Daripada satu sudut lain, tanpa disedari bahawa kesihatan yang baik juga merupakan bentuk kurniaan rezeki yang tidak ternilai mahalnya.

Buat seorang anak seni bernama Izzue Islam atau nama lengkapnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, enam tahun melayari bahtera rumahtangga dengan isteri, Awin Nurin, satu hal yang amat mereka hajatkan adalah sebuah rezeki bernama zuriat.

Reda dengan ketentuan takdir sementelah terus mencuba untuk menambah keceriaan rumah tangga, Izzue mengakui telah sepakat dengan isteri untuk menjalani pemeriksaan kesuburan terlebih dahulu sebelum berikhtiar cara lain, iaitu melakukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) untuk menimang cahaya mata.

“Saya belum buat sebarang rawatan. Buat masa sekarang, perancangan hanya untuk menjalani pemeriksaan kesuburan dalam waktu terdekat.

“Kami akan buat pemeriksaan, sekurang-kurangnya dapat tahu siapa yang bermasalah kerana sebelum ini memang kami tidak pernah buat sebarang pemeriksaan kesuburan,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada sidang akhbar konsert Hora Horey Live! Didi & Friends baru-baru ini.

Zuriat

Tutur Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) itu, sama ada dia dan isteri sudah bersedia untuk berdepan kemungkinan diagnosis siapa yang tidak subur atau mempunyai masalah.

“Rezeki, Allah yang bagi. Kami berdua bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

“Kami ada juga mendapat nasihat daripada kawan-kawan selebriti seperti Fizo Omar dan Black. Mereka ada menyarankan doktor yang bagus untuk urusan mendapatkan zuriat.

“Ada orang kata buat IVF terus. Ada juga yang nasihatkan jangan buat IVF, pergi buat pemeriksaan kesuburan dahulu. Jadi sekarang kami sepakat, pergi buat pemeriksaan dahulu dan selepas itu, baru akan ikhtiar cara lain seperti rawatan kampung atau IVF,” ujar Izzue.

Ditanya pernahkah Izzue dan isteri terfikir untuk mengambil anak angkat, jawabnya: “Buat masa sekarang, ramai yang mencadangkan supaya kami ambil anak angkat. Kata orang kalau ambil anak angkat nanti senang ‘lekat’.

“Bagaimanapun, jadual kerja sekarang tersangatlah padat dan saya rasa lebih baik usaha dengan cara sendiri.

“Apapun, seperti yang saya kata tadi, buat pemeriksaan kesuburan dahulu dan sekiranya salah seorang daripada kami bermasalah, akan ada rawatan susulan,” dedahnya lagi.

Kerjaya

Berkongsi soal kerjaya, Izzue akan terlibat dalam konsert Hora Horey Live! Didi & Friends yang bakal berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula dari 15 sehingga 18 Ogos 2019.

“Saya akan terlibat dalam keempat-empat hari konsert. Kerjasama dan tawaran mula tercetus apabila saya buat video untuk kandungan YouTube lagu berjudul Mandi,” katanya.

Dari segi lakonan pula, Izzue akan muncul dengan sebuah telefilem berjudul Dosa Semalam menerusi TV3 tidak lama lagi selain Misteri Akil Baligh dan terbabit dengan program Muzikal Lawak Superstar.

“Buat pertama kali, saya digandingkan dengan dua pelakon iaitu Janna Nick dan Tasha Shilla. Alhamdulillah, rezeki semakin lebat.

“Mungkin ini juga rezeki untuk saya yang bekerja keras tahun ini, sebelum fokus terhadap usaha mendapatkan anak menjelang tahun hadapan.

“Sebagai selebriti, kalau tidak sibuk bekerja, memang tiada duit. Mungkin, rezeki inilah yang akan saya gunakan untuk kos rawatan mendapatkan anak nanti.

“Kalau buat IVF, proses itu memerlukan kos yang mungkin saya sendiri tidak terjangka,” kongsinya.

Berbicara soal muzik pula, bekas anggota Forteen itu bakal melancarkan sebuah single solo berentak rancak selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Insya-Allah. Ketika tawaran lakonan semakin banyak, saya tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Hujung tahun ini, saya akan muncul dengan sebuah lagu rancak,” katanya menggulung perbualan.