam muzik.

“Sebenarnya saya bersyukur apabila orang samakan diri saya dengan Bieber. Saya tidak kisah kerana peminat yang membuat persamaan tersebut. Jika saya terlalu berusaha untuk menjadi 100 peratus seperti Bieber, sudah tentu saya sudah warnakan rambut dan membuat tatu di badan.

“Sebaliknya, saya menjadi diri sendiri walaupun sumber rujukan pada asalnya adalah Chris Brown sebelum perlahan-lahan beralih kepada Bieber. Dia (Bieber) telah membuka mata saya bahawa pada usia yang muda sudah boleh menjadi penyanyi dan menjana pendapatan sendiri,” kongsi Ismail yang telah membeli kereta BMW hasil pendapatan sebagai penyanyi.

Sayang peminat

Faktor lain yang membuatkan nama Ismail terus popular dalam kalangan anak muda adalah disebabkan layanan lima bintangnya kepada peminat. Demi peminat, Ismail sanggup memperuntukkan sebuah telefon khas untuk berbual dengan peminat menerusi aplikasi WhatsApp.

Menerusi aplikasi WhatsApp tersebut peminat bebas untuk bertanya khabar dengannya. Malah, ada kalanya Ismail bermurah hati berkongsi video tentang perkembangan terbaharunya bersama peminat. Setakat hari ini menurut Ismail, dia mempunyai sembilan kumpulan di aplikasi tersebut yang mewakili peminat di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Sebelum ini saya hanya berinteraksi dengan peminat di Instagram tetapi agak sukar untuk mengawal peminat di situ. Jadi, saya membeli sebuah telefon khas yang membolehkan saya berbual dengan mereka. Walaupun jadual padat, saya akan pastikan berbual dengan mereka di WhatsApp seminggu sekali.

“Pada mulanya memang sukar kerana ada peminat yang menghubungi saya pada tengah malam dan awal pagi. Namun, lama kelamaan mereka sendiri memahami konsep kumpulan WhatsApp itu yang hanya boleh berbual secara tulisan dan tidak lagi menghubungi saya tanpa mengira waktu,” tuturnya.

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu bagaimanapun menafikan layanan baik kepada peminat itu dibuat semata-mata untuk kelangsungan kerjayanya dalam industri seni.

Sebaliknya itu merupakan cara Ismail berterima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokongnya selama ini.

“Mengapa saya perlu sombong dengan orang yang selama ini memberi sokongan? Prinsip saya, jika tidak dapat berjumpa dengan peminat, sekurang-kurang saya boleh berbual dengan mereka. Tidak salah untuk saya gunakan kecanggihan teknologi yang ada,” luahnya.

Kontroversi

Selain lagu yang menjadi siulan ramai, Ismail juga popular apabila secara jujur membuat pengakuan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Malah, dia menerima kecaman apabila membuat kenyataan tidak berminat mengambil peperiksaan yang diwajibkan kepada semua pelajar tingkatan lima itu.

Sedar akan kesilapannya, Ismail mohon maaf kerana tanpa sengaja dia seperti menggalakkan pelajar tidak menduduki peperiksaan penting itu. Sungguhpun tidak mengambil SPM, Ismail menegaskan, pendidikan amat penting dan berharap peminat tidak mengikuti jejak langkahnya.

“Saya rasa telah menjadi pengaruh buruk buat semua orang terutama pelajar sekolah. Saya mengaku tidak mengambil SPM kerana mahu bersikap jujur. Namun, tidak galakkan orang mengikut langkah saya.

“Saya mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak mengambil SPM dan keluarga merestui keputusan tersebut. Jadi, diharap isu saya tidak mengambil SPM tidak akan diungkit lagi,” katanya yang bersekolah sehingga ke tingkatan lima tetapi tidak menduduki peperiksaan SPM.

Biarpun begitu, Ismail tetap menyimpan niat untuk menyambung pelajarannya dalam bidang penyiaran pada masa depan. Cuma buat masa ini niat tersebut ditangguhkan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerjaya seninya terlebih dahulu.

“Saya berminat untuk menjadi pengacara dan mendalami bidang penerbitan atau secara amnya penyiaran. Niat itu memang ada, cuma saya takut tidak dapat mengimbangi antara pelajaran dan kerjaya. Oleh itu, lebih baik saya fokus kepada satu perkara terlebih dahulu.

“Andai ada rezeki dan peluang, saya akan belajar. Malah, saya telah sampaikan hasrat itu kepada pihak pengurusan dan mereka tidak membantah,” kata Ismail.

Tidak terhenti di situ, meskipun masih muda, Ismail telah dihambat kontroversi cinta apabila mengaku curang sebanyak enam kali dengan bekas kekasihnya yang merupakan seorang model Muslimah, Sharifah Rose.

Mengaku kesilapannya, Ismail belajar untuk menjadi lelaki yang lebih baik.

Ismail tidak membataskan persahabatannya dengan gadis semata-mata isu curang tersebut.

Bagaimanapun, ibunya memintanya untuk berfikir secara serius mengenai perkahwinan apabila usianya mencapai angka 24 tahun.

“Saya masih muda dan selagi belum berkahwin, bebas untuk berkawan dengan semua orang. Namun, saya tahu batasan dalam pergaulan. Cinta tolak ke tepi dahulu, paling penting saya harus bekerja keras untuk membanggakan keluarga terutama ibu.

“Tanpa ibu, Ismail Izzani tidak akan berada di sini hari ini,” katanya menutup bicara.