Namun tidak semua hidayah yang dimiliki itu diiringi dengan kemanisan kerana di situlah letaknya kasih sayang Tuhan apabila menyelitkan cubaan demi menguji sejauh mana kekuatan iman seseorang.

Mula mengenakan hijab sekitar bulan September tahun lalu, pelakon Ardell Aryana mengakui jalan yang dipilih itu menguji tahap rasional dirinya.

Jika tersilap langkah dan mudah termakan hasutan orang, mungkin dia tidak mampu bertahan lama. Namun, apa yang membuatkannya tetap kuat adalah dorongan daripada keluarga dan nekad hati yang tetap mahu berada di atas jalan yang diredai.

“Saya pilih jalan ini (berhijab) bukan atas alasan yang mengarut seperti mahu berkahwin atau buat bisnes tetapi memikirkan umur sudah semakin meningkat.

“Kalau tidak berubah dari sekarang, saya tidak tahu apa bekalan yang mahu dibawa di sana seandainya ditakdirkan hayat ini singkat,” luah Ardell penuh makna tatkala membuka bicara ketika bertemu pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Hakikatnya, penghijrahan itu bukanlah dilakukan secara drastik. Dia mula berhijab sejak September lalu namun perkara itu tidak dihebahkannya kepada peminat sehingga mula terbuka berkongsi gambar di Instagram pada bulan Disember.

Ditanya tentang cabaran ketika fasa awal penghijrahannya, sambil menarik nafas Ardell mengakui kesan yang diterimanya adalah kehilangan rakan-rakan di sekeliling yang tidak gembira dengan perubahan positif itu.

Malah, apa yang lebih teruk dari itu adalah pada saat dia terpaksa berdepan dengan permintaan orang sekeliling untuk membuka tudung.

“Perkara itu memang ada dan saya sudah mengalaminya sendiri. Selain ada kawan-kawan industri yang menjauhkan diri, tidak kurang juga dengan tindakan peminat yang meminta saya membuka tudung,” cerita pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia itu tenang.

Itu belum lagi dengan kisah membabitkan tawaran lakonan apabila dia terlepas lapan buah projek gara-gara imej baharu yang dibawanya kini.

Terkilan dengan situasi itu, namun jauh di sudut hati Ardell percaya kepada ketentuan dan rezeki Tuhan yang cukup luas.

“Ibu pesan, rezeki ada di mana-mana. Jadi saya berpegang kepada itu walaupun sedih kehilangan banyak tawaran. Sekarang saya sudah boleh tarik nafas lega kerana tawaran berlakon kembali seperti biasa biarpun sedikit terbatas,”ujarnya menguntum senyum.

Ustazah, pengkid

Bukan sekadar berdepan dengan cabaran seperti itu, namun setiap orang yang memilih jalan menuju Allah tidak boleh lari daripada stereotaip manusia lain yang gemar melabel golongan ini sebagai ustazah atau ustaz ‘segera’.

“Saya bertudung bukan bermakna perubahan ini membuatkan saya mahu jadi wanita yang alim atau pendek kata ustazah.

“Cuma mungkin dari segi penampilan saya yang gemar mengenakan tudung bawal dan dibiarkan melepasi ke bahagian bawah membuatkan orang berfikir saya seperti itu. Malah disebabkan badan saya kecil, tudung nampak labuh apabila dipakai,” luahnya minta jangan disalah erti.

Namun bukan hal itu sahaja yang menghimpit nalurinya tatkala berjalan di atas pilihan itu apabila didakwa sengaja mengenakan hijab untuk menghapus tuduhan dirinya seorang lesbian dan pengkid.

Mengaku memang ada berdepan dengan tohmahan sebegitu daripada sesetengah pihak namun pemilik nama sebenar Nurul Hidayah Mohd. Amin itu enggan terlalu memikirkannya kerana hanya dia yang kenal siapa dirinya.

“Sewaktu saya berambut panjang orang label saya macam-macam, tapi bila berambut pendek dituduh pengkid pula. Jadi memang tidak boleh lari tanggapan itu. Terkadang saya terfikir juga, lelaki sangatkah saya ini?

“Cuma apabila sudah bertudung, jadi terbalik pula apabila ada peminat yang sanggup menawarkan diri berubah menjadi pengkid, manakala saya pula sebagai kekasih wanita,” ceritanya sambil menggeleng kepala.

Biarpun telah berhijab, namun itu tidak bererti dia tidak boleh menjadi diri sendiri. Gemar aktiviti lasak dan bermain bola, sehingga kini Ardell masih aktif melakukan hobi kegemarannya. Ia selari dengan prinsip yang dipegang wanita berusia 28 tahun itu untuk kekal menjadi diri sendiri.

Lakonan

Kini sebuah filem terbaharu berjudul Surf This Love, ia merupakan naskhah terakhir yang memaparkan dirinya belum berhijab.

Menjalani penggambaran sekitar tahun lalu, ternyata proses yang memakan masa itu turut memberi tempias terhadap imej baharunya.

“Dulu sewaktu terlibat dalam filem ini saya masih tidak berhijab. Jadi apabila mahu membuat poster, timbul sedikit masalah sebab kalau menonjolkan gambar terbaharu yang memakai tudung, ia akan berubah seratus peratus.

“Selepas berbincang, kami mendapat kata persetujuan apabila membenarkan saya menggayakan tudung berwarna hitam ala turban supaya ia kelihatan seperti rambut,” katanya menarik nafas lega.

Merupakan filem keempat lakonannya sejak bergelar pelakon empat tahun lalu, Ardell mengharapkan ia mendapat sambutan daripada peminat kerana terlalu banyak perkara yang diharungi tatkala menjalani penggambaran.

“Kalau ditanya tentang cabaran dari segi peribadi, ia sangat mencabar sebab sebelum berhijab memang saya tidak pernah memakai kain ketika penggambaran. Jadi ia agak mencabar jugalah bagi saya yang pada ketika itu gemar memakai seluar (ketawa).

“Bagaimanapun untuk keseluruhan, filem ini bukan naskhah yang mudah dijayakan. Sepanjang beberapa minggu penggambaran, kami perlu mendaki dan menuruni Pulau Juara, Tioman, Pahang berulang-alik selain menginap di atas sana,” katanya yang memegang watak Lia.

Berkongsi perkembangan terkini, Ardell bakal muncul dengan sebuah telemovie berjudul Hidayah Milik Ilahi terbitan RTM selain drama Cinta Hati Batu yang kini ditayangkan di TV3.

Menerima hidayah umpama sebuah bingkisan hadiah istimewa daripada Tuhan. Pelakon Ardell Aryana yang berhijab sejak September tahun lalu berkongsi kisah laluan penghijrahannya yang penuh mencabar.