Kata Lan atau nama sebenarnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 33, tidak sekadar perkara negatif, namun perpisahan itu juga dilihat mempunyai kesan positif buat kedua-dua belah pihak.

Hal itu diluahkan oleh Lan ketika ditanya tentang pengumuman rahsia daripada Kristal berkenaan hala tuju kumpulan mereka.

Perkara itu dikatakan mempunyai kaitan dengan pengumuman baharu vokalis mereka bagi menggantikan posisi Lan yang telah bersama Kristal selama hampir 19 tahun sejak 1999.

Ikuti penjelasan daripada pelantun lagu Berpisah Tanpa Rela itu ketika ditemui pada program Siaran Luar Suria FM di Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

KOSMO!: Baru-baru ini kumpulan Kristal ada berkongsi tentang satu pengumuman rahsia. Mungkin Lan ada komen tentang itu?

LAN SOLO: Apa mampu saya katakan hanyalah yang baik-baik untuk mereka. Saya doakan yang terbaik. Harap apa juga projek mereka pada masa akan datang akan memberi impak positif buat band.

Difahamkan pengumuman itu adalah berkenaan pelantikan vokalis baharu mereka. Apa kata anda?

Mungkin perjalanan kami ketika bersama dahulu sebagai sebuah band tidak diiringi dengan kesedaran untuk maju ke hadapan. Jadi apabila sudah jadi begini (perpisahan), barulah timbul kesedaran untuk masing-masing memajukan diri. Maksudnya apa yang berlaku dahulu sebenarnya ada impak positif buat kami semua. Jadi saya ucapkan maju jaya untuk mereka.

Baru-baru ini anda ada berkongsi gambar tidak berbaju untuk sebuah projek. Boleh jelaskan lanjut perkara berkenaan?

Sebenarnya gambar tersebut untuk sebuah sesi fotografi fesyen. Projek yang diberi nama The Project itu dikendalikan oleh pereka gaya saya sendiri. Pendek kata, fotografi itu digunakan untuk profil kerjaya saya pada masa mendatang. Ada beberapa konsep fesyen diberikan dan saya mencuba semuanya untuk belajar sesuatu yang baharu.

Apa komen anda tentang keberanian menayang badan dan penerimaan peminat?

Sebenarnya ia bukan satu isu besar. Sebab badan saya bukannya sasa sehingga menampakkan bentuk badan dengan banyak. Kalau orang kecam, saya sentiasa bersedia dengan perasaan yang positif. Sebab sekarang saya dalam fasa untuk mencuba dan meneroka pelbagai perkara baharu dalam hidup.

Keyakinan dan sikap terbuka ini saya mula belajar selepas menyertai Gegar Vaganza (GV). Tidak salah mencuba sesuatu asalkan tidak melanggar batas.

Baiklah. Boleh berkongsi perkembangan terkini anda?

Buat masa sekarang saya masih mempromosikan lagu Berpisah Tanpa Rela kerana sebelum ini ia tertunda sedikit lama kerana puasa dan hari raya.

Selain itu, tidak lama lagi saya akan muncul dengan projek duet bersama rakan artis, cuma belum dapat ditentukan sama ada bersama penyanyi wanita atau lelaki. Malah, perancangan untuk keluar dengan lagu solo baharu juga sudah ada.

Kemungkinan lagu itu adalah genre rancak. Pada masa sama, saya juga akan ada satu projek dengan sebuah band. Memandangkan permintaan peminat untuk melihat saya bersama band masih tinggi, jadi saya tunaikan menerusi projek ini.

Adakah kemunculan anda bersama band tersebut dikira sebagai rasmi?

Tidak. Kerjasama ini hanya untuk projek sahaja. Memandangkan untuk kembali bersama band lama tidak mungkin berlaku, jadi ini merupakan inisiatif saya untuk peminat yang rindu melihat kemunculan saya beraksi dengan kumpulan. Kalau ada persembahan yang memerlukan saya beraksi bersama band, mereka inilah yang saya akan bawa ke pentas.