Lagu tersebut dicipta khas oleh suaminya sendiri iaitu pelawak terkenal, Shuib Sepahtu.

Ujar pelantun lagu Kesetiaan itu, dia mengambil masa selama lima bulan untuk menyiapkan lagu tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada Aepul Drama Band.

“Sebenarnya sejak Gegar Vaganza musim ketiga tamat dua tahun lalu, saya menerima lebih 50 buah lagu untuk dirakamkan.

“Bagaimanapun, kesemua lagu itu terpaksa ditolak kerana dirasakan tidak bersesuaian sebelum saya akhirnya memilih untuk menyanyikan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shuib,” katanya pada majlis pradengar single terbaharunya di pejabat syarikat rakaman Indigital Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Gugup

Jelas Sarah, tempoh tujuh tahun bukanlah satu masa yang singkat dan oleh sebab itu, dia agak cerewet dalam memilih lagu untuk dirakamkan.

“Jika saya memberikan sesuatu yang saya sendiri tidak puas hati, ia tidak adil untuk mereka yang menantikan buah tangan terbaharu saya.

“Jadi, sudah tentu saya mahu hasilkan yang terbaik,” ujarnya yang yakin single itu mampu menjadi sebuah lagi lagu miliknya yang akan diterima pendengar.

Kongsi Sarah, dia turut berdepan cabaran ketika proses merakamkan lagu terbaharunya yang berkisarkan percintaan itu.

Hal ini kerana faktor sudah terlalu lama tidak menyanyi membuatkannya sedikit gugup ketika proses rakaman lagu berlangsung.

“Saya sudah lama tidak memasuki studio untuk merakamkan lagu dan oleh sebab itu, adakalanya gugup sehingga perkara kecil juga boleh mempengaruhi saya.

“Nyanyian yang dilontarkan ketika proses rakaman lagu berbeza dengan nyanyian di atas pentas,” ujarnya sambil memberitahu, lagu terbaharunya itu bakal dijadikan sebagai runut bunyi untuk drama Halalkan Hati Yang Ku Curi.

Tunda

Bercerita perancangan mengadakan persembahan mini, Sarah memberitahu, dia terpaksa menundanya walaupun ia sepatutnya berlangsung pada 4 Mei depan.

Sarah berkata, penundaan tersebut dibuat bagi membolehkannya melakukan persiapan rapi untuk menjayakan persembahan itu nanti.

“Jika ikut perancangan, persembahan mini itu akan berlangsung pada tarikh tersebut tetapi tarikh itu terlalu dekat dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan.

“Jadi, saya memilih untuk mengadakan persembahan mini itu pada tarikh baharu iaitu 6 Julai depan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur,” katanya yang mahu persembahan mini itu bersifat lebih intim dan dekat dengan peminat.

Menerusi persembahan mini itu, Sarah bakal mempersembahkan rangkaian 12 hingga 15 buah lagu dengan Faizal Uzir selaku pengarah muzik.