Begitupun, rutin santai penerima anugerah Academy Awards ke-89 menerusi kategori Aktres Pembantu Terbaik bagi filem The Danish Girl itu berubah secara total menjelang Mac apabila filem terbaharu lakonannya, Tomb Raider mula ditayangkan di layar lebar.

Besar peranan Vikander dalam filem adaptasi permainan video berjudul sama yang dibikin semula tersebut. Selain perlu meletakkan dirinya setara dengan watak Lara Croft yang dikenali oleh pemain permainan video konsol seluruh dunia, dia juga perlu memberikan justifikasi yang sepatutnya terhadap karakter tersebut secara komersial, sesuai dengan nilai ikonik yang pernah direalisasikan oleh Angelina Jolie untuk dua filem terdahulu iaitu Lara Croft: Tomb Raider (2001) dan Lara Croft Tomb Raider: The Cradle of Life (2003)

Ditayangkan di Malaysia bermula 8 Mac lalu, Vikander bercerita kepada DanceFM.com dan GamesRadar.com tentang perasaannya ketika ditawarkan untuk menjelmakan semula watak Lara Croft dan impak watak itu sendiri terhadap penonton, khususnya golongan wanita.

Alicia, bagaimanakah perasaan anda apabila menerima tawaran untuk menjayakan watak Lara Croft menerusi filem bikin semula Tomb Raider?

Saya menerima panggilan daripada pihak produser sekitar dua tahun lalu. Ketika itu, saya agak terkejut memandangkan watak permainan video Lara Croft telah pun difilemkan lebih 10 tahun lalu. Namun, apabila produser mengatakan filem kali ini merupakan filem bikin semula, saya menjadi teruja.

Adakah anda sedar bahawa watak Lara Croft dalam permainan video konsol telah banyak berubah sejak 22 tahun lalu?

Selepas menyatakan persetujuan, produser memperkenalkan kepada saya watak Lara Croft versi terbaharu yang dijenamakan semula menerusi permainan video berjudul sama.

Walaupun bukan seorang penggemar permainan video, saya sedar banyak perubahan yang berlaku ke atas watak pujaan ramai tersebut.

Bercakap mengenai Lara Croft, kebanyakan wanita muda melihat watak tersebut sebagai sumber inspirasi. Adakah ia sebahagian daripada sebab mengapa anda menerima tawaran ini?

Benar, banyak perkara yang perlu dititikberatkan apabila bersetuju untuk membawakan watak ini. Saya perlu memberi penghormatan yang sempurna bukan sahaja kepada Lara Croft tetapi kepada sebab mengapa watak tersebut dipandang tinggi oleh wanita.

Mengapakah anda berpendapat sedemikian?

Melihat pada perkembangan watak Lara Croft, dia merupakan seorang wanita yang dewasa menerusi pengalaman. Jadi, tidak hairan jika kebanyakan wanita mahu menjadi sepertinya.

Adakah anda melakukan aksi lagak ngeri sendiri?

Ada beberapa babak yang memerlukan pelakon aksi lagak ngeri. Ada enam orang semuanya. Mereka sangat bagus dan kami selalu berbincang mengenai aksi yang ingin dilakukan. Namun, khidmat mereka hanya diperlukan jika saya benar-benar kurang mampu untuk merealisasikan sesebuah babak.

Apakah aksi yang paling sukar untuk dilaksanakan?

Sepanjang lebih 100 hari penggambaran, banyak babak sukar yang saya jalani. Antaranya babak tenggelam dalam arus sungai yang memaksa saya berpaut kepada sebuah bangkai pesawat yang terhempas di situ. Seingat saya, babak tersebut memerlukan saya berpindah lokasi sebanyak lapan kali dan memerlukan sekitar 10 hari untuk disiapkan.

Dari segi babak ekstrem yang memerlukan kekuatan fizikal, apakah persiapan yang dilakukan sebelum memasuki set penggambaran? Apakah jenis latihan yang anda jalani?

Pihak produksi memberitahu yang saya hanya mempunyai masa selama empat bulan untuk berlatih sebelum memulakan penggambaran. Sebagai seorang pelakon, saya perlu lakukan latihan ini kerana bukan senang mahu mendapatkan watak bagi filem aksi.

Jadi, ketika bertemu dengan Alexander SkarsgÄrd yang pernah membawakan watak Tarzan dalam filem The Legend Of Tarzan dua tahun lalu, dia mencadangkan saya berlatih dengan Magnus, seorang jurulatih terkemuka di Hollywood.

Apa yang saya lakukan adalah mirip latihan yang saya buat ketika masih menari balet. Saya perlu ke gimnasium dan makan dengan betul untuk menaikkan otot.

Diet yang saya amalkan agak ketat. Pada sebelah pagi, saya hanya makan tiga biji telur yang telah dimasak. Kemudian, selang tiga jam, saya hanya dibenarkan makan semangkuk nasi dan dua potong daging ikan. Sepanjang latihan, jisim otot saya naik sebanyak 5.4 kilogram.

Bagaimanakah rasanya dapat menjalani penggambaran di Cape Town, Afrika Selatan?

Sejujurnya, saya sangat mengagumi Cape Town. Pada pendapat saya, Cape Town merupakan antara tempat yang paling cantik di muka bumi. Masakan tidak, sebaik bangun tidur, saya dijamu dengan pemandangan tepi pantai dan keindahan Gunung Table.

Anda pernah memenangi Oscar dua tahun lalu. Di manakah trofi tersebut disimpan?

Selepas memenangi Oscar, saya menyerahkan trofi tersebut kepada anak kepada rakan saya untuk disimpan. Bagaimanapun, saya akan kembali ke New York, Amerika Syarikat dan mengambil semula trofi berkenaan.

Adakah trofi berkenaan bakal diletakkan di sebuah tempat yang istimewa di rumah anda yang terletak di Lisbon, Portugal?

Oh, belum ada. Bagaimanapun, saya pernah terbaca yang Kate Winslet meletakkan trofi Oscar di dalam bilik air. Sebenarnya, saya sukakan idea tersebut. Mungkin saya boleh lekatkan trofi itu dengan berus jamban dan ketika sedang membuang air, saya boleh melakonkan kembali reaksi sewaktu menerima anugerah di hadapan cermin.

Alicia Vikander berkongsi mengenai perasaan, cabaran dan impak yang dilalui sepanjang membawakan watak permainan video Lara Croft menerusi filem terbaharunya, Tomb Raider.