Filem KL Special Force yang bakal ditayangkan bermula hari ini (8 Mac) mempertaruhkan lakonan Fattah, 27, yang memegang watak sebagai Inspektor Zul, sementara Tania pula sebagai tunangannya bernama Mia.

Berbicara mengenai filem yang turut dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof itu, Fattah menjelaskan ia sebagai pengalaman manis biarpun mengalami kecederaan ketika melakukan babak aksi.

“Sejak sekolah saya memang belajar seni mempertahankan diri seperti silat. Oleh itu, menjadi impian saya untuk melakukan aksi lagak ngeri sendiri apabila berlakon dalam filem bergenre aksi. Saya mengalami kecederaan kecil ketika melakukan aksi lagak ngeri melompat dari sebuah bas dan dilanggar oleh bas lain.

“Kecederaan itu berbaloi kerana saya puas dapat melakukan semua aksi lagak ngeri sendiri. Biasanya Syafiq akan bertanya, sama ada saya mahu buat sendiri atau tidak. Jika saya yakin, dia akan membenarkan keputusan saya. Jika saya tidak yakin, pelakon gantian akan digunakan,” kongsi Fattah.

Satu fakta menarik yang turut dikongsi suami aktres Fazura ini, KL Special Force merupakan filem Malaysia paling banyak meletupkan kereta. Menurut Fattah lebih daripada 20 buah kereta digunakan hanya untuk dihancurkan termasuk jenama BMW dan Mazda.

“Babak letupan dalam filem ini tidak menggunakan imej janaan komputer (CGI). Oleh itu, pihak produksi terpaksa betul-betul meletupkan kenderaan yang digunakan. Memang banyak kereta yang diletupkan demi mendapatkan hasil terbaik,” tutur Fattah.

Tania kalis letupan

Sementara itu, pelakon Tanis Hudson, 33, pula tidak ragu-ragu menerima tawaran daripada pihak Skop Production bagi membintangi filem KL Special Force selepas namanya melonjak menerusi filem Abang Long Fadil 2 juga terbitan syarikat produksi sama.

“Ini merupakan filem kedua saya dengan Skop Production. Jadi, saya memang tidak menolak peluang yang ditawarkan. Keselesaan berlakon dalam Abang Long Fadil 2 membuatkan saya seronok untuk bekerjasama sekali lagi.

“Saya tidak kisah ditawarkan watak sampingan atau besar kerana karya mereka memang sangat bagus. Sayanglah, jika saya tidak ambil tawaran memandangkan filem terdahulu mendapat sambutan hangat daripada penonton,” katanya yang memegang watak Mia.

Berkongsi cabaran yang dilalui sepanjang tiga bulan penggambaran, adik kepada pelakon Natasha Hudson itu amat teruja apabila menjayakan aksi melibatkan adegan letupan.

“Dalam filem ini kebanyakan adegan aksi lagak ngeri dilakonkan sendiri oleh pelakon. Ada ketika, badan saya dilekatkan dengan mercun dan banyak bahan letupan. Biarpun berdebar, tetapi dalam masa sama ia suatu pengalaman berharga,” katanya.

Jika Fattah tercedera, Tania juga berhadapan perkara yang sama ketika melakonkan satu babak melibatkan bahan letupan. Namun, jelasnya, segala aspek keselamatan telah diambil oleh pihak produksi.

“Ada babak yang memerlukan saya berlari dari arah letupan hingga menyebabkan badan calar-calar kerana terkena serpihan bahan letupan.

“Filem ini penuh dengan aksi dan pasti memberikan pengalaman berbeza buat penonton. Cara aksinya juga berbeza, ia tak sama dengan cerita kepolisan seperti drama Gerak Khas,” tuturnya.

Justeru, Tania mengharapkan peminat memberikan sokongan terhadap filem yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 8 Mac ini.

“Kualiti filem dapat dilihat dari jalan cerita dan teknikal. Proses pembikinan dan suntingan pula mengambil masa lama semata-mata mahu beri hasil terbaik buat penonton,” kata Tania.