Menurut pemilik nama Muhammad ‘Izzul Islam ini, lagu yang dicipta olehnya sewaktu pertama kali jatuh cinta dengan isterinya, Awin Nurin hampir 10 tahun lalu pada mulanya dibuat sekadar untuk suka-suka.

Namun begitu, apabila dia memberitahu Awin tentang lagu tersebut dua tahun lalu, isterinya menyokong agar single yang bertajuk Muzik Tiduranku itu dikongsikan bersama para peminat.

“Lagu ini sangat santai dan senang diingati kerana liriknya mudah difahami terutama bagi mereka yang sedang jatuh cinta. Saya buat lagu ini memang sewaktu pertama kali melihat Awin dan ia datang dari hati saya.

“Awin pada mulanya tidak percaya saya telah mencipta lagu untuknya dan apabila dia mendengar Muzik Tiduranku, dia berasa lebih baik ia dijadikan single berbanding disimpan sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video Muzik Tiduranku di The Loft Event Space, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kata anggota kumpulan Forteen itu lagi, dia terbuka dengan sebarang kritikan membina berkenaan kebolehan vokal dalam lagu ini kerana sedar masih banyak yang perlu diperbaiki dari segi teknik nyanyian.

Andai ada peminat yang tidak menyukainya maka dia amat menghargai mereka boleh memberitahu bahagian mana yang tidak digemari agar boleh memperbaikinya menerusi single lain.

“Saya memiliki banyak kelemahan terutama bila menyanyi secara solo, jadi saya sangat tidak sabar menantikan komen peminat positif atau negatif kerana mahu belajar daripada kekurangan yang ada,” jelasnya lagi.

Kekal

Menyentuh sedikit berkenaan pembabitannya dalam Forteen, ada sesetengah pihak berpendapat bahawa anggota kumpulan itu seperti menunjukkan tanda ingin berpecah kerana masing-masing sibuk dengan projek solo.

Namun begitu, Izzue menafikan hal itu sambil memberitahu, Forteen masih lagi bersama, cuma buat masa sekarang, rezeki untuk kerjaya solo lebih banyak, maka mereka semua saling menyokong antara satu sama lain.

Tambah Izzue, Forteen akan muncul dengan single terbaharu dalam tahun ini dan tiada istilah mereka kini hanya sekadar pada nama kerana komitmen berbeza semua ahli.

“Forteen sudah seperti adik-beradik, jadi kami memang sentiasa saling menyokong dalam industri. Projek solo ini adalah rezeki dan peluang untuk kami mencuba benda baharu.

“Kami masih teguh bersama dan tidak pernah bergaduh atau cemburu dengan projek solo masing-masing. Perkara ini sudah dibincangkan dan kami memang tiada masalah dengannya,”tegasnya lagi.